26 Julai 2008

Bangunkan Kampung Baru

23/07/2008 Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI UTUSAN MALAYSIA


KUALA LUMPUR 22 Julai - Seorang pakar hartanah hari ini mendakwa kerajaan berhak mengambil dan memajukan tanah di kawasan Kampung Baru bagi memperkasakan pembangunan ekonomi penduduk di kawasan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Big Property Consultants Sdn. Bhd., Profesor Datuk Dr. Nik Mohd. Zain Nik Yusof berkata, ia dapat dilaksanakan dengan mengikut akta yang telah ditetapkan sekiranya penduduk tidak dapat memberi kerjasama kepada kerajaan untuk membangunkan kawasan itu.
Menurutnya, Akta Pengambilan Tanah 1960, Seksyen 3(1)(b) membolehkan mana-mana individu, syarikat atau perbadanan memohon kepada Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan untuk mengambil tanah tersebut sekiranya mereka penduduk Kampung Baru tidak mampu untuk membangunkan tanah itu.
Ujarnya, jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan di mana menteri diberi kuasa untuk mengambil tanah berkenaan.
Bagaimanapun, tegasnya, ia haruslah mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri.
"Penduduk Kampung Baru perlu mengambil tahu tentang akta ini memandangkan ia boleh digunakan untuk tanah persendirian seperti tanah mereka ini.
"Bagaimanapun, ia hanya akan digunakan sekiranya pembangunan yang akan dilaksanakan tidak dapat siap dalam tempoh yang telah ditetapkan.
"Walaupun begitu, penduduk Kampung Bharu tidak perlu bimbang kerana mereka tidak akan kehilangan nilai hak milik tanah tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Taklimat Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 Jilid 4: Kampung Baru di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.
Tambahnya, melalui akta tersebut kerajaan boleh mengadakan perundingan dengan pemilik tanah bagi tujuan pembayaran pampasan.
Ini kerana ujarnya, kerajaan tidak perlu membayar nilai tunai kepada penduduk tetapi boleh memberi pampasan secara penukaran kepada kebendaan atau hak milik yang lebih menguntungkan penduduk.
Terhad"Mengikut undang-undang terdahulu, tanah ini tidak boleh dijual kepada bukan Melayu, oleh yang demikian harga tanah ini akan dijual murah memandangkan ia akan dijual kepada kaum Melayu dan pasarannya terhad.
"Walaupun begitu, ia akan dijual mengikut harga pasaran dan pemilik tanah tidak perlu bimbang.
"Bagaimanapun, sekiranya pemilik tanah tidak bersetuju mereka boleh membuat rayuan di mahkamah tinggi," jelasnya.
Taklimat tersebut dianjurkan oleh DBKL bagi memberi maklumat kepada lebih 250 penduduk Kampung Baru tentang pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Taklimat yang berlangsung selama hampir empat jam itu turut menjadi 'panas' apabila sebahagian penduduk tidak berpuas hati dengan perancangan draf pelan berkenaan.
Bagaimanapun, kejadian tersebut dapat dikawal oleh beberapa penduduk termasuk Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo'Lo' Mohd. Ghazali yang menasihatkan agar penduduk mendengar taklimat yang dijalankan terlebih dahulu.
Keadaan kembali 'panas' apabila tiba sesi soal jawab apabila kebanyakan penduduk mengutarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap DBKL yang menjalankan pembangunan tanpa persetujuan penduduk berkenaan.
Sementara itu, Dr. Lo'Lo' berkata, Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 adalah inisiatif yang baik untuk pembangunan bandar raya Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, ujarnya, draf pelan tersebut hanyalah sekadar satu cadangan awal dan tidak semestinya akan dilaksanakan.
Justeru, tegasnya, sekiranya penduduk tidak berpuas hati dengan pelan tersebut, mereka boleh membuat bantahan kepada DBKL sebelum 31 Ogos ini.
"Sekiranya draf pelan ini tidak dilaksanakan, sampai bila-bila pun Kampung Baru tidak akan maju.
"Oleh itu, sekiranya penduduk membantah sebarang pelan tersebut, mereka perlu melakukannya secara bertulis dan bukannya bertikam lidah seperti ini.
"Bagaimanapun, DBKL juga perlu memberi jaminan bahawa projek-projek yang akan dijalankan ini tidak akan terbengkalai dan sekiranya berlaku masalah tersebut kerajaan perlu membela nasib penduduk berkenaan," tegasnya.

Tiada ulasan: