23 Julai 2008

DBKL CADANG GUNA AKTA JIKA PENDUDUK ENGGAN SERAH TANAH

Laporan Harian Metro, Rabu, 23 Julai 2008 m/s 2 colum setempat

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menggunakan Seksyen 3 (1) (B) Akta Pengambilan Tanah 1960, kerana terdapat sebahagian pemilik tanah di Kampung Baru di sini, mempunyai sehingga 90 penama di atas satu lot menyebabkan projek pembangunan yang dirancang sering tertangguh sehingga kini.

Bagaimanapun, cadangan itu belum diputuskan sehingga Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 (DPBKL 2020) yang akan dilaksanakan mendapat persetujuan semua pihak. Timbalan Pengarah Jabatan Pelan Induk DBKL, Nurazizi Mokhtar, berkata perkara itu masih dalam peringkat cadangan daripada syarikat perunding yang dilantik pihak berkuasa tempatan itu (PBT) bagi memastikan projek pembangunan berjalan dengan lancar.

"DPBKL 2020 yang merangkumi Kampung Baru masih diperingkat bantahan awam dan orang ramai yang mempunyai sebarang pandangan atau bantahan berhubung draf berkenaan masih boleh mengemukakan secara bertulis kepada DBKL", katanya ketika memberi taklimat DPBKL 2020 Jilid 4 di sini, semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Ttiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif BIG Property Consultans Sdn Bhd merangkap Perunding DBKL, Prof Datuk Dr Nik Zain Nik Yusof.

Nik Mohd Zain berkata, penduduk masih boleh mengemukakan bantahan dan cadangan bagi memastikan projek yang akan dilaksanakan memuaskan dan berjaya. "Kami yang dilantik DBKL mencadangkan untuk menggunakan Seksyen 3 (1) (B) Akta Pengambilan Tanah 1960 sekiranya penduduk enggan menyerahkan tanah mereka. Ini satu daripada cadangan sekjiranya cara lain tidak berjaya. "Ia tidak merugikan tuan tanah, malah menguntungkan mereka... kalau bayar tunai sekejap saja duit habis, kalau bagi dalam bentuk hartanah, ia boleh disimpan," katanya.

Beliau berkata, masalah utama yang dihadapi dalam pembangunan Kampung Baru adalah untuk mendapatkan persetujuan pemilik sekiranya tanah diambil mengikut kaedah biasa untuk membangunkan kawasan berkenaan. "Sebagai contoh, ada satu lot tanah yang sehingga 90 penama dengan sembilan orang sudah meninggal dunia. Kalau ikit cara biasa kita kena jumpa satu demi satu untuk mendapatkan persetujuan termasuk waris kepada pemilik yang meninggal dunia.

Setiausaha Persatuan Pembangunan Kampung Baru, Abdul Rahman Mohd Amin, berkata pihaknya tiada masalah dengan perancangan pembangunan Kampung Baru seperti yang terkandung dalam DPBKL 2020.
"Segala yang terkandung pada draf berkenaan hampir sama dengan apa yang pernah dikemukan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sebelum ini," katanya.

Tiada ulasan: