26 Julai 2008

DBKL perlu berseminar dengan penduduk - Nadzri

23/07/2008 UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 22 Julai - Penduduk Kampung Baru meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan satu lagi seminar khas bagi menerangkan pembangunan kampung tersebut untuk memberi gambaran lebih jelas kepada penduduk.
Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga dan Kebajikan Pasar Minggu Kampung Baru (PPKPM), Mohd. Nadzri Abd. Hamid, 35, berkata, seminar tersebut perlu diadakan memandangkan penduduk masih lagi kabur dengan rancangan pembangunan yang terdapat di dalam Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 Jilid 4: Kampung Baru.
Menurutnya, seminar tersebut hendaklah merangkumi penerangan tentang pembangunan keseluruhan Kampung Baru serta perbincangan mengenai masalah-masalah yang dihadapi penduduk.
"Taklimat yang diadakan pada hari ini dilihat tidak mencapai objektifnya apabila DBKL hanya menerangkan pembangunan tersebut secara keseluruhan serta menyebut beberapa akta yang membuatkan penduduk tidak senang duduk.
"Ini kerana, akta-akta berkenaan seolah-olah mahu mengambil tanah kami tanpa persetujuan.
"Justeru, saya amat berharap DBKL dapat mengadakan satu lagi seminar untuk penduduk Kampung Baru bagi memperjelaskan perancangan yang akan dilaksanakan oleh DBKL," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Taklimat Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 Jilid 4: Kampung Baru, di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.
Taklimat tersebut dianjurkan oleh DBKL dan dihadiri lebih 250 penduduk Kampung Baru yang terlibat dengan pembangunan yang akan dilaksanakan.
Taklimat yang berlangsung selama hampir empat jam itu turut menjadi 'panas' apabila sebahagian penduduk berkenaan tidak berpuas hati dengan perancangan draf pelan berkenaan.
Penduduk mendakwa, taklimat berkenaan hanya membuang masa mereka kerana mendengar penerangan DBKL yang sukar difahami memandangkan tiada rujukan yang diberikan.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pembangunan Kampung Baru, Mohd. Yusuf Ismail berkata, sepatutnya penduduk perlu memahami dengan teliti tentang hasrat kerajaan untuk membangunkan Kampung Baru bagi meningkatkan ekonomi penduduk.
Menurutnya, dia mencadangkan supaya seminar tersebut diadakan sekali lagi dan kali ini perlu disertai pakar-pakar khas untuk membincangkan tentang kawasan- kawasan pembangunan di kampung berkenaan.

Bangunkan Kampung Baru

23/07/2008 Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI UTUSAN MALAYSIA


KUALA LUMPUR 22 Julai - Seorang pakar hartanah hari ini mendakwa kerajaan berhak mengambil dan memajukan tanah di kawasan Kampung Baru bagi memperkasakan pembangunan ekonomi penduduk di kawasan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Big Property Consultants Sdn. Bhd., Profesor Datuk Dr. Nik Mohd. Zain Nik Yusof berkata, ia dapat dilaksanakan dengan mengikut akta yang telah ditetapkan sekiranya penduduk tidak dapat memberi kerjasama kepada kerajaan untuk membangunkan kawasan itu.
Menurutnya, Akta Pengambilan Tanah 1960, Seksyen 3(1)(b) membolehkan mana-mana individu, syarikat atau perbadanan memohon kepada Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan untuk mengambil tanah tersebut sekiranya mereka penduduk Kampung Baru tidak mampu untuk membangunkan tanah itu.
Ujarnya, jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan di mana menteri diberi kuasa untuk mengambil tanah berkenaan.
Bagaimanapun, tegasnya, ia haruslah mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri.
"Penduduk Kampung Baru perlu mengambil tahu tentang akta ini memandangkan ia boleh digunakan untuk tanah persendirian seperti tanah mereka ini.
"Bagaimanapun, ia hanya akan digunakan sekiranya pembangunan yang akan dilaksanakan tidak dapat siap dalam tempoh yang telah ditetapkan.
"Walaupun begitu, penduduk Kampung Bharu tidak perlu bimbang kerana mereka tidak akan kehilangan nilai hak milik tanah tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Taklimat Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 Jilid 4: Kampung Baru di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.
Tambahnya, melalui akta tersebut kerajaan boleh mengadakan perundingan dengan pemilik tanah bagi tujuan pembayaran pampasan.
Ini kerana ujarnya, kerajaan tidak perlu membayar nilai tunai kepada penduduk tetapi boleh memberi pampasan secara penukaran kepada kebendaan atau hak milik yang lebih menguntungkan penduduk.
Terhad"Mengikut undang-undang terdahulu, tanah ini tidak boleh dijual kepada bukan Melayu, oleh yang demikian harga tanah ini akan dijual murah memandangkan ia akan dijual kepada kaum Melayu dan pasarannya terhad.
"Walaupun begitu, ia akan dijual mengikut harga pasaran dan pemilik tanah tidak perlu bimbang.
"Bagaimanapun, sekiranya pemilik tanah tidak bersetuju mereka boleh membuat rayuan di mahkamah tinggi," jelasnya.
Taklimat tersebut dianjurkan oleh DBKL bagi memberi maklumat kepada lebih 250 penduduk Kampung Baru tentang pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Taklimat yang berlangsung selama hampir empat jam itu turut menjadi 'panas' apabila sebahagian penduduk tidak berpuas hati dengan perancangan draf pelan berkenaan.
Bagaimanapun, kejadian tersebut dapat dikawal oleh beberapa penduduk termasuk Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo'Lo' Mohd. Ghazali yang menasihatkan agar penduduk mendengar taklimat yang dijalankan terlebih dahulu.
Keadaan kembali 'panas' apabila tiba sesi soal jawab apabila kebanyakan penduduk mengutarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap DBKL yang menjalankan pembangunan tanpa persetujuan penduduk berkenaan.
Sementara itu, Dr. Lo'Lo' berkata, Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 adalah inisiatif yang baik untuk pembangunan bandar raya Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, ujarnya, draf pelan tersebut hanyalah sekadar satu cadangan awal dan tidak semestinya akan dilaksanakan.
Justeru, tegasnya, sekiranya penduduk tidak berpuas hati dengan pelan tersebut, mereka boleh membuat bantahan kepada DBKL sebelum 31 Ogos ini.
"Sekiranya draf pelan ini tidak dilaksanakan, sampai bila-bila pun Kampung Baru tidak akan maju.
"Oleh itu, sekiranya penduduk membantah sebarang pelan tersebut, mereka perlu melakukannya secara bertulis dan bukannya bertikam lidah seperti ini.
"Bagaimanapun, DBKL juga perlu memberi jaminan bahawa projek-projek yang akan dijalankan ini tidak akan terbengkalai dan sekiranya berlaku masalah tersebut kerajaan perlu membela nasib penduduk berkenaan," tegasnya.

24 Julai 2008

Sentral: Warga Kampung Baru minta dialog sekali lagi

Oleh Khairunnisa Kamarudin, Berita Harian, khamis, 24 Julai 2008 m/s 42 (sentral)


khairunnisa@bharian.com.my




PENJELASAN: Razak (kiri) meluahkan pandangan beliau pada sesi soal jawab selepas pembentangan Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 oleh Nur Azizi di Dewan DBKL, semalam. - Bernama


Syor letak buku DPBKL 2020 di lokasi tumpuan ramai

KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Baru, di sini, meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan pertemuan semula dengan penduduk berhubung cadangan pembangunan di kawasan itu kerana pertemuan yang diadakan kelmarin masih belum menjawab banyak persoalan yang diajukan. Penduduk juga mendakwa mereka masih kabur dengan dengan penjelasan yang diberikan pada sesi taklimat Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (DPBKL 2020).


KUSYUK: Warga emas Kampung Baru yang hadir pada majlis pembentangan Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020.


Timbalan Yang Dipertua Pasar Minggu Kampung Baru, Mohd Nazri Abdul Hamid, berkata penjelasan yang diberikan pada sesi taklimat itu tidak menyeluruh dan sukar difahami kebanyakan penduduk yang hadir. "Saya rasa DBKL harus mengadakan sesi seminar dan menyediakan penerangan terperinci mengenai pembangunan yang bakal dijalankan bagi mengelakkan kekeliruan seperti yang berlaku pada sesi ini.

"Apa yang penting, pegawai yang ada perlu menjawab soalan berkaitan isu pembangunan di kawasan kami dengan lebih mendalam. Sesi kali ini pada saya gagal mencapai objektifnya dalam menerangkan mengenai draf itu secara mendalam kepada mereka yang hadir," katanya.

Kira-kira 250 penduduk, penjaja dan peniaga di sekitar Kampung Baru menghadiri sesi itu yang dipengerusikan Timbalan Pengarah Jabatan Pelan Induk DBKL, Nur Azizi Mokhtar.

Sesi itu hangat dengan pelbagai soalan berkaitan isu pembangunan Kampung Baru kerana mereka yang hadir tidak berpuas hati dengan pengurusan DBKL yang disifatkan tidak mementingkan keperluan penduduk selain isu berkaitan harga tanah.

Selain itu mereka juga tidak berpuas hati dengan sesi soal jawab yang tidak memberikan penjelasan sepenuhnya kepada setiap soalan yang dikemukakan serta kegagalan DBKL menyediakan naskhah DPBKL 2020 secara percuma bagi tujuan rujukan. Penduduk, Razak Karim, 57 berkata, beliau berharap DBKL dapat menyediakan buku DPBKL 2020 untuk diletakkan di kawasan strategik seperti di balai raya bagi memudahkan penduduk memahami projek yang bakal dijalankan.

"Buku berkenaan sangat mahal dan DBKL sepatutnya memberikan naskhah percuma supaya penduduk dapat penjelasan terperinci mengenai sesuatu projek yang akan dijalankan. "Saya masih kabur dengan penjelasan yang diberikan DBKL dalam taklimat ini kerana kami tidak diberikan sebarang kertas kerja atau pelan seperti yang terkandung di dalam buku DPBKL 2020 itu," katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah Eksekutif BIG Property Consultant Sdn Bhd, jururunding yang dilantik bagi merangka pelan pembangunan Kampung Baru, Prof Datuk Nik Mohd Zain Nik Yusof, berkata masalah utama yang dihadapi dalam pembangunan Kampung Baru adalah mendapatkan persetujuan pemilik sekiranya tanah diambil menerusi kaedah biasa untuk dibangunkan. Katanya, sebagai contoh ada lot tanah yang mempunyai 90 penama dengan sembilan orang sudah meninggal dunia. "Kalau ikut cara biasa kita kena jumpa satu demi satu pemilik ini untuk dapatkan persetujuan termasuk waris kepada pemilik yang telah meninggal dunia," katanya.

Nik Mohd Zain berkata, sebagai langkah terakhir, pihak berkuasa mungkin terpaksa menggunakan Seksyen 3 (1) (d) Akta Pengambilan Tanah 1960 di mana mengikut akta itu, pihak berkuasa boleh mengambil-alih tanah tanpa persetujuan pemilik. "Mengikut akta itu, tanah yang diambil akan dibayar mengikut harga pasaran dan sekiranya pemilik tidak bersetuju kes boleh dirujuk ke Mahkamah Tinggi," katanya.

Nur Azizi bagaimanapun berkata, perkara itu sekadar cadangan daripada syarikat juru runding itu. Katanya, cadangan pembangunan yang terdapat pada draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 masih di peringkat bantahan awam dan orang ramai yang mempunyai pandangan atau bantahan masih boleh mengemukakannya secara bertulis kepada DBKL.

RAMAI PENAMA SUKAR USAHA BANGUNKAN KAMPUNG BARU

Laporan Akhbar Sinar Harian, 24 Julai 2008, m/s S2.

KUALA LUMPUR: Status tanah di Kampung Baru di sini yang mempunyai ramai penama menyukarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membangunkan kawasan itu mengikut kaedah biasa, kata seorang pegawai syarikat jururunding. Ketua Pengarah Eksekutif BIG Property Consultant Sdn Bhd. Prof Datuk Nik Mohd Zain Nik Yusof berkata, masalah utama yang dihadapi dalam Pembangunan Kampung Baru adalah untuk mendapatkan persetujuan pemilik sekiranya tanah diambilmenerusi kaedah biasauntuk dibangunkan.
"Sebagai contah, ada satu lot tanah yang mempunyai 90 penama dengan sembilan orang telah meninggal dunia. Kalau ikut cara biasa kita kena jumpa satu demi satu pemilik ini untuk mendapatkan persetujuan termasuk waris kepada pemilik yang telah meninggal dunia," katanay dalam majlis taklimat Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 mengenai Kampung Baru.

BIG Property Cunsultant merupakan syarikat jururunding yang dilantik bagi merangka pelan pembangunan Kampung Baru. Nik Mohd Zain berkata, kebanyakkan tanah di Kampung Barurata-rata mempunyai antara 8 dan 30 penama dan ini menyukarkan proses pengambilan tanah kerana urusan pembelian tanah perlu mendapat persetujuan semua pemilik. Beliau berkata, sebagai langkah terakhir, pihak berkuasa mungkin terpaksa menggunakan Seksyen 3(1) (d) Akta Pengambilan Tanah 1960 di mana mengikut akta itu, pihak berkuasa boleh mengambilalih tanah tanpa persetujuan pemilik.

Menurut akta itu, katanay, tanah yang diambil akan dibayar mengikut harga pasaran dan sekiranya pemilik tidak bersetuju kes boleh dirujuk ke Mahkamah Tinggi. Timbalan Pengarah Jabatan Pelan Induk DBKL, Norazizi Mokhtar bagaimanapun berkata, perkara itu sebagai cadangan daripada syarikat konsultant yang dilantik.

Beliau berkata, draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang turut merangkumi kampung Baru masih diperingkat bantahan awam dan orang ramai yang mempunyai sebarang pandangan atau bantahan berhubung draf berkenaan masih boleh lagi mengemukankannya secara bertulis kepada DBKL.- BERNAMA

"SEBUAH PERBADANAN YANG DIANGGOTAI PERSATUAN PENDUDUK DIWUJUDKAN UNTUK MELAKSANAKAN PROJEK PEMBANGUNAN KAMPUNG BARU MEMANDANGKAN MEREKA LEBIH MEMAHAMI KEHENDAK PENDUDUK SETEMPAT:

- AHLI PARLIMEN TITIWANGSA, DR LO'LO' MOHD GHAZALI-

23 Julai 2008

DBKL CADANG GUNA AKTA JIKA PENDUDUK ENGGAN SERAH TANAH

Laporan Harian Metro, Rabu, 23 Julai 2008 m/s 2 colum setempat

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menggunakan Seksyen 3 (1) (B) Akta Pengambilan Tanah 1960, kerana terdapat sebahagian pemilik tanah di Kampung Baru di sini, mempunyai sehingga 90 penama di atas satu lot menyebabkan projek pembangunan yang dirancang sering tertangguh sehingga kini.

Bagaimanapun, cadangan itu belum diputuskan sehingga Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 (DPBKL 2020) yang akan dilaksanakan mendapat persetujuan semua pihak. Timbalan Pengarah Jabatan Pelan Induk DBKL, Nurazizi Mokhtar, berkata perkara itu masih dalam peringkat cadangan daripada syarikat perunding yang dilantik pihak berkuasa tempatan itu (PBT) bagi memastikan projek pembangunan berjalan dengan lancar.

"DPBKL 2020 yang merangkumi Kampung Baru masih diperingkat bantahan awam dan orang ramai yang mempunyai sebarang pandangan atau bantahan berhubung draf berkenaan masih boleh mengemukakan secara bertulis kepada DBKL", katanya ketika memberi taklimat DPBKL 2020 Jilid 4 di sini, semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Ttiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif BIG Property Consultans Sdn Bhd merangkap Perunding DBKL, Prof Datuk Dr Nik Zain Nik Yusof.

Nik Mohd Zain berkata, penduduk masih boleh mengemukakan bantahan dan cadangan bagi memastikan projek yang akan dilaksanakan memuaskan dan berjaya. "Kami yang dilantik DBKL mencadangkan untuk menggunakan Seksyen 3 (1) (B) Akta Pengambilan Tanah 1960 sekiranya penduduk enggan menyerahkan tanah mereka. Ini satu daripada cadangan sekjiranya cara lain tidak berjaya. "Ia tidak merugikan tuan tanah, malah menguntungkan mereka... kalau bayar tunai sekejap saja duit habis, kalau bagi dalam bentuk hartanah, ia boleh disimpan," katanya.

Beliau berkata, masalah utama yang dihadapi dalam pembangunan Kampung Baru adalah untuk mendapatkan persetujuan pemilik sekiranya tanah diambil mengikut kaedah biasa untuk membangunkan kawasan berkenaan. "Sebagai contoh, ada satu lot tanah yang sehingga 90 penama dengan sembilan orang sudah meninggal dunia. Kalau ikit cara biasa kita kena jumpa satu demi satu untuk mendapatkan persetujuan termasuk waris kepada pemilik yang meninggal dunia.

Setiausaha Persatuan Pembangunan Kampung Baru, Abdul Rahman Mohd Amin, berkata pihaknya tiada masalah dengan perancangan pembangunan Kampung Baru seperti yang terkandung dalam DPBKL 2020.
"Segala yang terkandung pada draf berkenaan hampir sama dengan apa yang pernah dikemukan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sebelum ini," katanya.

21 Julai 2008

LAPORAN KHAS

MESYUARAT KHAS CAWANGAN PASAR MINGGU

KEPADA:
AHLI JAWATANKUASA / AHLI UMNO CAWANGAN PASAR MINGGU

SATU MESYUARAT KHAS AKAN DIADAKAN PADA

TARIKH 23 JULAI 2008
TEMPAT : PENTAS PASAR MINGGU
MASA : 9.00 MALAM

KEHADIRAN TUAN DAN PUAN AMATLAH DIHARAPKAN BAGI MENJAYAKAN MESYUARAT KHAS TERSEBUT.

SUMBER MENDAKWA PADA 3 OGOS 2008 AKAN DIADAKAN MESYUARAT AGONG UMNO CAWANGAN PASAR MINGGU.

15 Julai 2008

TAKLIMAT BERSAMA PEGUAM

TAKLIMAT BERSAMA PEGUAM PPKPM MENGENAI STATUS PEMBANGUNAN SEMULA TAPAK PASAR MINGGU.

Perkara di atas adalah di rujuk.

2. Dengan segala hormatnya Tuan & Puan di jemput hadir bagi membincangkan mengenai status di atas pada :

Tarikh : 20 hb Julai 2008.
Tempat : Pentas Pasar Minggu, Kg. Baru, K.L.
Masa : 4.00 Petang .

Kehadiran Tuan & Puan, pemilik dan penyewa amatlah di harapkan.

12 Julai 2008

CERITA, SEJARAH, KISAH PASAR MINGGU KG. BARU

SATU ARTIKEL BERKAITAN PASAR MINGGU KELUAR DIAKHBAR TABLOID BERBAHASA INGLISH, THE CRITERIA, KOLUM FEATURE STORY, PAGE 16, ISSUE 4-10 JULY 2008.

THE HEART OF KAMPONG BARU IN THE HEART OF KL. PART 1

DAPATKAN ISSUE ANDA SEKARANG DI PASARAN.................. THE CRITERIA

09 Julai 2008

PUSAT PENJAJA SEMENTARA

DBKL SEWA TANAH SEDIA KEMUDAHAN DI KAMPUNG BARU

LAPORAN OLEH Sharifah Salwa Syed Akil
bhnews@bharian.com.my
Berita Harian Selasa 8 Julai 2008


KUALA LUMPUR: Sebuah pusat penjaja sementara akan dibina di Kampung baru untuk menempatkan peniaga Kampung Pasar Minggu, Kampung Baru sebelum projek pembangunan yang dicadangkan di kawasan itu siap dibina. Ketua Pengarah BDKL, Datuk Salleh Yusuf berkata, pihaknya menyewa sebidang tanah untuk pembinaan pusat penjaja semetara yang dijangka siap dalam tempoh terdekat ini. "Selain itu, mereka pada dasarnya bersetuju berpindah ke penempatan baru di PPR Seri Semarak dan serahkan pada mereka bila masa berpindah kesana. Sehingga kini unit kediaman masih kosong kerana dikhaskan untuk mereka," katanya selepas merasmikan sambutan 25 tahun penubuhan Masjid Saidina Abu Bakar Al-Siddiq, Bangsar.
Salleh berkata, pihaknya sudah berterus terang dengan peniaga terbabit dan kebanyakkanya memahami apa yang mahu disampaikan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu. " Seperti yang kita tegaskan sebelum ini sebarang pembangunan kawasan mereka kita akan babitkan mereka semua. Apabila siap kelak, mereka akan diberi keutamaan samaada untuk membeli unit perniagaan atau kediaman ditapak asal.
"Jadi, sepatutnya mereka tidak bimbang mengenainya. Jika mereka tidak mempercayai kita (DBKL) siapa lagi yang boleh mereka percayai. Kita yang berjanji dan pastikan yang kita akan tunaikan," katanya. Semetara itu, pelbagai program diadakan sempena sambutan 25 tahun penubuhan masjid itu antaranya pembukaan gerai jualan termasuk pakaian, makanan dan barangan keperluan, pameran, pemeriksaan kesihatan percuma dan pemeriksaan rawatan Islam. Program sehari itu turut dimeriahkan pelbagai persembahan pentas seperti nasyid, berzanji, pertandingan azan selain gubahan bunga dan sepak takraw yang pastinya mendapat sambutan menggalakkan.
Pengerusi Masjid, Datuk Nik Farid Nik Mohammad Kamil berkata, selain acara berkenaan, pihaknya turut mengadakan aktiviti lain termasuk Majlis Makan Malam Kebajikan, Pertandingan golf dan forum perdana.

02 Julai 2008

PPKPM Perjuang Hak Peniaga

Laporan Sinar Harian (Rabu 2 julai 2008)
Oleh: Asmaliza Mansor

KAMPUNG BARU - Persatuan Peniaga dan Kebajikan Pasar Minggu (PPKPM) meminta agar pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan hak yang sewajarnya kepada Pemilik Kedai dan Gerai di Pasar Minggu Kampung Baru.

Menurut Yang Dipertua PPKPM, Dr. Hosni Hussen Md Saat, peniaga disitu tidak menyatakan bahawa tanah itu milik mereka, tetapi mereka telah diberikan pemilikan kedai dan gerai.
Justeru katanya, peniaga berhak mendapatkan hak mereka setelah lebih 20 tahun menunggu dan PPKPM juga sudah menghantar memorundum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya pada 20 Jun lalu untuk beliau meneliti membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

"Sebelum ini kami telah diberikan notis oleh DBKL untuk mengosongkan premis perniagaan kerana pihak tersebut mendakwa tanah Pasar Minggu adalah miliknya, tetapi mengikut rekod masih masih menjadi milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
DBKL gagal mengemukankan sebarang bukti pembelian tanah yang didakwa telah berlaku pada tahun 1992," katanya ketika ditemui selepas Taklimat dan Bancian Pemilik Kedai dan Gerai Pasar Minggu yang diadakan Ahad lalu.

Dr. Hosni berkata PPKPM inginkan situasi menang-menang dan mereka bukan setinggan tetapi pemindahan Pekan Ahad, Jalan perkins serta mereka juga tidak menetang sebarang pembangunan yang ingin dijalankan oleh DBKL ke atas Pasar Minggu tersebut.

PPKPM juga telah melantik peguam dan menghantar writ saman menghalang DBKL melakukan sebarang tindakan terhadap Pasar Minggu Kampung Baru dan melaui perbincangan dengan Ketua Pengarah DBKL, peniaga yang telibat telah dijanjikan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada yang layak.

"Kami minta DBKL berikan keutamaan kepada peniaga asal dan diberikan penempatan perniagaan sementara serta dipindahkan semulka disini apabila pembangunan yang dirancang telah siap dengan kadar sewa yang istimewa kerana kami merupakan peniaga asal di pasar minggu ini," jukatnya.

Tambahnya, pasar minggu tersebut sangat terkenal sebagai "Malay Town" dan pemilik serta penyewa harus mempertahankan, memperjuang dan bertanggungjawab terhadap hak masing-masing.

Beliau berkata, taklimat yang diadakan adalah bertujuan untuk menjelaskan kepada pemilik dan penyewa di pasar minggu itu mengenai kedudukan terkini pembangunannya. Katanya, selain daripada itu bancian pemilikan dan penduduk kedai dan gerai dilakukan untuk menyelesaikankan isu pemilikan Lot 25, Gerai Mara dan Gerai 100 tahun dan lain-lain serta menghantar senarai terkini yang lengkap kepada pihak DBKL.

"Saya berharap pemilik dan penyewa akan bersatu dan datang taklimat yang diadakan oleh persatuan pada setiap minggu supaya masalah ini akan segera diselesaikan," tegasnya.