05 Februari 2009

KAMPUNG BARU : JAUH LAGIKAH PEMBANGUNANNYA?... bhg 3

Oleh Rohana Mustaffa
(Bahagian 3 daripada 6 siri rencana Kampung Baru)
KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Beliau pernah dikecam hanya kerana menyebut "hendak membangunkan Kampung Baru", pernah kecewa setelah tiga tahun berusaha cuba membangunkannya, dan pernah membawa rajuknya ke Universiti Kebangsaan Malaysia membuat tesis mengenainya dalam usaha membuka mata orang Melayu Kampung Baru untuk maju.Namun, semangat Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed, nama yang sinonim dengan Kampung Baru Kuala Lumpur, tidak pernah luntur untuk melihat kampung ini maju dan setaraf dengan kawasan sekelilingnya."Mata saya akan lelap, tertutup rapat bila mati nanti jika Kampung Baru dibangunkan," katanya kepada Bernama ketika membincangkan rancangan pembangunan Kampung Baru di bawah pelan pembangunan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020.Begitulah sentimen beliau terhadap Kampung Baru.Dr Suleiman, Ketua Umno Bahagian Titiwangsa dikecam hebat ketika pertama kali membentangkan kertas kerja mengenai pembangunan Kampung Baru pada Konvensyen Umno Bahagian Setapak, 1982.Mantan Timbalan Menteri Penerangan dan anggota Parlimen Titiwangsa ini juga pernah kecewa kerana usahanya selama tiga tahun sejak 1990 untuk membangunkan Kampung Baru gagal kerana tidak mendapat sokongan semua pihak walaupun direstui perdana menteri ketika itu Datuk Seri (Tun) Dr Mahathir Mohamad yang melantiknya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Semula kampung berkenaan.Antara usahanya ialah mengadakan pelbagai perjumpaan dengan seramai 1,923 tuan tanah kampung ini dan jawatankuasa itu pernah mengemukakan pelan tempatan pembangunan di situ, namun kata sepakat tidak dapat dicapai dan akhirnya penyelesaian menemui jalan buntu.Dr Suleiman kemudian membawa rajuknya ke Universiti Kebangsaan Malaysia, melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah doktor falsafah (Ph.D) dengan menghasilkan tesis bertajuk "Transformasi Sosial Melayu Bandar", hasil penyelidikan yang dijalankannya di Kampung Baru dan menulis buku mengenai kampung ini.
ASAL JOHOR NAMUN JIWANYA TETAP DI KAMPUNG BARU
Walaupun dilahirkan di Johor Baharu pada tahun 1947, beliau membesar di Jalan Mahmud Kampung Baru dan sehingga kini sinonim sebagai anak Kampung Baru. Beliau pernah menjadi anggota Parlimen Titiwangsa selama tiga penggal.Haji Khatib Koyan, Penghulu Gombak yang kawasan jajahannya dari Batu 2 (kini Chow Kit) hingga ke Gombak, adalah datuk Dr Suleiman yang suka memburu di Kampung Baru, dan antara pemimpin awal kawasan petempatan Melayu di tengah-tengah ibu kota ini.Justeru, sebuah jalan di kampung kini diabadikan dengan nama beliau.Bagi Dr Suleiman yang begitu bersemangat apabila bercakap mengenai Kampung Baru, entiti Melayu di Kuala Lumpur yang sudah berusia 110 tahun ini, kampung ini boleh dibangunkan jika ada semangat politik yang serius yang dilandaskan kepada perubahan minda."Pernah suatu hari saya ternampak beberapa bas pelancong menyusuri pinggir Kampung Baru, di kawasan setinggan Kampung Chendana dan mereka sibuk mengambil gambar."Bayangkanlah kawasan Melayu di ibu kota hanya setaraf setinggan di mata pelancong sedangkan ia bersebelahan dengan kawasan segi tiga emas. Sampai bila kita nak biarkan Kampung Baru macam ni? Inikah taraf Kampung Baru?, Setinggan di tengah-tengah Kuala Lumpur," tanya beliau.Dr Suleiman mencadangkan Perbadanan Kampung Baru ditubuhkan sepertimana Perbadanan Putrajaya atau Perbadanan Labuan yang boleh menjadi pusat sehenti menyelesaikan pelbagai masalah hak milik dan pelan pembangunan."Pemilik tanah perlu realistik semasa membuat tuntutan nilai tanah, hak milik tanah beramai hendaklah diselesaikan cara elok dan halangan undang-undang kecil Malay Agriculture Settlement (Petempatan/Tanah Pertanian Melayu) mengenai pentadbiran tanah di Kampung Baru perlu dihapuskan," kata Dr Suleiman.Para pemilik tanah Kampung Baru juga lebih yakin kalau usaha pembangunan ini dilakukan oleh kerajaan berdasarkan pengalaman sesetengah mereka yang ditipu oleh invididu atau syarikat sebelum ini, semuanya atas alasan "ingin membangunkan Kampung Baru".
PENDUDUK PERNAH DITIPU, HAKMILIK TANAH TERGADAI
Beliau menceritakan bagaimana 44 keping tanah Kampung Baru pernah tergadai selepas seorang ahli korporat/politik memujuk pemilik menyerahkan tanah kepadanya untuk dimajukan, sedangkan tanah itu dicagar bagi membiayai projeknya di tempat lain, yang kemudian gagal.Nikmat yang diperoleh tuan tanah hanyalah tambang pergi menunaikan haji yang diberikan tokoh korporat itu sebelum tanah mereka tergadai, menurut Dr Suleiman.MAS Melayu Berhad, satu konsortium 11 syarikat Melayu, yang ditubuhkan selepas Dr Mahathir membubarkan jawatankuasa pimpinan Dr Suleiman, turut gagal membangunkan Kampung Baru kerana mereka hanya mampu membeli kelompok-kelompok berasingan tanah disebabkan tuntutan harga tinggi tuan tanah dan pemilikan tanah beramai, adakalanya lebih 20 penama untuk tanah tidak sampai 0.2 hektar.Dr Suleiman menyarankan supaya dihapuskan undang-undang MAS yang menyekat penyewaan hartanah Kampung Baru kepada bukan Melayu (tanah masih milik Melayu) bagi memudahkan kemasukan modal, dan tanah milik beramai dinilai dan dibahagikan dalam bentuk saham kepada tuan punya supaya mereka akan menikmati keuntungannya dalam jangka panjang.Nilai tanah juga hendaklah seimbang tanpa mengira tanah yang diambil sama ada untuk kawasan taman rekreasi, perumahan atau industri untuk berlaku adil kepada semua pemilik tanah.Bagi yang boleh mencapai kata sepakat, katanya, patut digalakkan menubuhkan syarikat sendiri, seperti mana adik beradik beliau seramai lapan orang yang menubuhkan syarikat menguruskan sebidang tanah mereka di Jalan Mahmud. Pembahagian keuntungan adalah dalam bentuk saham."Sudah tiba masanya Kampung Baru dibangunkan secara harmoni dengan semangat politik yang kuat dan penduduk atau pemilik tanah pula terbuka untuk menerima perubahan," katanya mengulas Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 yang menyediakan rancangan pembangunan menyeluruh Kampung Baru itu oleh DBKL.
PENDUDUK TUNTUT HARGA TINGGI
Datuk Abdul Rahim Mohd Ibrahim pula merupakan pemilik Plaza RAH di Jalan Raja Abdullah, satu-satunya bangunan 300 unit kondominium setinggi 23 tingkat yang berdiri megah di tengah-tengah Kampung Baru.Beliau membangunkan tanah keluarga sebanyak dua lot bersama tiga lot tanah sebelah yang dibeli daripada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan satu lot lagi tanah jiran yang menjadikan kawasan yang dibangunkan seluas 0.48 hektar.Purata harga tanah yang dibeli ialah RM150 kaki persegi sementara nilai kasar pembangunan Plaza RAH semasa pelancarannya pada 2005 ialah lebih RM60 juta termasuk kos tanah."Kami jual seunit kondominium tiga bilik tidur, dua bilik mandi dan dua dapur dari RM170 kaki persegi atau nilainya antara RM177,540 hingga RM284,759," katanya dan 50 peratus unit dijual sebaik pelancarannya.Kini unit kondominium yang masih ada untuk dijual bernilai lebih RM300,000 seunit. Ada sebuah restoran makanan Barat di tingkat bawahnya, Hale's Kitchen, (sempena nama lama Jalan Raja Abdullah), usaha Abdul Rahim memperkenal konsep ruang makan kemas dan selesa.Abdul Rahim berkata beliau tidak menghadapi masalah semasa mendapatkan kelulusan membangunkan tanah itu kerana semua pihak memberikan kerjasama dari segi serah kuasa tanah hinggalah kepada hak milik strata.Baginya masalah yang sering menjadi halangan untuk sesuatu hartanah itu dimajukan di Kampung Baru ialah sikap pemilik yang mahukan keuntungan berlebihan."Contohnya pemaju baru sahaja menawarkan harga, pemilik sudah pun mengira keuntungan pemaju itu dan kerana itu dia mahukan yang lebih sekurang-kurangnya antara RM3 sehingga RM6 juta"."Mereka tidak fikir mengenai syarat tanah Melayu Kampung Baru mesti dibeli orang Melayu dan mesti dijual hanya kepada orang Melayu. Kalau sudah dijual kepada pemaju Melayu pada harga sebegitu tinggi, berapa pula pemaju itu hendak jual untuk dapatkan semula modal atau keuntungan, dan berapa pula harga yang mampu dibeli oleh orang Melayu lain?".Beliau juga tidak setuju sekiranya DBKL dalam pelan pembangunannya melarang bangunan tinggi dimajukan di Kampung Baru kerana kalau kawasan sekelilingnya dipenuhi bangunan pencakar langit, kenapa tidak di Kampung Baru?Dr Suleiman yang menyifatkan Plaza RAH sebagai pemangkin kepada pembangunan Kampung Baru, berkata plaza itu adalah bukti bahawa segalanya mungkin sekiranya penduduk mencapai kata sepakat.Kondominium itu ialah antara contoh pembangunan yang wajar diikuti orang lain di Kampung Baru, seperti juga Menara Naza dan kawasan sekitarnya yang dimajukan allahyarham Tan Sri S.M Nasimuddin, seorang lagi tokoh korporat Melayu yang memilih Kampung Baru sebagai pusat operasinya.
PEMBANGUNAN KAMPUNG BARU HENDAKLAH BERPERINGKAT
Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbiran MAS Shamsuri Suradi, turut mencadangkan pembangunan di Kampung Baru dilaksanakan secara berperingkat."Bangunkan satu kawasan dulu, kalau berjaya, boleh dijadikan contoh untuk majukan sekelompok kawasan lagi. Ini bagi mengelakkan pembangunan secara menyeluruh daripada gagal dan legasi Kampung Baru terhapus," katanya.Beliau memberi contoh kegagalan 44 lot tanah dimajukan oleh seorang tokoh korporat, kegagalan MAS Melayu Berhad dan pembangunan Bandar Wawasan di Jalan Sultan Ismail."Ini semua menakutkan pemilik tanah dan penduduk yang sayangkan Kampung Baru. Mereka patut diajak berbincang mengenai satu-satu kawasan yang mahu dibangunkan dan bagaimana masalah tuntutan tanah boleh diselesaikan," katanya.Anggota Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali sebagai penasihat Badan Bertindak Pembangunan Kampung Baru yang turut meneliti draf pembangunan Kampung Baru itu sebelum ini berkata: "Bagi orang Kampung Baru, yang paling penting mereka mahu hak mereka terjaga, mereka mesti menjadi sebahagian daripada pembangunan dan mereka diberi peluang menentukan konsep pembangunan yang mereka mahukan.""Saya berharap semua pihak jujur dalam menyelesaikan isu ini," katanya.Anak jati Kampung Baru, Abdul Rahman Hussin tidak mahu pembangunan yang dilakukan menyebabkan penduduk asalnya terpinggir."Saya lahir dan membesar di sini. Kalau boleh memang tidak mahu pindah ke mana-mana. Rumah yang saya tinggal sekarang ini adalah rumah pusaka yang diperturunkan moyang saya, jadi saya mahu ia kekal selama-lamanya di sini," kata penduduk yang menetap di Jalan Raja Muda Musa.Menurutnya, sungguhpun DBKL mengadakan beberapa perjumpaan dengan penduduk kampung mengenai draf pembangunan Kampung Baru itu, tetapi ia sekadar membentangkan pelan yang sudah tersedia.
PENDUDUK TIDAK MENOLAK PEMBANGUNAN
Nor Faridah Abdul Rashid, seorang lagi anak Kampung Baru yang lahir dan masih menetap di sini berharap pembangunan yang dilaksanakan tidak menghilangkan ciri-ciri sejarah dan warisan Kampung Baru.Beliau tidak menolak pembangunan, kerana sudah melihat kemajuan satu persatu bangunan tinggi didirikan di sekeliling kampung ini, dan Kampung Baru seperti ditinggalkan."Pembangunan di Kampung Baru tidak boleh mengabaikan pemilik tanah," kata Nor Faridah, seorang profesional. Beliau yang tinggal di rumah pusaka keluarganya di Kampung Periuk di Jalan Dewan Sultan Sulaiman berkata walaupun menjadi kawasan baru yang moden kelak, diharapkan ciri-ciri kampung yang menjadi tarikan pelancong akan dikekalkan.Lain pula kisahnya dengan Sutiah Ahmad yang menduduki sebuah rumah kayu di Jalan Raja Muda Musa sejak 80 tahun lalu di mana sebidang tanah seluas 0.4 hektar dibahagi dua dengan adiknya yang turut menetap di situ.Sepanjang tinggal di rumah pusaka itu, pelbagai peristiwa bersejarah dilaluinya dan antara yang meninggalkan kesan ialah Zaman Pendudukan Jepun, Peristiwa 13 Mei dan banjir besar Kampung Baru."Disebabkan dari kecil sudah tinggal di sini, saya tidak berhasrat meninggalkan rumah ini. Kalau boleh, biarlah ia kekal seperti hari ini sampai bila-bila. Biarlah anak cucu saya tahu rupa bentuk asal rumah ini.
KAMPUNG BARU DEKAT DI HATI ALMARHUM SULTAN SELANGOR
Malah rumah kayu ini juga pernah dikunjungi Almarhum Yang di-Pertuan Agong ke-11 Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah kerana "baginda pernah bermain di sini sewaktu zaman kanak-kanaknya," katanya.Sultan Salahuddin melawat Kampung Baru pada 5 Sept 1999 sempena 100 tahun pembukaan kampung ini. Seri Paduka juga pernah menjamu rombongan penduduk Kampung Baru di Istana Negara, dan menurut Dr Suleiman, pada pertemuan itu Almarhum menawarkan sebuah kawasan di Putrajaya untuk dihuni penduduk Kampung Baru bagi membolehkan kampung ini dimajukan.Jalan Raja Muda Musa yang terletaknya Pasar Minggu Kampung Baru sedang dalam proses dibangunkan, namun sekumpulan peniaga di situ masih bertahan walaupun sudah menerima tiga surat pemberitahuan untuk berpindah ke kawasan baru di Kampung Baru Air Panas.Mereka khuatir akan kehilangan pelanggan tetapi akur bahawa pembangunan tidak dapat tidak akan berlaku dan yang menjadi kegusaran mereka ialah sama seperti penduduk lain Kampung Baru, mereka mengharapkan kemajuan di kampung ini tidak akan meminggirkan mereka.Mereka masih mahu menjadi sebahagian penduduk Kampung Baru yang baru wajahnya.
-- BERNAMA
(Rencana ditulis dengan kerjasama Nurul Halawati Mohamad Azhari)

KAMPUNG BARU : KEHIDUPAN TERATUR, MASYARAKAT MAKMUR... bhg 2

Oleh Rohana Mustaffa

Bahagian 2 daripada enam bahagian siri rencana Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Tiada yang terlepas pandang di Kampung Baru Kuala Lumpur.Tiada butiran yang terlalu kecil untuk tidak dihiraukan dan tiada pula perkara besar yang lebih penting daripada yang lain kerana semuanya diambil kira di kampung ini sejak ia wujud pada 1899.Dahulu kehidupan harian di satu-satunya entiti Melayu di tengah-tengah ibu kota ini amat teratur dan rapi, pendek kata ia agak "regimented"."Kami anak-anak Kampung Baru sudah sedia tahu bila waktu ke sekolah dan bersekolah di mana, waktu mengaji Quran, waktu bermain bola, bila pula hendak ke masjid, dan menyertai aktiviti marhaban atau berzanji kerana semuanya diatur," kata Shamsuri Suradi, antara penduduk asal yang menceritakan zaman membesar di Kampung Baru.Sebenarnya aktiviti teratur ini berpunca daripada peraturan lembaga yang mentadbir Kampung Baru yang ketika itu di bawah pengawasan Residen British Selangor. Kini Shamsuri merupakan Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbiran Malay Agriculture Settlement (Petempatan/Tanah Pertanian Melayu) atau MAS Kampung Baru yang kebetulan merupakan badan penyelia aktiviti di kampung ini mengikut tradisi kehidupan Melayu sejak diwartakan pada 1900.MAS diwujudkan untuk memindahkan Orang Melayu yang kebanyakannya menghuni di pinggir Sungai Gombak dan Sungai Kelang walaupun ketika itu mereka aktif dalam kegiatan perniagaan dan perlombongan kerana British berpendapat orang Melayu wajar bergiat dalam sektor pertanian.Pentadbiran British menegaskan bahawa penempatan di sebuah kampung khas akan memudahkan anak-anak Melayu menerima pendidikan dan mengambil bahagian dalam pentadbiran dan membolehkan penduduk menikmati sebahagian daripada kemewahan hidup masa itu.
AKTIVITI HARIAN RAPATKAN HUBUNGAN
Dengan jadual teratur itu, para penduduk mengenali satu sama lain di samping mengambil tahu pergaulan dan kegiatan masing-masing sehinggakan jika ada orang luar masuk atau anak gadis kampung diganggu, Orang Melayu Kampung Baru akan bersatu dan bertindak.Dari situlah wujudnya gelaran Gengster Kampung Baru, kata Shamsuri yang berusia, 57 tahun.Seramai 27 orang Melayu dicatatkan pada Januari 1900 memilih beberapa lot yang disediakan di Kampung Baru untuk dijadikan tempat tinggal mereka selepas Pentadbiran British pada asalnya memperuntuk 223 ekar (89.2 hektar) sebagai kawasan khas rizab perkampungan orang Melayu di Kuala Lumpur.Lembaga MAS ditubuhkan untuk mentadbir kampung ini dengan kuasa melulus dan menetapkan syarat-syarat pemberian lot rumah dan menyimpan butiran pertukaran, meluluskan pelan bangunan, menjalankan projek kecil dan mengawal ketenteraman penduduk."MAS juga berkuasa menyingkir penduduk yang ingkar atau tidak patuh akan peraturan dan dianggap berbahaya kepada masyarakat Kampung Baru," kata Shamsuri. Anggota lembaga MAS dilantik dari kalangan pegawai tinggi penjajah, dan kerabat diraja (Raja Muda Selangor pada asalnya menjadi Yang Dipertua) sehinggalah selepas Perang Dunia Kedua dan di bawah Jepun barulah beberapa orang penduduk Kampung Baru dilantik menganggotai lembaga itu.Tujuh buah kampung di dalam Kampung Baru secara rasmiya diwakili oleh tujuh orang di dalam lembaga berkenaan -- Kampung Masjid (asalnya sekitar Masjid Jamek Kampung Baharu), Kampung Periuk (asal namanya ada perusahaan periuk tanah di situ), Kampung Atas A dan Kampung Atas B (kawasan tanah tinggi), Kampung Pindah dan Kampung Paya (kawasan rendah dan berpaya) dan Kampung Hujung Pasir (kebanyakan penduduk berasal dari Kampung Hujung Pasir di Melaka).Beberapa buah kampung kecil seperti Kampung Manggis dan Kampung Sungai Baru turut digabungkan ke dalam Kampung Baru dan dituruti beberapa kampung setinggan, iaitu Kampung Limau, Kampung Chendana dan Kampung Paya Baru dan ini melebarkan keluasan Kampung Baru kepada kira-kira 121 hektar.
RUMPUN BANGSA BERGABUNG DI DALAM SATU KAMPUNG
Tijah Salim, misalnya, memilih untuk menduduki satu lot di Kampung Baru pada 1900 dan beliau membuat pilihan itu sebenarnya mengikut trend suku kaum tertentu yang datang menduduki kampung-kampung ini dari kalangan orang Melaka, Rawa, Minangkabau, Bugis, Mendeling dan Jawa.Orang Melaka dikatakan memilih kawasan paling strategik iaitu di Kampung Hujung Pasir manakala Kampung Paya menjadi tumpuan Orang Jawa dan masyarakat Minangkabau yang suka berniaga pula menduduki kawasan sekitar masjid di Jalan Raja Alang yang terkenal sebagai bermulanya Bazar Ramadan Kuala Lumpur sehingga merebaknya ke seluruh negara.Setiap penduduk memilih satu lot atau tidak lebih 0.2 hektar dan nama mereka direkodkan di dalam buku. Sebuah fail mengenainya dibuka dan semua rekod itu disimpan oleh lembaga itu sehinggalah sekarang.Fail 124, contohnya, mencatatkan nama Milap binti Pulau yang didaftar masuk pada 28 Julai 1903. Failnya kosong daripada catatan sehinggalah pada 1955, dia mahu membuat pertukaran nama pemilik tanah, maka lembaga ada merekodkan proses itu.Lembaga ini menggunakan kuasa di bawah peraturan atau undang-undang kecil MAS untuk menentukan penduduk kampung umpamanya, tidak meninggalkan tempat yang didiaminya lebih daripada tiga bulan tanpa izin lembaga atau mereka akan disingkirkan, memastikan hanya orang Melayu yang menetap di situ, meluluskan pembangunan atau ubahsuai rumah, menyelia aktiviti bercucuk tanam dan bersawah (yang enggan akan didenda), sekolah anak-anak Melayu, sakit, kematian dan sebagainya.
FAIL MENCATAT SEGALANYA
Di dalam fail pemilik lot tanah inilah dicatatkan segala-galanya, seperti urusan tukar hakmilik tanah, masalah keluarga, nasihat lembaga, perselisihan faham, kematian, kenduri kahwin dan sebagainya."Ada fail mengandungi laporan seperti jalan cerita sebuah drama," kata Shamsuri sambil menunjukkan fail-fail lama tulisan tangan yang tersimpan elok di Dewan Serbaguna Kampung Baru, di Jalan Hamzah, pejabat lembaga MAS kini.Apa tidaknya, jika seorang penduduk bernama Maznah misalnya, kematian suami, ia akan dicatatkan. Jika Maznah menukar nama pemilik harta pesaka atau ada anak angkat atau anak lelaki terlibat, akan direkodkan pertanyaan dan nasihat pembahagian harta yang diberikan lembaga kepadanya.Dan jika berlaku perselisihan faham dengan suaminya sebelum itu dan diadukan kepada ketua kampung, akan juga ditulis dan disimpan di dalam fail.Begitu juga sekiranya Maznah ada masalah dengan jiran, dan apabila perkara itu sampai ke pengetahuan ketua kampung, maka ia akan dilaporkan dan direkodkan dalam fail berkenaan.Pendek kata, laporan tulisan tangan ini memperinci segalanya, daripada masalah yang timbul hinggalah kepada proses penyelesaiannya.
ORANG MELAYU AMBIL ALIH LEMBAGA SELEPAS PERANG DUNIA KEDUA
Orang Melayu hanya mengambil alih lembaga pentadbiran MAS selepas Perang Dunia Kedua kerana sebelumnya kebanyakan anggotanya ialah pegawai Pentadbiran British.Tidaklah menghairankan apabila wujud nama-nama jalan sempena pegawai penjajah itu di Kampung Baru seperti Watson, Perkins, Hale dan Stoney.Lembaga akan bermesyuarat dua bulan sekali dan mengikut cerita John Hands, seorang daripada setiausaha kehormat lembaga itu, mesyuarat pertama lembaga itu diadakan pada 11 Mac 1900 dan dihadiri Raja Muda Selangor.Dalam beberapa mesyuaratnya selepas itu perbincangan bertumpu kepada perkara mengenai pembukaan padang permainan, pembinaan sekolah, jalan, masjid, mengupah tukang, pelantikan guru mengaji Quran, guru besar, penyaluran air, pemasangan lampu dan segala perbelanjaan yang berkaitan dengannya.Shamsuri kini tinggal di Jalan Raja Muda Musa, tanah asal datuknya di kawasan Pasar Minggu. Pasar Minggu pada asalnya dinamakan Saturday Fair, merupakan tempat tumpuan penduduk Jawa terutamanya, yang menjual hasil pertanian dan makanan mereka seperti keropok dan tapai.Sekolah untuk anak-anak Kampung Baru dari usia 5 hingga 12 tahun ditentukan oleh lembaga sementara kawasan kediaman hendaklah bersih dan petak bercucuk tanam mesti diusahakan.
WUJUD KESEDARAN POLITIK, IBU PEJABAT UMNO DI KAMPUNG BARU
Disebabkan eratnya para penduduk melalui aktiviti harian mereka, maka lahirlah beberapa persatuan di Kampung Baru seperti pada awalnya Persatuan Penduduk Melayu Minangkabau, Persatuan Anak Melaka dan Persatuan Peranakan Jawa dan kemudian beralih kepada persatuan sukan seperti Persatuan Seni Silat Cekak Kampong Bharu.Persatuan agama yang popular di Kampung Baru ketika itu ialah Persatuan Budi Pekerti Islam, antara persatuan yang pertama ditubuhkan.Kemudian perkembangan politik mempengaruhi penubuhan Ikatan Setia Kampong Bharu pada tahun 1946 sehinggalah anggotanya diserapkan ke dalam Umno Kampung Baru yang dikatakan memainkan peranan penting dalam Umno Malaya kerana ibu pejabat Umno terletak di sempadan kampung, di Jalan Tuanku Abdul Rahman.Persatuan Pembangunan Kampung Baru Kuala Lumpur (PPKB) dan Persatuan Anak Melayu Kampung Baru (Pakam) hanya ditubuhkan beberapa dekad kemudian, iaitu pada 1994 untuk memperjuang isu pembangunan kampung ini.Dalam pengkisahannya, Hands turut menceritakan bahawa lembaga pentadbiran MAS dari semasa ke semasa meluluskan beberapa undang-undang kecil mengikut keperluan, seperti melarang penyewaan rumah oleh penduduk tanpa kebenaran lembaga, tidak membenarkan mengupah pekerja bukan Melayu dan melarang penternakan lembu, kambing dan lain-lain.Penduduk kampung juga tidak dibenarkan melebarkan atau mengubahsuai rumah mereka tanpa kebenaran lembaga dan jika lembaga itu mendapati kelakuan atau kehidupan seseorang penduduknya bertentangan dengan tujuan baik petempatan itu dibuka, individu berkenaan boleh dihukum diusir keluar.
PERKEMBANGAN DI KAMPUNG BARU
Shamsuri berkata lembaga itu kini masih menguruskan hal ehwal urusan tanah dan sebagainya untuk penduduk ini, dalam dalam kalangan penduduk asal, mereka mengenali satu sama lain kerana masing-masing kebanyakannya ada talian kekeluargaan.Mantan Timbalan Menteri Penerangan dan Ketua Umno Bahagian Titiwangsa yang juga bekas anggota Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed dalam bukunya mengenai sejarah Kampung Baru pada 1999, menulis bahawa kampung itu menempuh tiga tahap perkembangan:Tahap Pertama bermula dengan penubuhannya sebagai perkampungan Melayu pada abad ke-20 manakala Tahap Kedua pula ketika berakhirnya zaman penjajahan dan negara merdeka pada 1957 dan Kampung Baru sudah menjadi kawasan kediaman Melayu yang kukuh. Tahap Ketiga apabila ia termasuk ke dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan ditadbir secara langsung oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.Lembaga MAS ketika itu menghantar memorandum menyatakan kebimbangannya Kampung Baru tidak akan dapat dipertahan sebagai satu-satunya kawasan entiti Melayu di pusat bandar Kuala Lumpur dan mendesak kampung setinggan Melayu yang terbentuk berhampirannya, seperti Kampung Chendana dan Kampung Limau turut tidak diketepikan.
TRANSFORMASI SOSIAL MELAYU BANDAR
Dr Suleiman menceritakan tujuan asal Pentadbiran British menempatkan orang Melayu di Kampung Baru, sebuah kawasan terbiar yang semak samun, sebenarnya ialah kerana mereka mahu mengenepikan orang Melayu daripada kegiatan kehidupan bandar seperti perlombongan dan perniagaan.Orang Melayu ketika itu ramai di Jalan Pudu dan Jalan Melayu atau tertumpu di sekitar kawasan pertemuan dua sungai - Sungai Gombak dan Sungai Kelang yang akhirnya membentuk nadi Kuala Lumpur.Sebuah daripada masjid sebagai mercu tanda orang Melayu menetap di tengah-tengah Kuala Lumpur ialah di Jalan Melayu/Masjid India dan sebuah istana di kawasan Bukti Nenas.Dr Suleiman yang membuat penyelidikan mengenai Kampung Baru dalam tesis "Transformasi Sosial Melayu Bandar" untuk ijazah Doktor Falsafahnya (Ph.D) pada 1999, menyatakan British memujuk Sultan Selangor Sultan Sulaiman ketika itu untuk menganugerahkan tanah di pinggir kota bagi petempatan Kampung Baru."Ironinya, daripada tujuan untuk meminggirkan Orang Melayu ketika itu, kini Kampung Baru muncul sebagai petempatan di tengah-tengah ibu kota," kata beliau dalam satu temu bual.Arus pembangunan menyaksikan kampung ini kini berada di tengah-tengah bandar raya, bersebelahan kawasan segi tiga emas.
PERUBAHAN DI KAMPUNG BARU
Perubahan sebenar kehidupan di Kampung Baru tercetus selepas pelancaran Dasar Ekonomi Baru ekoran rusuhan kaum yang turut melibatkan kampung ini. Dari sini bermulanya peningkatan penyertaan orang Melayu di dalam pelbagai sektor ekonomi negara sehingga menggalakkan kedatangan orang Melayu ke Kuala Lumpur dan Kampung Baru dibanjiri mereka dari serata pelusuk tanah air.Kini 60 peratus daripada 45,000 penduduk Kampung Baru (bancian tahun 2000) bukan lagi penduduk asal, dan amalan regim rutin harian secara teratur di awal pembukaannya, terhakis ditelan zaman.Pun begitu, jika kita menjejak kaki ke Dewan Serbaguna Kampung Baru, masih ada aktiviti yang diuruskan lembaga MAS untuk penduduk kampung.Contohnya sempena Hari Wilayah 1 Feb, mereka menganjurkan pertandingan dam haji dan congkak besar-besaran, dan sebagai persediaan, sekumpulan anak remaja Kampung Baru berkumpul di sini membantu membuat beratus-ratus "buah dam" dan mengisi guli buah congkak di dalam bekas.
-- BERNAMA

04 Februari 2009

Amal Cara Hidup Kampung (petikan akhbar Kosmo)

Meskipun Kampung Baru dihimpit dengan pembangunan yang pesat, namun para penduduknya hidup bermuafakat.





WARGA Kampung Baru masih mengamalkan

cara hidup bergotong-royong dan bermuafakat.


Di sebalik arus moden yang menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya kelas pertama, terdapat sebuah perkampungan tradisional Melayu yang masih wujud di sebalik deretan bangunan pencakar langit. Kawasan perkampungan seluas hampir 250 ekar itu merupakan salah satu kawasan tanah paling bernilai di ibu negara yang dianggarkan mencecah RM5.16 bilion jika mahu dibangunkan. Itulah keunikan Kampung Baru yang telah menjadi saksi terhadap pembangunan yang dilaksanakan di Kuala Lumpur sejak beberapa dekad lalu.

KAMPUNG BARU menjadi saksi 35 tahun berdirinya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Seorang penduduk, Aminah Martaji, 64, berkata, dia berbangga menjadi warga Kampung Baru yang mempunyai keistimewaan tersendiri meskipun kawasan tersebut semakin dihimpit pembangunan yang pesat.
"Walaupun terletak di kawasan bandar, tapi rata-rata penduduk di sini masih mengamalkan gaya hidup kampung seperti bergotong-royong dalam mengadakan majlis kenduri kahwin, sentiasa bertegur sapa sesama jiran dan mengambil berat antara satu sama lain.
"Tidak seperti sesetengah kawasan perumahan atau kejiranan di Kuala Lumpur yang penghuninya langsung tidak mengenali sesama mereka dan tidak pernah bertegur sapa walaupun duduk sebelah-menyebelah.





"Itulah antara kelebihan warga Kampung Baru yang kebanyakannya merupakan anak jati Kuala Lumpur," ujar Aminah, ibu kepada empat orang anak yang memang dilahirkan dan dibesarkan di kawasan tersebut.
Justeru, Aminah berharap agar keharmonian warga Kampung Baru akan terus kekal tanpa diganggu gugat oleh anasir-anasir negatif yang boleh memecah-belahkan masyarakat di sana.

Jika diimbas sejarahnya, Kampung Baru telah diwartakan sebagai Penempatan Pertanian Melayu pada tahun 1900 oleh pentadbir Kolonial British bagi membolehkan kaum Melayu mengekalkan cara hidup kampung di kawasan bandar.
Sejak itu, Kampung Baru telah menjadi lebih daripada sebuah kampung. Keberaniannya menentang pembangunan dan kehidupan moden bandar telah mengubah kampung itu sebagai simbol politik budaya Melayu.
Sementara itu, Bakri Kassim, 66, pula menjelaskan, penduduk di Kampung Baru tidak menolak projek pembangunan di kawasan mereka, tetapi sebaliknya ia perlu dilakukan dengan cara berhemah dan sistematik.
"Kemajuan memang penting untuk membangunkan sesebuah negara, namun setiap projek yang mahu dilaksanakan haruslah mengambil kira kebaikan dan keburukannya di kalangan penduduk.
"Jika sesuatu projek itu hanya mementingkan sebelah pihak sahaja, maka ia tidak adil buat kami. Yang penting, semua pihak harus sama-sama mengecapi nikmat kemajuan yang dilaksanakan seiring dengan matlamat membangunkan bandar raya Kuala Lumpur.
"Di samping itu, kami juga tidak mahu kehilangan hak ketuanan ke atas tanah yang telah diwarisi turun-temurun daripada orang tua kami," kata Bakri yang mula menetap di Kampung Baru sejak tahun 1949. Bagi Khalid Abd. Rashid pula, Kampung Baru sememangnya satu lokasi paling ideal untuk orang ramai menikmati pelbagai jenis makanan yang ditawarkan.
"Sebut sahaja apa jua jenis makanan yang hendak dicuba atau dirasa, semuanya boleh didapati di sini. Daripada makanan masyarakat pantai timur seperti nasi dagang atau tom yam sehinggalah makanan barat seperti stik, chicken chop mahu pun spageti. Semuanya ada," tutur Khalid yang mengakui seronok menjalani kehidupan di Kampung Baru. - KHADIJAH MOHAMAD NOR




http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0202&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Seumpama Dua Darjat (petikan akhbar Kosmo) Bhg 1


Pembangunan di Kampung Baru, Kuala Lumpur mula digerakkan sejak tahun 1975. Namun sehingga kini, ia menemui jalan buntu.

Pembangunan Kampung Baru, warisan Melayu di tengah-tengah ibu kota metropolitan Kuala Lumpur bergerak perlahan sejak dibuka pada tahun 1899. Ia berlaku disebabkan pelbagai faktor, antaranya kerenah birokrasi usang dan sikap penduduk. Bagaimanapun, harapan baru muncul dengan cadangan transformasi kampung tersebut. Menyorot kembali usaha pembangunan Kampung Baru, ia bukanlah satu kisah pendek. Sekiranya dibandingkan kerancakan pembangunan di kawasan itu dengan jirannya di sebalik sempadan bersama, terutama Sungai Kelang, ia sangat berbeza.

Kampung Baru terletak di bahagian utara pusat bandar raya yang disempadani Jalan Raja Muda Abdul Aziz di utara, Jalan Tun Razak di timur, Jalan Dang Wangi, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh) dan Sungai Kelang di selatan serta Jalan Tuanku Abdul Rahman di sebelah barat. Sebagai contoh, menara kembar yang paling tinggi di dunia terletak hanya satu kilometer dari kampung itu. Ironinya, masjid, deretan kedai, kelompok rumah dan pelbagai lagi tidak kelihatan berubah seperti mana Kampung Baru mula dibuka pada tahun 1899 dan digazetkan setahun kemudian. Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan seakan-akan wujud dua darjat di antara Kampung Baru dan kawasan sekelilingnya.

Tujuh kampung utama

Kampung Baru yang seluas 90.35 hektar (225.89 ekar) terdiri daripada tujuh buah kampung iaitu Kampung Hujung Pasir, Kampung Pindah, Kampung Periuk, Kampung Paya, Kampung Masjid, Kampung Atas A dan Kampung Atas B. Saiz perkampungan membesar selepas beberapa kampung kecil turut dirangkumkan ke dalam Kampung Baru seperti Kampung Manggis dan Kampung Sungai Baru dan kemudian disertai perkampungan yang ditakrifkan setinggan sebelum ini, iaitu Kampung Limau, Kampung Chendana dan Kampung Paya Baru.

Terdapat tiga kategori tanah milik Melayu wujud di Kampung Baru iaitu Tanah Simpanan Melayu, Tanah Simpanan Pertanian Melayu dan Tanah Melayu Diberi Milik. Dahulu pernah terdengar jenaka bahawa yang berubah di Kampung Baru hanyalah nama-nama jalannya, sedangkan kampung itu masih lagi seadanya. Apa tidaknya, Hale Road yang dinamakan sempena seorang pentadbir British pada zaman penjajah kini dikenali dengan nama Jalan Raja Abdullah manakala Jalan Raja Muda Abdul Aziz yang merentangi Kampung Baru dahulunya ialah Princess Road dan Jalan Haji Yahya Sheikh Ahmad pernah bergelar Jalan Watson.

Membangunkan kampung baru

Usaha pertama untuk membangunkan Kampung Baru bermula pada tahun 1975 dengan menyatukan pelbagai lot kecil tetapi langkah itu tidak mendapat sambutan dan 10 tahun kemudian, DBKL mengemukakan pelan konsep pembangunan dengan tujuan mengelakkan pemilik individu membangunkan tanah mereka secara persendirian. Setelah lama menyepi, khabar angin mengenai pembangunan Kampung Baru hangat diperkatakan semula pada 1991, susulan lawatan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri (Tun) Dr. Mahathir Mohamad bersama rombongannya, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Bandar Kuala Lumpur, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Datuk Dr. Suleiman Mohamed yang ketika itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilantik mengetuai jawatankuasa pembangunan semula Kampung Baru, turut mengiringi beliau. Beberapa siri pertemuan dengan penduduk seramai 1,923 orang diadakan, tetapi usaha tiga tahun Suleiman gagal, berpunca daripada pelbagai masalah tuntutan pembangunan, hak milik beramai, kos dan pentadbiran tanah dan sebagainya. Ekoran itu, pelbagai aktiviti cuba diusahakan sama ada secara bersendirian atau berkumpulan tetapi kesemuanya menghadapi jalan buntu akibat masalah kos pengambilan balik tanah.

Pelan Tempatan Kampung Baru yang diarah dikeluarkan DBKL pada 1992 sehingga kini tidak diketahui umum bentuknya sehinggalah Draf Kuala Lumpur 2020 Pelan Bandar Raya yang melibatkan Kampung Baru di dalam Jilid 4 dibentangkan pada tahun lalu. Penduduk tubuh persatuan Persatuan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) dan Persatuan Kebajikan Anak-anak Melayu Kampung Baru (Pakam) dalam memorandum mereka pada 1994 turut menyenaraikan beberapa masalah yang timbul dalam perancangan membangunkan Kampung Baru. Ketika itu wujud kumpulan pemilik tanah yang mendesak kerajaan membayar pampasan yang terlalu tinggi dan tidak munasabah dari segi harga pasaran dan penyewaan. Ada pula pihak yang menangguk di air keruh dengan mempengaruhi tuan tanah supaya menyerahkan kuasa menguruskan tanah sehingga berlaku penipuan.

Tidak kurang juga yang mencari populariti memperjuangkan isu Kampung Baru sehingga menampakkan suara pemilik tanah dan tujuan kerajaan tidak sekata. Menurut PPKB dan Pakam, selepas mengadakan beberapa mesyuarat dengan anggota mereka ketika itu, rata-rata penduduk Kampung Baru yang mempunyai kepentingan hartanah dan perniagaan menyokong rancangan untuk membangunkan Kampung Baru dengan syarat pihak berkenaan mengambil kira masalah yang dihadapi mereka dan memenuhi harapan mereka yang munasabah. Mereka tidak mahu berulangnya peristiwa perpindahan orang Melayu dari Sungai Gombak dan Sungai Kelang ke Kampung Baru atas alasan pembangunan, mengakibatkan hampir pupus orang Melayu yang bermastautin di bandar raya Kuala Lumpur.

Jika tidak mencapai kata putus yang adil, kata mereka, Kampung Baru akan terus kekal sebagai dua darjat dengan kawasan di sekitarnya.

- Bernama

03 Februari 2009

PEMBANGUNAN KAMPUNG BARU (petikan akhbar metro)


Penduduk asal bimbang terpinggir


KUALA LUMPUR: Berkali-kali mereka menyatakan tidak menolak mahupun membangkang pembangunan di Kampung Baru sebaliknya mahukan hak dan keistimewaan selaku penduduk asal diiktiraf sekali gus tidak diabaikan.Apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique menyebut kembali perihal pembangunan di kampung itu dijalankan menerusi pelan dirancang sebelum ini, selaras Hari Wilayah Persekutuan, penduduk hanya mampu senyum sambil berharap.Harapan mereka supaya kerja menaik taraf dan membangunkan kampung itu mengikut keperluan serta tidak mengabaikan kebajikan penduduk mendiami perkampungan itu sejak puluhan tahun lamanya selain warisan turun-temurun.Wakil penduduk Kampung Paya yang juga Ahli Jemaah Lembaga Pentadbir Rizab Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Adam Sahat, berkata Kampung Baru dihuni pelbagai peringkat masyarakat terbahagi tujuh kampung kecil.


Keunikan pecahan tujuh kampung kecil ini dalam kawasan Kampung Baru pun mempunyai sejarah tersendiri sekali gus mengkelaskan penduduk di sini mengikut kategori masing-masing bermula ketika zaman pembentukannya lagi.“Sebab itu apabila kerajaan mahu membangunkan Kampung Baru, pendapat penduduk di sini bercampur-baur kerana ada memahami mesej sebenar sebalik pembangunan itu manakala, selebihnya kurang senang kerana tidak mahu kehilangan hak.“Tapi keseluruhannya penduduk di sini sedar pembangunan perlu dan tidak menolaknya tetapi mereka mahu dikekalkan keunikan tradisi sebagai perkampungan Melayu tertua, selain penduduk diberi pilihan membangunkan sendiri kampung mereka,” katanya. Bagi Timbalan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Peniaga dan Kebajikan Pasar Minggu Kampung Baru, Mohamad Nadzri Abdul Hamid, penerangan mengenai proses pembangunan secara menyeluruh perlu dilakukan pihak bertanggungjawab.Ini kerana katanya, penduduk dan peniaga masih kabur mengenai rancangan membangunkan kawasan itu, malah sejak menghantar aduan serta pandangan beberapa bulan lalu, mereka belum lagi dipanggil sesi pendengaran umum seperti dijanjikan.“Kita mahukan yang terbaik di Kampung Baru kerana ini satu-satunya penempatan orang Melayu yang masih bertahan di ibu kota, sebab itu enggan ia dicemari pembangunan tidak wajar apatah lagi yang boleh meminggirkan penduduk asal. “Justeru, saya berharap kerajaan menerusi kementerian bertanggungjawab mengambilkira keperluan penduduk ketika merancang selain membuka ruang berbincang mengenai pembangunan di sini. Jangan buat diam saja,” katanya yang juga generasi ketiga di Kampung Baru.Kaslan Ahmad yang sudah 55 tahun menghuni Kampung Baru berkata, dia tidak mengimpikan pembangunan drastik, sebaliknya cukup sekadar menaik taraf kedudukan kampung itu mengikut pandangan dan pendapat penghuninya.

