08 Mei 2008

KISAH KAMPUNG BARU

Pembangunan Kampung Bharu Dan Kampung Tradisi


Kawasan Kg. Bharu di sempadani oleh Jalan Raja Muda Abdul Aziz di sebelah utara, Sg. Kelang di sebelah selatan, Jalan Tun Razak di sebelah timur dan kawasan Chow Kit di sebelah barat. Ia merupakan penempatan orang Melayu yang pertama dan yang terbesar berada di Pusat Bandar Kuala Lumpur iaitu dengan keluasan kira-kira 268 ekar. Dari segi kategori tanah, 82% daripada kawasan ini merupakan rizab Malay Agricultural Settlement (MAS), manakala 17% adalah tanah milik persendirian.

Pembangunan di Kampong Bharu menggambarkan guna tanah asalnya yang kebanyakan
merupakan kebun kecil pertanian. Akibatnya, pembangunan infrastruktur di Kampong Bharu menjadi tidak sempurna dan tidak seiring dengan pembangunan di kawasan-kawasan lain di bandar raya. Ia juga sering dikaitkan dengan masalah pembangunan yang kompleks, kemiskinan, persekitaran hidup yang kurang sihat. Oleh itu, Kampong Bharu memerlukan perhatian khas dari segi pelaksanaan perancangan dan pembangunan.
Bagi memastikan Kampong Bharu dapat bertahan dan menyumbang kepada kehidupan bandar raya, sebanyak RM 100.6 juta telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) bagi menaik taraf struktur fizikal dan prasarana di Kampong Bharu iaitu;

*Pembangunan Semula Tapak Pasar Minggu (RM20 Juta);
*Menaik Taraf Dan Pengindahan Jalan Raja Alang dan Jalan Raja Muda Musa (RM25 juta);
*membina dan mempertingkatkan rangkaian jalan raya yang menghubungkan Jalan Tuanku *Abdul Rahman dan Jalan Tun Razak (RM40 juta);
*Pembangunan Dan Pengindahan Kawasan Sekitar Jalan Raja Bot dan Jalan Raja Hussein (RM7 juta); dan
*Projek Rangkaian Pejalan Kaki Bersepadu (RM8.6 juta).


Tindakan juga sedang diambil bagi membangunkan Kampong Bharu secara menyeluruh. Ke arah itu, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melantik perunding bagi menyediakan Pelan Tempatan Kampong Bharu (PTKB). Adalah dijangkakan draf PTKB dapat disiapkan pada bulan Julai 2007 dan akan dipamerkan kepada umum untuk bantahan. Seterusnya PTKB akan diwartakan sebelum ia dapat dilaksanakan. Semoga dengan adanya PTKB itu nanti maka pembangunan Kampong Bharu akan dapat direalisasikan secara lebih terancang, lancar dan menyeluruh.

Fungsi

Memberi pandangan dan ulasan bagi menambah baik penyediaan pelan-pelan pembangunan di Wilayah Persekutuan dan Lembah Klang;
Memantau dan menilai pencapaian pelaksanaan dasar, program dan strategi pelan-pelan pembangunan di Wilayah Persekutuan dan Lembah Klang;
Menyelaras dan memantau program-program pembangunan di kampung tradisi dan kampung baru dengan agensi-agensi yang berkaitan;
Memastikan program pembangunan untuk kampung Tradisi dan Kampung Baru dan agensi lain seperti KPKT selaras dengan keperluan dan dasar pembangunan Kementerian Wilayah Persekutuan.;
Menyelaras dan memantau tindakan terhadap aduan orang ramai berkaitan
kemudahan dan pembangunan di Kampung-kampung Tradisi dan Kampung Baru;
Jawatankuasa Pembangunan Kampung Tradisi dan Kampung Baru;
Melaksanakan kajian khas mengikut arahan dan keperluan semasa;
Mengumpul dan menganalisis data-data berkaitan Kg Tradisi dan Kg Bharu;



LIMA PROJEK BANGUNKAN KAMPUNG BARU


KUALA LUMPUR 29 Nov - Sebanyak lima projek sedang dan akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi membangunkan Kampung Baru, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutusan, Datuk Wira Abu Seman Yusop.Beliau berkata, dua projek yang sedang dilaksanakan ialah menaiktaraf dan mengindahkan Jalan Raja Alang dan Jalan Raja Muda Musa, serta membina dan mempertingkatkan rancangan Jalan Raja yang menghubungkan Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Tun Razak.``Projek yang dalam peringkat rekabentuk ialah, pembangunan tapak pasar minggu, pembangunan dan pengindahan kawasan sekitar Jalan Raja Bot dan Jalan Raja Hussin serta rangkaian jalan bersepadu menggabungkan Dataran Merdeka, Chow Kit dan Kampung Baru,'' katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2008 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.Menurut Abu Seman, bagi projek pembangunan tapak pasar minggu, ia mengandungi komponen seperti berikut:

* Dua blok pangsapuri 53 tingkat di atas podium empat tingkat.
* Bangunan dua blok pangsapuri dengan 735 unit kediaman.
* Bangunan empat tingkat podium mengandungi kedai, bazaar, ruang pejabat dan sebagainya.

Beliau berkata, pada masa ini pihak kementerian masih menimbang pelbagai kaedah bagi membangunkan Kampung Baru termasuk menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, pembangunan tanah bersepadu, pembangunan oleh syarikat milik kerajaan (GLC) dan pembangunan oleh individu atau pemilik tanah.Kerajaan sebelum ini mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk membangunkan Kampung Baru agar ia tidak terus terpinggir daripada arus pembangunan.Ketika mengumumkan peruntukan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia bagi membiayai pembangunan semula tapak pasar minggu serta menaik taraf jalan raya di sekitar kampung tersebut.Najib berkata, ia hanya peruntukan permulaan kerana banyak lagi yang akan disalurkan oleh kerajaan.


KUALA LUMPUR 15 Julai 2007– Kerajaan meluluskan peruntukan RM100 juta untuk membangunkan Kampung Baru di sini agar ia tidak terus terpinggir daripada arus pembangunan. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia bagi membiayai pembangunan semula tapak pasar minggu serta menaik taraf jalan raya di sekitar kampung tersebut.Beliau berkata, ia hanya peruntukan permulaan kerana banyak lagi yang akan disalurkan oleh kerajaan. "Peruntukan ini membuktikan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin terhadap kepentingan Melayu di bandar."Kita ingin orang Melayu di tengah kota raya seperti Kuala Lumpur menjadi bangsa yang boleh kita banggakan kerana kuat dan gagah perkasa dari segi ekonomi dan sosial," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa di sebuah hotel di sini, hari ini.Tubuh Perbadanan Bagi Bangunkan Kampung Baru, Kata Syed Ali



Pembangunan Kampung Baru Perlu Kekal Identiti

KUALA LUMPUR 23 Julai – Orang ramai bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk membangunkan Kampung Baru bagi mengindahkan pemandangan dan kelancaran trafik tetapi mereka meminta agar ciri tradisional sebagai identiti perkampungan Melayu itu terus dikekalkan.
Menurut mereka, ciri tradisional itu penting bagi mengekalkan identiti warisan Melayu yang satu-satunya masih terdapat di tengah-tengah kepesatan pembangunan ibu negara.
Selain itu, mereka berharap agar jumlah pampasan yang bakal diterima penduduk terlibat dengan projek pembangunan itu perlu setimpal dengan apa yang telah mereka korbankan.
Seorang pekerja swasta, Faizal Ahmad, 37, berkata, beliau setuju dengan cadangan pembangunan di Kampung Baru asalkan penduduk di situ mendapat pampasan yang setimpal dengan pengorbanan tersebut demi kebaikan generasi akan datang.
Menurutnya, kerajaan perlu menempatkan gerai-gerai makan tepi jalan di bawah satu bumbung yang seragam dengan seni bina tradisional agar pemandangan kampung itu kelihatan cantik, bersih dan teratur.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini berkata, kerajaan meluluskan peruntukan RM100 juta untuk membangunkan Kampung Baru itu agar ia tidak terus terpinggir dari arus pembangunan negara.
Menurutnya, kos itu ialah bagi membiayai pembangunan semula tapak Pasar Minggu serta menaik taraf jalan raya di sekitar Kampung Baru.
Najib berkata, itu hanya peruntukan permulaan kerana banyak lagi yang akan disalurkan oleh kerajaan untuk pembangunan kawasan tersebut.
Mohd. Azli Hamzah, 30, pula berkata, beliau setuju dengan cadangan kerajaan untuk membangunkan Kampung Baru agar kawasan itu diberi nafas baru sejajar dengan arus pembangunan negara.
’Menurut beliau, sekiranya gerai itu dipindahkan ke satu tempat yang sama di kampung tersebut, ia dapat membantu pengunjung membuat pilihan mereka untuk menjamu selera di lokasi yang dilengkapi kemudahan asas seperti tandas dan telefon awam.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Peniaga Bumiputra Wilayah Persekutuan, Zaidi Zainal berkata, pihaknya menyokong penuh cadangan pembangunan Kampung Baru demi kebaikan penduduk berkenaan.
Beliau berkata, sebanyak 60 gerai tepi jalan di Kampung Baru terlibat dengan projek pembangunan di situ bersedia untuk berpindah ke kawasan baru yang disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Bagaimanapun katanya, para peniaga terbabit merayu kepada DBKL agar melanjutkan tempoh pemindahan tersebut selewat-lewatnya selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Sumber Maklumat : Utusan Malaysia (24 Julai 2007)