Temuramah Khas Sempena Hari Wilayah Persekutuan

PUTRAJAYA, 29 Jan (Bernama) -- Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bakal menyambut sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang ke-35 pada 1 Feb ini.Bagi Datuk Seri Zulhasnan Rafique, 14 Feb ini genap tiga tahun beliau menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan yang dihidupkan kembali selepas Mac 2004.Sejak dilantik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, Zulhasnan dilihat telah berjaya memberikan satu identiti, imej dan inspirasi kepada Wilayah Persekutuan serta sambutan Hari Wilayah Persekutuan, di samping melakukan banyak perubahan dan pembaharuan selaras dengan wawasannya menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai sebuah negeri yang Maju dan Sejahtera, seiring dengan nama lagu rasmi Wilayah Persekutuan.Sambutan tahun lepas pula mencipta satu lagi sejarah apabila buat pertama kali, darjah dan pingat kebesaran dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong sempena Hari Wilayah Persekutuan.Berikut wawancara Bernama dengan Zulhasnan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.
Soalan : Sejauh mana Datuk Seri melihat kemajuan dan pencapaian di Wilayah Persekutuan dalam tempoh masa setahun ini ?
Jawapan : Seperti yang kita sedia maklum, Kementerian Wilayah Persekutuan dihidupkan semula selepas tahun 2004. Dan kementerian ini memang mempunyai sejarah dan keunikannya tersendiri dari tahun 1978 hingga 1987.Sebelum saya menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, sebagai seorang Timbalan Menteri Wilayah Persekutujan saya telah memberikan kerjasama dan sokongan penuh kepada Tan Sri Isa Samad dan Datuk Seri Shahrizat Jalil (yang memangku selama tiga bulan).Apabila saya dilantik sebagai menterinya pada tahun 2006, langkah pertama yang saya buat ialah untuk merakyatkan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan melibatkan penyertaan semua pihak. Di samping itu saya juga mengambil langkah untuk menjenamakan semula Kementerian Wilayah Persekutuan melalui proses identiti kepada Wilayah Persekutuan.Walaupun peranan Kementerian Wilayah Persekutuan ialah untuk menggubal dasar serta menangani isu-isu semasa yang serius tetapi saya membuat keputusan untuk mendengar suara semua pihak sebelum membuat sebarang proses penambahbaikan di kementerian.Di sinilah saya ketengahkan pendekatan "retreat" pada tahun 2006. Saya tidak percaya kepada kaedah buat sesuatu dasar baru dengan sesuka hati. Kita perlu mendengar suara, isi hati, pandangan, komen serta teguran dari semua pihak yang terbabit sebelum menggubal sesuatu dasar baru. Sebanyak 15 program retreat berjaya dianjurkan termasuk retreat pembangunan penjaja, dasar penjualan rumah PPR, pembangunan sukan, memperkasakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan lain-lain dalam usaha untuk merakyatkan Kementerian Wilayah Persekutuan.
S: Apa yang dimaksudkan dengan identiti baru kepada Wilayah Persekutuan ?
J: Sebelum ini, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mempunyai bendera dan lagu masing-masing. Saya nampak ianya tidak mencerminkan satu semangat kuat kepada Wilayah Persekutuan. Maka kita melancarkan bendera baru Wilayah Persekutuan dan lagunya pada 20 Ogos 2006.Pelancarannya disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong. Dengan adanya bendera Wilayah dan lagunya, kita bukan sahaja dapat memberikan satu imej dan identiti kepada Wilayah Persekutuan malah langkah tersebut telah memperkukuhkan lagi semangat "Wilayah Persekutuan" di kalangan warga kota Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.Kini bendera Wilayah Persekutuan berkibar megah di premis kerajaan, sekolah, bangunan-bangunan swasta dan banyak tempat lagi. Malah sejak tahun 2006 ketiga-tiga Wilayah bernaung dan berjuang di bawah satu bendera.Lagu rasmi Wilayah - Maju dan Sejahtera juga berkumandang dengan penuh perkasa di majlis-majlis rasmi kerajaan dan juga di sekolah. Kini warga kota sudah memiliki sentimen dan semangat anak Wilayah Persekutuan.Semasa hari Wilayah Persekutuan, identiti inilah menggambarkan semangat sebenar Wilayah Persekutuan. Kalau tak ada identiti ianya bagaikan tidak bermakna. Kita dah ada semangat anak Wilayah sekarang.
S: Apakah cabaran semasa ataupun harian di Wilayah Persekutuan? Masalah setinggan macam mana?
J: Kuala Lumpur menjadi pintu gerbang utama bukan sahaja untuk pelancong tapi juga untuk rakyat tempatan. Ramai datang ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan menyara hidup. Mereka datang dari seluruh negeri dari Malaysia.Kita mempunyai 13 kawasan parlimen di Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya dan Labuan. Setiap kawasan parlimen mempunyai permasalahan dan fenomenanya tersendiri. Dulu Kuala Lumpur mempunyai kawasan setinggan. Kini kita mengambil langkah membina rumah - rumah PPR untuk memindahkan mereka melalui proses pemindahan setinggan.Pada bulan Jun 2007, Perdana Menteri Datuk Seri Abdulllah Ahmad Badawi mengumumkan dengan rasminya usaha penjualan 15,007 unit rumah PPR yang dibangunkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara dengan harga RM35,000 setiap satu.Wilayah Persekutuan menjadi negeri pertama mengambil langkah tersebut bagi memberikan satu kehidupan baru kepada warga kota Kuala Lumpur.Saya masih ingat lagi peristiwa tersebut apabila Perdana Menteri umumkan dalam satu majlis perjumpaan di PPR Intan Baiduri di kawasan Parlimen Batu, penduduk yang hadir bangun lantas memberikan sorakan gemuruh.
S: Sejauh mana proses pemindahan setinggan di Kuala Lumpur yang Datuk Seri sendiri banyak mengambil berat tentangnya?
J: Dulu memang ramai tidak mahu berpindah kerana mereka telah tinggal lama di kawasan setinggan. Namun kita mahu memberikan satu kehidupan baru melalui skim pembelian rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada mereka.Sejak tahun 1999, hampir 16,000 keluarga telah pindah ke rumah PPR. Bilangan yang tidak pindah tidak banyak. Kami sedang mengambil langkah-langkah terbaik untuk memindahkan mereka dalam satu suasana aman dan damai.Sasaran setinggan sifar 2009 hanya dapat dicapai melalui kerjasama semua penduduk. Sementara itu, pada bulan Februari 2008, saya telah mengumumkan mekanisme dan syarat-syarat penjualan 15,000 unit rumah PPR yang dibangunkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara. Setelah itu, DBKL telah turun padang buat sesi penerangan berhubung perkara tersebut bersama penduduk PPR di samping membuat proses pendaftaran.Kini kaedah penjualannya dan garis panduannya sedang dirangka oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Hampir selesai.Kementerian Wilayah Persekutuan melalui DBKL akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Perumahan sebelum mengumumkanya secara rasmi.Saya kena akui , menangani isu setinggan merupakan satu tanggungjawab yang penting Insyallah, impian saya untuk memberikan satu penempatan yang lebih baik dan selesa untuk warga kota melalui skim beli ini bakal dimanfaatkan secara baik oleh warga kota. Malah sewa rumah PPR juga hanya RM124. Paling murah sekali di dunia ditambahkan, kemudahan dua bilik air dan tiga bilik.
S: Wilayah Persekutuan mempunyai 13 kawasan Parlimen. Namun pilihan raya umum ke-12 yang lepas, hanya Datuk Seri seorang sahaja calon Barisan Nasional yang menang di Kuala Lumpur.Kini Kuala Lumpur diwakili oleh 10 wakil dari Pakatan Rakyat. Bagaimana cabarannya?
J: Wilayah Persekutuan berada di bawah kerajaan Persekutuan. Dan saya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan sentiasa mengambil pendekatan mendengar " suara pihak pembangkang" sejak dulu lagi.Sebelum PRU 12, apabila ketika itu, Kuala Lumpur mempunyai empat wakil dari pihak pembangkang pun, saya mengambil langkah yang sama, termasuk saya juga dengar suara dan rintihan wakil dari komponen BN dulu dan sekarang.Yang penting kita bekerja dan berkhidmat untuk rakyat. Saya sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan dan kritikan dengan hati yang terbuka.Saya berpegang kepada prinsip "mendengar rintihan dan pandangan sebelum bertindak". Saya tidak mempunyai sebarang masalah. Yang penting, kita menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada kita dengan cekap.S: Selepas PRU 12 , walaupun KL dikuasai oleh Pakatan Rakyat, Datuk Seri dilihat dapat menanganinya dengan tenang dan berani walaupun keseorangan di Parlimen sebagai wakil rakyat dari BN. Apa pendapat Datuk Seri?J: Kita perlu utamakan tugas dan tanggungjawab kita. Saya menjawab segala soalan yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang di Parlimen.Pelbagai isu dibangkitkan. Kita jawab secara rasional dan tidak melindungi apa-apa. Kita amalkan dasar terbuka. Adakalanya kita berjumpa semasa di sesi Parlimen dan membincangkan isu-isu tertentu. Saya percaya kalau kita adakan hubungan dua hala, sudah tentu isu-isu yang dibangkitkan dapat diselesaikan dengan baik.Saya berpegang kepada amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada saya.
S: Apabila penukaran nama Jalan Alor menjadi panas tahun lepas sehingga Datuk Seri campur tangan. Apakah mesej yang Datuk Seri terima melalui isu tersebut?
J: Saya telah mengarahkan kepada DBKL untuk merujuk kepada saya ataupun Kementerian Wilayah Persekutuan sekiranya ada rancangan penukaran nama untuk jalan-jalan tertentu pada masa depan.Dalam isu ini juga, saya mendengar suara dan rintihan daripada masyarakat setempat, pelancong serta DBKL sebelum membuat keputusan untuk mengekalkan nama tersebut.Apabila sesuatu kawasan sudah popular dan mempunyai identiti mahupun di persada tempatan dan antarabangsa, kita perlu kekalkan namanya untuk kebaikan semua pihak.
S: Datuk Seri dikatakan ada kalanya mempunyai kaedah turun padang tanpa media. Boleh terangkan?
J: Kalau saya ada masa, saya akan meronda sekitar Kuala Lumpur untuk meninjau keadaan persekitaran. Melalui pendekatan ini saya percaya kita dapat mencari banyak fakta. Kadang-kadang saya turun padang tanpa media bagi melengkapkan misi mencari fakta. Kita perlu fahami dan mendalami segala isu. Saya percaya kepada konsep ini.
S: Baru-baru ini Datuk Seri berkata terdapat lebih 16 kementerian, 30 agensi atau jabatan di bawah lima pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kaitan dalam hal perancangan dan pembangunan Kuala Lumpur. Boleh jelaskan?
J: Pada masa ini orang ramai mengganggap bahawa DBKL mempunyai kawalan dan bertanggungjawab dalam hal ehwal pengurusan dan pentadbiran di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Tetapi hakikat yang sebenar ialah sebahagian daripada fungsi tersebut berada di bawah bidang kuasa perundangan dan tanggungjawab pelbagai agensi Kementerian dan agensi kerajaan yang berkenaan. Sebagai contoh, DBKL bertangungjawab membina stesen teksi dan bas tetapi laluan bas diputuskan oleh Kementerian Pengangkutan.Lesen bas di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan dan Kementerian Pengangkutan. Kementerian Kerja Raya mengendalikan jalan. Perumahan di bawah Kementerian Perumahan. Sungai di bawah Kementerian Sumber Asli. Satu lagi isu pula ialah dalam menangani gejala sosial dan jenayah seperti kebanjiran warga asing, kutu rayau, pelacuran dan penagihan dadah, DBKL sebagai PBT hanya dapat lakukan dua perkara sahaja iaitu memantau keadaan tersebut serta mengawal pengeluaran lesen dan aktiviti perniagaan.DBKL sebagai PBT tidak diperuntukkan kuasa undang-undang untuk menangkap dan menahan kerana PBT hanya mempunyai kuasa penyelarasan. Inilah dilema di Kuala Lumpur. Warga kota mungkin tidak tahu mengenai senario ini.Sekiranya ada percanggahan kuasa dalam menjalankan tugas amat sukar untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Sebagai PBT yang paling besar di Malaysia , DBKL mempunyai tanggungjawab paling besar di Kuala Lumpur.
S : Bagaimana kita dapat mengatasi dilema ini?
J: Sekiranya Kuala Lumpur mahu menjadi sebuah bandar raya maju dan kelas pertama di dunia menjelang tahun 2020 kita perlu terapkan pendekatan Pengurusan Bandar Raya Moden di Kuala Lumpur. Sebagai langkah pertama mencapai visi tersebut, Kementerian Wilayah Persekutuan telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan bagi penambahbaikan system penyampaian perkhidmatan di Kuala Lumpur dalam usaha menjadikanya sebagai bandar raya kelas pertama menjelang tahun 2020.Visi menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang maju di dunia tidak dapat dicapai dengan sekadar mencantikkan Kuala Lumpur dan tanam pokok sahaja.Kita perlu belajar banyak aspek dari bandar raya maju dunia. Kita perlu serius. Justeru, bagi memenuhi hasrat tersebut Kementerian telah melakukan lawatan ke Singapura, Shanghai, Tokyo, Seoul, London, Berlin dan Vancouver untuk mengkaji bagaimana aspek-aspek perundangan, pentadbiran dan pengurusan semua bandar raya itu diselaraskan. Ini bukannya lawatan "syok sendiri".Kalau kita betul-betul nak majukan Kuala Lumpur, kita perlu belajar dari bandar raya maju. Pendedahan seperti ini amat berguna untuk kita ketengahkan di Kuala Lumpur.Kami mendapati PBT di bandar raya terbabit diberikan peruntukan kuasa dan bidang tugas yang lebih dan menyeluruh. Ini berbeza dengan PBT di Malaysia kerana di dalam kawasan pentadbiranya, sebahagian besar daripada kuasa dan bidang tugas berada di bawah peranan dan tanggungjawab kementerian dan agensi kerajaan yang lain, contohnya, pengangkutan awam, banjir, pelancongan dan lain-lain lagi.
S: Datuk Seri yakin masalah tersebut dapat diatasi?
J: Kita telah menubuhkan jawatankuasa khas pengurusan bandar raya moden. Baru-baru ini kita menganjurkan satu bengkel bertajuk Ke Arah Pengurusan dan Penyelarasan Berkesan Bandar Raya Moden dan Mapan.Segala cadangan dan input akan diperhalusi sebelum dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat ini. Ini memang satu perkara penting yang perlu diberi perhatian untuk masa depan Kuala Lumpur.
S: Bagaimana dengan pembangunan di Putrajaya dan Labuan?
J: Walaupun Putrajaya dilihat sebagai mercutanda pusat pentadbiran negara, Perbadanan Putrajaya sedang mengambil pelbagai langkah dan usaha untuk menjadikannya sebagai pusat komersil selain pusat kecemerlangan sukan eskstrem dan sukan air.Malah Putrajaya juga mempunyai gelanggang sukan ekuestrian bertaraf antarabangsa. Selain itu, Putrajaya juga popular sebagai "bandar raya bunga" dengan penganjuran Pesta Flora yang diadakan tahun lepas yang berjaya mengetengahkan nama Putrajaya di peringkat antarabangsa.Labuan pula bergerak maju dengan pembinaan pusat hab halal dengan kos RM50 juta daripada kerajaan persekutuan. Selain menjadi pusat minyak dan gas, Labuan juga tersohor dengan pusat kecemerlangan pendidikan dan bebas cukai.
S: Apakah cabaran utama di peringkat PBT? Adakah Datuk Seri berpuas hati dengan tanggungjawab PBT?
J: Saya amat puas hati dengan tugas dan tanggungjawab pihak PBT di ketiga-tiga wilayah khususnya di Kuala Lumpur. Masalah utama di Kuala Lumpur ialah masalah trafik, banjir dan kebersihan. Apa yang penting bagi PBT ialah bertindak segera apabila menerima aduan dari rakyat. PBT perlu memperkasakan sistem penyampaian. Inilah skop yang paling penting.Saya juga telah mengilhamkan konsep "One Stop Centre" di ketiga-tiga wilayah bagi memudahkan urusan warga kota. Ini juga merupakan salah satu cara kita mempertingkatkan sistem penyampaian.Datuk Bandar Kuala Lumpur boleh mengemukakan cadangan untuk mempertingkatkan lagi sistem penyampaian di Kuala Lumpur.
S: Kita nampak semasa Pelan Deraf KL 2020 dibentangkan, banyak suara protes. Apa komen Datuk Seri?
J: Mungkin warga kota tersilap pandang dan menganggap deraf tersebut sudah diputuskan. Ia hanya deraf. Kerana itulah kita menamakanya pelan deraf pembangunan Kuala Lumpur. Ketika ini ianya berada di proses pendengaran dari orang awam, persatuan penduduk dan NGO.Kita mensasarkan bulan Jun 2009 dapat selesaikan sesi pendengaran. Namun saya boleh melanjutkan lagi tempoh sesi pendengaran tersebut sekiranya kita mendapat maklum balas yang baik dari warga kota. Yang penting inilah peluang untuk warga kota bersuara. Saya mengalu-alukan dengan hati yang terbuka sebarang bantahan, kritikan, cadangan, komen dan sebagainya.Barulah kita dapat bekerja sebagai satu pasukan secara bersama untuk membentuk satu pelan tempatan Kuala Lumpur 2020. Saya memberi jaminan suara warga kota akan diberikan keutamaan. Inilah masa untuk warga kota kemukakan cadangan dan bantahan mereka. Kawasan Hijau juga akan diberi perhatian seperti mana kita telah gazetkan sebahagian Bukit Kiara sebagai pusat rekreasi ala Hyde Park di London.
S: Bagaimana dengan pelan pembangunan Kampung Baru di Kuala Lumpur?
J: Kali ini pelan pembangunan Kampung Baru telah dimasukkan sekali sebagai salah satu deraf berasingan dalam deraf pelan pembangunan Kuala Lumpur 2020.Ini merupakan satu usaha yang telah diambil oleh pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama DBKL. Banyak usaha telah diambil oleh pihak kementerian untuk membangunkan Kampung Baru termasuk membantu penduduk setempat mengenal pasti masalah mereka seperti geran, waris dan sebagainya.Sesi penerangan juga telah diadakan beberapa kali. Sekiranya pelan pembangunan Kampung Baru ini diterima ianya bukan sahaja bakal melakar satu sejarah tetapi akan menepati visi memperkasakan Melayu bandar. Apapun ianya terpulang kepada penduduk setempat untuk menerimanya ataupun sebaliknya. Sekiranya pelan ini diterima, ianya akan dibangunkan oleh kerajaan menerusi pembentukan Perbadanan Kampung Baru.
S: Warga kota yang tinggal di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mahukan bandar raya kita menjadi kelas dunia. Apa peranan mereka?
J: Warga kotalah yang perlu memainkan peranan utama sekiranya kita mahu bandar raya kita bertaraf dunia. Mereka juga kena faham definisi bandar raya kelas pertama. Kalau kita ada mentaliti kelas ketiga dan bandar raya kelas pertama juga tidak memberi sebarang makna. Pendidikan merupakan kunci kepada kejayaan.
S: Masalah kesesakan masih tak selesai lagi. Bila agaknya ianya dapat diatasi?
J: Susulan daripada retreat "Memperkasakan Sistem Pengangkutan Jalan" yang diadakan pada tahun lepas, segala cadangan telah dikemukakan kepada jawatankuasa kabinet mengenai pengangkutan awam yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.Pada masa yang sama kita juga sedang mengambil langkah-langkah yang patut berdasarkan peruntukan dana untuk mengurangkan kesesakan di 10 kawasan yang diklasifikasikan sebagai kawasan "panas" pada waktu pagi dan petang.Banyak kementerian dan agensi lain yang terlibat dalam sistem pengangkutan di Kuala Lumpur. Pertama sekali kita perlu mempertingkatkan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur.
S: Bagaimana dengan projek pembangunan di kawasan-kawasan bukit? Baru-baru ini penduduk di kawasan Damansara 21 menyambut baik usaha kementerian membekukan projek tersebut. Apakah susulan selepas ini?
J: Kabinet telah mengarahkan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan menggubal satu garis panduan mengenai projek pembangunan di kawasan bukit. Kementerian Wilayah Persekutuan juga akan mengeluarkan garis panduan berhubung pembinaan di kawasan berbukit selepas mendapat maklum balas daripada Kementerian Perumahan.Dalam isu penduduk Damansara 21, kami telah mendengar rintihan mereka dan telah membekukan projek tersebut. Kami juga telah mengarahkan pihak syarikat tersebut untuk meneruskan kerja memperkukuhkan cerun demi keselamatan dan kebaikan para penduduk. Kita akan memantau dari masa ke semasa keadaan disana.
S: Apakah harapan Datuk Seri sempena Hari Wilayah Persekutuan tahun ini?
J: Harapan dan doa saya ialah untuk melihat ketiga-tiga Wilayah Persekutuan terus mencapai kemajuan gemilang dengan rakyatnya menikmati kesejahteraan hidup yang setanding dengan semua bandar raya maju di dunia.
-- BERNAMA

02 Februari 2009

08 Januari 2009

SOLAT HAJAT MENGECAM KEZALIMAN ZIONS, YAHUDI, ISRAEL




PEMUDA KAMPUNG BARU AKAN MENGADAKAN SOLAT HAJAT MENGECAM KEZALIMAN ZIONIS, YAHUDI, ISRAEL YANG TELAH DILAKUKAN TERHADAP RAKYAT ISLAM PALESTIN. PENINDASAN YANG DILAKUKAN TERHADAP RAKYAT PALESTIN ADALAH TINDAKAN YANG SANGAT KEJAM. MARI KITA BERAMAI-RAMAI MENUNAIKAN SOLAT HAJAT UNTUK RAKYAT PALESTIN SEMOGA MEREKA DIJAUHI DARI MALAPETAKA TENTERA ISRAEL YANG ZALIM. ANAK-ANAK KECIL YANG TIDAK BERDOSA MENJADI MANGSA KEZALIMAN ZIONIS YAHUDI

SOLAT HAJAT AKAN DIADAKAN DI

TEMPAT : MASJID JAMEK KAMPUNG BARU KUALA LUMPUR

MASA : SELEPAS SOLAT JUMAAT

TARIKH : 09-09-2009 (ESOK)

HARAP KEHADIRAN ANDA SAUDARA SEMUA BERSAMA SOLAT HAJAT.

ANJURAN PEMUDA KAMPUNG BARU

*ANJURAN INI TIDAK MENGIRA FAHAMAN POLITIK SEMUA DIJEMPUT HADIR

31 Disember 2008

HAPPY NEW YEAR 2009


SELAMAT TAHUN BARU 2009

2009 HAMPIR TIBA MENJELANG. 2008 AKAN DITINGGALKAN DENGAN MEMORI YANG INDAH, SUKA, DUKA, PAHIT, MANIS DAN PELBAGAI RAGAM KEHIDUPAN.



BELIA PASAR MINGGU MERASAKAN MASIH ADA SINAR BAGI PENDUDUK DI PASAR MINGGU MENANTI PEMBANGUNAN YANG AKAN DIJALANKAN. BAGAIMANA PULA DENGAN TINDAKAN DATUK BANDAR YANG BARU ADAKAH BELIAU LEBIH PERIHATIN KEPADA DENGAN MASALAH PENDUDUK ATAU MENGEJAR KEUNTUNGAN DENGAN MELAKSANAKAN PELBAGAI PEMBANGUNAN YANG AKAN MENGHIMPIT GOLONGAN YANG BERPENDAPATAN RENDAH SEPERTI PENIAGA KECIL, PENJAJA DAN SEBAGAINYA YANG UMPAMA KAIS PAGI MAKAN PAGI, KAIS PETANG MAKAN PETANG.



TAHUN 2008 JUGA MENYAKSIKAN BERBAGAI PERISTIWA YANG MELANDA SAMADA PENDUDUK DIDALAM NEGARA DAN JUGA LUAR NEGARA. KENAIKAN DAN PENURUNAN BAHAN API MENJADI PEMANGKIN KEPADA KENAIKAN BARANG KEGUNAAN HARIAN DAN PELBAGAI KEPERLUAN LAIN.

28 Disember 2008

DATUK BANDAR KUALA LUMPUR BERTUKAR TANGAN



ABDUL HAKIM BORHAN TELAH TAMAT BERTUGAS SEBAGAI DATUK BANDAR KUALA LUMPUR BERKUATKUASA PADA 11 DISEMBER LALU. PENGANTI DATUK BANDAR YANG BARU ADALAH AHMAD FUAD. SELAMA MEMERINTAH KUALA LUMPUR SELAMA 2 TAHUN, REPUTASI ABDUL HAKIM DILIHAT KURANG MENYERLAH DAN MEMBERANGSANGKAN BAGI WARGAKOTA KUALA LUMPUR. KHASNYA BAGI PENDUDUK PASAR MINGGU KUALA LUMPUR YANG TELAH DIHALAU OELH DBKL DENGAN ALASAN PEMBANGUNAN. PENDUDUK DIHALAU TANPA ADA PAMPASAN MENGIKUT SURAT YANG TELAH DIEDAR DAN DITAMPAL OLEH PIHAK DBKL YANG SEOLAH-OLAH TIDAK BERPERIKEMANUSIAN DI DALAM KETAMADUNAN MANUSIA.


DATUK AHMAD FUAD TELAH MENGANTIKAN ABDUL HAKIM BORHAN SEBGAI DATUK BANDAR KUALA LUMPUR YANG BARU. DATUK BANDAR KE 9 DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR. MULA BERTUGAS PADA 14 DISEMBER DIHARAP DAPAT MEMBANTU PENDUDUK IBUKOTA YANG TERDIRI DARI PELBAGAI LAPISAN MASYARAKAT DAN TARAF HIDUP. BAGI PENDUDUK, PENIAGA KECIL, PEKERJA YANG BERPENDAPATAN RENDAH MENGHARAP SESUATU YANG DAPAT MEMBERI KESELESAAN SEBAGAI PENGHUNI KOTA.

13 Disember 2008

SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA











SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA KEPADA SEMUA. PENDUDUK PASAR MINGGU TELAH MENGADAKAN KORBAN DAN AQIQAH SEMPENA HARI RAYA KORBAN. 6 EKOR LEMBU DAN 2 EKOR KAMBING TELAH DIKORBANKAN PADA MAJLIS TERSEBUT. MAJLIS TERSEBUT BERLANGSUNG DALAM SUASAN HUJAN RENYAI-RENYAI / GERIMIS TIDAK MEMATAHKAN SEMANGAT PENDUDUK MALAKUKAN IBADAH KORBAN. SEMUA PENDUDUK MENGAMBIL BAHAGIA DIDALAM MAJLIS TERSEBUT YANG BERAKHIR KIRA-KIRA PUKUL 3 PETANG. GOLONGAN BELIA TIADAK MELEPASKAN PELUANG UNTUK TURUT SAMA BERGOTONG ROYANG. BUDAK-BUDAK JUNIOR TELAH BANYAK MEMBANTU MENUMBANGKAN LEMBU-LEMBU YANG HENDAK DISEMBELIH.
HARAP - HARAP MAJLIS SEUMPAMA INI AKAN BERTERUSAN UNTUK TAHUN-TAHUN AKAN DATANG. KEMESRAAN YANG TERJALIN MENYATUKAN PENDUDUK YANG SEPAKAT BERSAMA-SAMA DALAM MAJLIS INI.

05 November 2008

ARTIKEL DARI BLOG KAMPUNG BARU KAMPUNG KU

PAKAM SOKONG PERANCANGAN PEMBANGUNAN KAMPUNG BARU

Oleh Asmaliza Mansor / SINAR HARIAN
KAMPUNG BARU: Persatuan Kebajikan Anak-Anak Kampung baru (PAKAM) pada dasarnya menyokong perancangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCP) 2020, namun Secara terperincinya pihak pihak tersebut memerlukan beberapa penelitian dan penerangan yang lebih lanjut berhubung pembangunan di Kampung Baru.
Pengerusinnya, Datuk Matshah Safuan berkata, pihaknya ingin penerangan lebih proaktif kerana didalam pembangunan Kampung Baru jika kerajaan tidak disokong, ia tidak akan dibangunkan.
Justeru katanya, beliau merasakan bahawa sudah sampai masanya untuk kampung itu dibangunkan dan jalanya juga telah kelihatan.
"Pakam ingin melihat pembangunan di Kampung Baru berjalan dengan sempurna dan lancar, justeru kita juga sedang cuba untuk memastikan bahawa DBKL mendengar pandangan dan pendapat daripada penduduk di samping membuka ruang kepada pihak berkuasa tempatan berkenaan untuk memberikan penjelasan bagi memuaskan hati penduduk.
"Dengan itu setiap masalah yang dihadapi penduduk Kampung Baru ini dapat diambil kira pihak DBKL kerana kita tidak mahu wujud konfrontasi di antara kerajaan dan penduduk," katanya ketika ditemui disini.
Menurutnya, beliau melihat KLCP 2020 yang di usulkan DBKL itu adalah menyeluruh, namun Pakam ingin memastikan bahawa dalam pembangunan yang telah dirancang itu, pengambilan tanah seboleh-bolehnya dikurangkan.
"Itu yag ingin Pakam ketengahkan dan setakat ini pihak DBKL faham akan perkara ini. Ia akan menyenangkan kerja mereka dan memuaskan hati penduduk kerana kita semua meminta satu pembangunan yang munasabah," katanya.
Matshah berkata, beliau mengesa penduduk Kampung Baru supaya tidak bercakap soal nilai tanah kerana mereka bukannya ingin menjual tanah tetapi ingin membangunkannya.
"Semua ini tertakluk kepada 'plot ratio' dan apa yang boleh dibangunkan di atas tanah itu. Ini juga yang kita mahu ketengahkan. Kalau nak buat rumah, rumah yang tinggi supaya ada nilai ekonomi yang akan menguntungkanpenduduk dan generasinya.
"Kita juga perlu menjaga kepentingan hak kita, jangan sampi hilang hak. Saya juga ingin menyarankan supaya penduduk memahami apa yang hendak dicadangkan oleh kerajaan kalau tidah faham bertanya sehingga kita faham," katanya.
Menurutnya beliau kesal kerana terdapat laporan akhbar yang memetik kata-kata orang luar yang mengatakan tidak bersetuju dengan pembangunan, walhal tiada siapa yang menolak pembangunan.
"Penduduk Kampung Baru hanya ingin penjelasan yang lebih jelas supaya tidak akan timbul masalah kepada mereka dan keluarga mereka kelak.
"Saya menyeru kepada penduduk dan waris-waris supaya menjadi ahli Pakam walaupun tidak kira di mana mereka berada kerana ia merupakan saluran yang terbaik.
"Tujuan kita mewujudkan Pakam ialah untuk mengeratkan lagi silaturahim di antara penduduk di kawasan Kampung Baru kerana banyak di antara mereka yang dilahirkan si sini kini menetap di luar kawasan.
Beliau berkata,Pakam sebagai satu saluran maklumat mengenai apa yang ingin dilakukan di Kampung Baru khasnya berkenaan pembangunan dan pihaknya fokus kepada pembangunan kawasan berkenaan.

20 Oktober 2008

Khalid desak Datuk Bandar KL ditukar

CHERAS -Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam mendesak Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab Hakim Borhan digantikan dengan individu lain yang lebih profesional dalam menjalankan tugas terutama membabitkan kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR).
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, pihaknya akan mengemukakan surat cadangan agar Ab Hakim segera ditukarkan setelah mendapat persetujuan daripada semua Ahli-ahli Parlimen PR di Wilayah Persekutuan dalam masa terdekat. "Datuk Bandar sekarang tidak layak untuk memegang jawatan itu kerana beliau tidak menghormati kehendak dan keperluan rakyat di kawasan Kuala Lumpur ini. "Datuk Bandar juga dilihat tidak membantu Bumiputera untuk terus maju, tindakan yang dilaksanakannya kebanyakannya menyebabkan Bumiputera terus berada di belakang dan mundur," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agong Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bandar Tun Razak, di sini semalam. Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok ketika dihubungi berkata, gesaan agar Ab Hakim ditukar dengan individu sebenarnya sudah lama disuarakan ekoran rasa tidak puas hati penduduk terhadap perkhidmatan DBKL. Teresa mendakwa, Ab Hakim juga dilihat kurang turun padang menyelesaikan masalah penduduk menyebabkan ramai yang tidak mengenali beliau selaku Datuk Bandar.

"Kita mahukan Datuk Bandar yang sentiasa proaktif boleh bekerjasama dengan semua. Selaku Ahli Parlimen, saya lebih gembira bekerjasama dengan Datuk Bandar sebelum ini yang lebih komited dalam menjalankan tugasnya terutama mengatasi masalah-masalah rakyat. "Tambahan pula, kerjasama yang diberikan kepada kami sebagai Ahli Parlimen PR cukup mengecewakan dan tidak menunjukkan perkembangan positif walaupun kami sebenarnya memberikan perkhidmatan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo Mohamad Ghazali berkata, beliau akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung gesaan Abdul Khalid itu. Katanya, beliau secara peribadi berpandangan wajar Ab Hakim diberi peluang untuk membetulkan sebarang kekurangan terutama membabitkan hubungan dan kerjasama yang lebih baik dengan semua Ahli Parlimen di Kuala Lumpur. "Saya rasa beliau perlu tahu membezakan mana yang tidak elok dan tidak menganggap semua permintaan kita adalah atas kepentingan politik. Kita sebenarnya adalah pemimpin masyarakat dan setiap apa yang diperjuangkan adalah untuk faedah rakyat," katanya. Sambil mengakui terdapat beberapa kekangan sewaktu berurusan dengan DBKL, Dr Lo'Lo bagaimanapun tidak melabelkan keseluruhan dewan bandaraya itu bermasalah.

"Bagi saya ada sesetengah bahagian di DBKL yang dapat memberikan kerjasama yang baik dan ada juga yang sebaliknya namun perlu diperbaiki agar fungsi DBKL tidak lari dari konsep asal," katanya. Selepas Pilihan Raya Umum ke 12 lalu, 10 daripada Ahli Parlimen di Kuala Lumpur adalah daripada PR manakala Ahli Parlimen tunggal Barisan Nasional (BN) ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique.



MEMANG PATUT DATUK BANDAR DITUKAR INI KERANA BELIAU TIDAK MESRA RAKYAT DAN SEBALIKNYA BERTINDAK MENINDAS RAKYAT. APAKAH ORANG SEPERTI INI YANG DIHARAPKAN??????????

MAKLUMAT LANJUT SINAR HARIAN

http://www.sinarharian.com.my/selangor/content/story2070894.asp

15 Oktober 2008

SAMBUTAN JAMUAN HARI RAYA CAWANGAN PASAR MINGGU

TUAN/PUAN DIJEMPUT DATANG KE MAJLIS JAMUAN HARI RAYA PASAR MINGGU


BERTEMPAT : PERKARANGAN PASAR MINGGU
TARIKH : 15 / 10 / 2008
MASA : 8.00 MALAM - 11.00 MALAM


* TOLONG SEBARKAN KEPADA KAWAN-KAWAN
* SEMUA DIJEMPUT HADIR

13 Oktober 2008



SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI KEPADA SEMUA

26 September 2008

Ketelitian si pembuatnya




'Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'. Itulah perumpamaan lama yang boleh dikaitkan dengan tradisi masyarakat Melayu dalam memartabatkan seni warisan dan budaya Melayu.
Selain memelihara nilai keagungan kraf tempatan, tenunan songket dan batik, songkok adalah antara seni kraftangan yang sinonim dengan budaya kita hari ini, lebih-lebih lagi bagi golongan lelaki.
Menariknya, setiap kali Aidilfitri menjelma, songkok pasti menjadi pilihan. Selain kopiah, terbus mahu pun ketayap, songkok menjadi elemen fesyen utama untuk digayakan bersama baju Melayu, agar si pemakai tampil kacak dan bergaya pada pagi hari raya.
Menyedari nilai warisan bangsa yang perlu dijaga, pembuat songkok, Martis Marwan, 58, menjalankan perniagaan menjahit penutup mahkota lelaki itu di rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Sejak lebih dua dekad beroperasi, Martis mengakui bidang pembuatan songkok sememangnya memerlukan kesabaran dan ketukangan yang teliti. Ini kerana hasilnya dapat mencerminkan nilai peribadi pembuatnya.
MARTIS mengambil masa selama 15 minit untuk menyiap sebiji songkok.
Bercerita tentang awal penglibatannya: "Dulunya, pada awal tahun 1980-an, saya mengambil tempahan menjahit baju kurung dan baju Melayu di sebuah kedai di Jalan Raja Bot, Chow Kit. Ketika itu, tidak pernah terlintas langsung saya untuk menjahit songkok.
"Kelebihan menjahit songkok adalah kerana cara jahitan dan konsep potongan kain dan kertasnya sama dan tidak pernah berubah. Berbanding baju kurung, ia memerlukan lakaran dan potongan yang berlainan konsep, bergantung kepada kehendak dan cita rasa pelanggan.
"Sebenarnya, membuat songkok memerlukan ketelitian dan masa pertukangan yang lama. Sebab itulah pada zaman sekarang, agak susah sedikit nak peroleh songkok yang berkualiti tinggi. Pada hari ini, songkok banyak yang dibuat menggunakan mesin, jadi kehalusan kerja tangannya sudah hilang," katanya.
Menyedari pemakaian songkok merupakan identiti lelaki Melayu, Martis mempelajari cara pembuatan songkok, hasil tunjuk ajar seorang majikannya Adnan.
PEMBUATAN songkok memerlukan kesabaran dan ketukangan yang teliti.
"Saya hanya pandai membuat songkok setelah beberapa bulan belajar dengannya. Bantuan yang diberikan menerusi pinjaman mesin ketika itu, memberi peluang kepada saya membuka perniagaan secara kecil-kecilan, dengan bermodalkan wang bernilai RM500.
Bercerita tentang sambutan menjelang musim perayaan, permintaan pasaran kini lebih menggalakkan kerana masyarakat menyedari kepentingan menghargai warisan tradisi ini.
"Permintaan songkok pada masa kini amat menggalakkan, selain digayakan semasa Aidilfitri, songkok juga menjadi salah satu pakaian rasmi pada majlis-majlis korporat lain.
"Malah, selain menjadi salah satu kelengkapan pakaian persekolahan bagi pelajar dan pasukan beruniform seperti polis dan tentera, pemakaian songkok bercorak bendera Malaysia juga boleh dipakai sempena meraikan Hari Kemerdekaan," jelasnya.
Kini, songkok turut diberi nafas baru dengan lilitan songket tenun dan batik mahu pun disematkan kerongsang.
Sentuhan asli songkok Martis itu begitu mendapat sambutan hebat daripada para pemborong dan pembeli di sekitar Lembah Klang, Selangor dan Pahang.
SONGKOK turut dikomersialkan dengan lilitan songket tenun mahupun batik.
"Tiga bulan sebelum menyambut Ramadan, saya sudah menerima tempahan daripada para pemborong dan penjual songkok.
"Kebiasaannya, beberapa minggu sebelum menyambut Aidilfitri, saya terpaksa menolak tempahan pada saat akhir," katanya.
Menceritakan keunikan songkok, ia terbahagi kepada dua jenis. Satu yang biasa dan satu lagi dipanggil songkok tinggi kerana selain mahal, ia menggunakan fabrik baldu hitam sebagai bahan utama dalam pembuatannya.
Apakah perkara yang paling sukar dalam proses pembuatan songkok? Ketika hendak memasang bahagian kepala songkok atau menampal bumbung dan dinding songkok. Ini kerana, ia memerlukan tenaga yang lebih bagi mendapatkan hasil yang kemas.
"Bahagian ini, paling susah nak buat sebab menggunakan kertas yang tebal. Jadi, sekiranya tidak dijahit dan disambung dengan betul, ia akan mempengaruhi reka bentuk songkok tersebut sekali gus jarum mesin akan mudah patah.
"Sebab itulah, saya mengambil masa selama 15 minit untuk menjahit satu songkok, walaupun bahan-bahan pembuatannya siap dijahit seperti kertas kepala songkok dan pelapik dindingnya.
PEMAKAIAN songkok melambangkan identiti lelaki Melayu.
"Namun, untuk memasang dan menjahitnya, ia memerlukan daya fikiran dan tenaga yang kuat," jelas ibu tunggal kepada tiga cahaya mata ini.
Apakah cabaran sepanjang bergelar pembuat songkok? Jelas Martis, kerenah para pelanggan antara perkara yang sentiasa menjadi ingatan buat beliau sehingga hari ini.
"Pernah sekali, akibat terlalu mempercayai seorang pelanggan tetap, hutang membeli songkok tidak dibayar, sehingga berkali-kali dia berjanji, namun tidak ditunaikan.
"Malah, ada pula yang suruh saya menjahitnya sekali lagi, dek kerana tidak suka dengan rupa bentuk songkok yang bersaiz empat segi," ujarnya. Dalam sehari, Martis boleh menyiapkan 20 songkok yang dijual setiap satu pada harga borong antara RM7.50 hingga RM15.
Keupayaan dan kecekalan yang dipamerkan Martis sepanjang bergelar pembuat songkok ini jelas terbukti apabila mesin jahit songkok yang dibelinya sejak 10 tahun lalu, bertahan sehingga hari ini.

02 September 2008


SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN 1429 HIJRIAH



SELAMAT BERPUASA

29 Ogos 2008

KEPADA SEMUA AHLI UMNO CAWANGAN PASAR MINGGU

SATU PERSIDANGAN SEMULA BERIKUTAN PEMILIHAN YANG TELAH DIADAKAN PADA 3 - 8 - 2008 TELAH DIBATALKAN ATAS SEBAB-SEBAB TERTENTU. SEMUA AHLI DIJEMPUT HADIR UNTUK MENUNAIKAN TANGGUNGJAWAB SEBAGAI AHLI UNTUK MEMILIH PEMIMPIN YANG BAKAL MEMBAWA SUARA PASAR MINGGU.

TARIKH: 30-8-2008

TEMPAT: DEWAN KAMPUNG PAYA

MASA: 8.30 MALAM

DIHARAP KEHADIRAN SEMUA AHLI UMNO CAWANGAN PASAR MINGGU DAPAT MELEBIHI KORUM YANG TELAH DITETAPKAN NANTI.

26 Ogos 2008

artikel dari KAMPUNG BARU KAMPUNG KU

KLCP 2020: MAS KEMUKA PENDIRIAN

KAMPUNG BARU - Lembaga Pentadbiran 'Malay Agrikulture Settlement' Kampung Baru (MAS) mempunyai pendirian sendiri dan sudah mempunyai cadangan balas mengenai Draf Pelan Kuala Lumpur (KLCP 2020) yang akan dihantar dalam masa terdekat kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ab Hakim Borhan.
Naib Yang Dipertua MAS, Abdul Rahman Mohd Zin berkata, Mas dan penduduk seharusnya berterima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana mengambil inisiatif merangka pelan pembangunan Kampung Baru, tetapi setiap cadangan atau buatan manusia sudah tentu ada baik dan cacatnya.
"Atas dasar negara demokrasi dan kerajaan yang ada sekarang, penduduk diberi beri peluang untuk membantah yang mana tidak sesuai. Bedasarkan luahan hasrat hati serta cadangan yang dikemukankan penduduk, MAS melihat dua perkara yang perlu diteliti iaitu menolak terus KLCP 2020 itu atau menerimanya dengan syarat," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penerangan Pendirian MAS berhubung KLCP 2020 yang diadakan disini, semalam.
Tambahnya, MAS juga akan mengemukakan cadangan taksiran kepada DBKL dan mempertikaikan beberapa kekeliruan dalam KLCP 2020 serta kenyataan yang menyamakan taraf MAS dengan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM).
"NGO bukan badan kerajaan atau pentadbiran. Justeru itu ia tidak harusnya disamakan dengan kedudukan Lembaga Pentadbiran MAS kerana kami adalah sebuah pentadbir tempatan," tegasnya.
Menurutnya, selama ini adalah tidak wajar meletakkan jawatan Yang Dipertua MAS digalas oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur kerana pentadbiran MAS yang mendapat mandat dari sultan Selangor dan Kerajaan Selangor ketika itu untuk berfungsi dalam situasi semasa.
Abdul Rahman berkata, pentadbiran MAS tidak akan dapat berfungsi secara efisien kerana perlasanaan aktanya beertindih dengan DBKL memandangkan akta MAS masih berpaksikan kepada kerajaan Selangor sedia ada.
"Keadaan itu menjadikan Mas 'terapung' tanpa identiti sendiri dan makanisme pentadbiran juga tidak jelas". "Akibat pertindihan itu, pentadbiran MAS juga terdedah kepada karenah birokrasi yang bukan berpunca dari kehendak MAS sendiri sedangkan pentadbiran MAS memerlukan tapak kukuh untuk berfungsi," tegasnya.
Beliau memberitahu, pada asalnya MAS yang ditubuhkan dapat mentadbir secara efektif dengan Sultan sebagai pelindung kepentingan melayu. Bagaimapun katanya, dengan adanya dasar-dasar baru yang disuntik pada waktu ini oleh kerajaan yang memerintah, maka denga itu tugas terbabit tidak dapat dilaksanakan serta dasar itu juga tidak sesuai denga cara Mas sendiri.
"Hubungan antara MAS dengan penduduknya selama 108 tahun membuktikan fungsi MAS diterima, dimana ahli jemaah terdahulu mengekalkan enakment dan urus tadbir sehingga kini". "Disebabkan enakment sedia ada, MAS dianggap benteng dan pelindung kepada penduduk Kampung Baru. alaupun pemimpin bertukar, tetapi enakment befungsi selama 108 tahun itu memastikan penduduk masih selamat ditangan orang melayu," katanya.
Sementara itu mengulas mengenai campur tangan Menteri Besar, Tan Sri Abduk Khalid Ibrahin ke atas pembangunan Kampung Baru, Penasihat Undang-undang MAS, Ghazali Yunus berkata, Khalid mempunyai alasan tersendiri kerana berdasarkan pap yang tecatat dalam enakment yang diberikan mandat kepada MAS memihak kepada kerajaan Selangor, justeru beliau tidak dapat menidakkanya.
- oleh Asmaliza Mansor
akhbar sinar harian ahad 24 ogos 2008.