Kampung Baru dibangunkan jika pemilik tanah membenarkan – PM
(07.09.2004)


KUALA LUMPUR 6 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata,
Kampung Baru di sini hanya dapat dibangunkan jika pemilik tanah di kawasan itu membenarkannya. Sambil menyifatkan perancangan pembangunan kawasan itu sangat baik berdasarkan nilai tanah yang tinggi dan lokasi yang strategik, beliau berkata, ia akan berjalan lebih lancar jika masalah pemilikan tanah pusaka juga dapat diselesaikan.
....Bukanlah satu perkara yang begitu mudah untuk melaksanakan pembangunan di kawasan itu (Kampung Baru) tetapi kalau kita dapat laksanakan pembangunan di kawasan itu, pembangunan moden adalah baik sekali.
....Sebagaimana yang telah saya katakan dulu, ia (pembangunan) banyak bergantung kepada kesediaan orang Kampung Baru itu sendiri untuk membenarkan pembangunan dilaksanakan,’’ katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Pembangunan Perbandaran Dunia anjuran Persatuan Pembangunan Perbandaran Antarabangsa (INTA) di sini hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Shaid Mohd. Taufek dan Presiden INTA, Mohamed Mbarki. Abdullah diminta mengulas mengenai isu pembangunan Kampung Baru selain peningkatan jumlah setinggan di sekitar bandar raya ini. Penduduk Kampung Baru sebelum ini menetapkan syarat yang antaranya mahukan penyertaan syarikat bumiputera jika kerajaan mahu membangunkan semula kawasan itu. Tanah seluas 96 hektar itu merupakan kawasan Melayu terbesar di ibu negara dan berstatus Penempatan Pertanian Melayu (MAS). Abdullah berkata, dari segi pemilikan tanah pusaka, ia melibatkan sehingga empat generasi yang memerlukan keluarga tuan tanah menyelesaikan isu tersebut di kalangan mereka terlebih dahulu.
....Kampung Baru bukan kawasan setinggan, jangan anggap begitu kerana orang Kampung Baru cukup bangga sebab mereka menganggap mereka adalah penduduk asal Kuala Lumpur. ....Ia adalah tanah pertanian di tengah-tengah bandar raya, semua (permasalahan) itu perlu diselesaikan antara ahli keluarga tuan punya asal tanah,’’ katanya. Sementara itu, mengenai pertambahan kawasan setinggan di sekitar bandar raya ini,
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus memberi perhatian kepada penduduk terlibat. ....Kita perlu ambil perhatian sebab penting bagi kerajaan mengutamakan mereka dalam menyediakan rumah dan membangunkan kawasan itu,’’ jelasnya.
Beliau menambah, kerajaan tidak dapat menghalang pertumbuhan kawasan setinggan termasuk milik pendatang asing kerana kawasan ibu kota dan sekitarnya sangat terbuka. ....Ini masalah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mesti ambil berat dan menyediakan penyelesaian bagi mengatasinya,’’ katanya.

Tanah rezab Melayu tidak ada harga

17-12-2007 02:41:02 PM


KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini diminta melakukan penyelarasan menyeluruh sistem pentadbiran tanah negara supaya tidak wujud perbezaan nilai ketara antara tanah rizab Melayu dan tanah bukan rizab Melayu.
Datuk Mahadzir Mohd Khir (BN-Sungai Petani) berkata Jabatan Tanah dan Galian perlu membuat kajian mengenai perkara itu kerana nilai tanah rizab Melayu sangat rendah berbanding tanah lain.
"Tanah rizab Melayu kalau dibandingkan dengan tanah lain masih tercorot... tidak ada harga. Jadi, penilaian terus menerus perlu dilakukan termasuk oleh Jabatan Tanah dan Galian untuk memberi nilai yang lebih kepada tanah rizab Melayu.
"Contohnya, tanah rizab Melayu di Sungai Penchala, mengapa harganya begitu kurang tiga atau empat kali lebih rendah daripada di Taman Tun Dr Ismail? Begitu juga harga tanah di Kampung Baru yang lebih rendah daripada harga tanah di kawasan sekitarnya," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Kanun Tanah Negara (Pindaan) 2007 pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Saranan Mahadzir itu dipersetujui Datuk Astaman Abdul Aziz (BN-Titiwangsa) yang memberi contoh tanah di Kampung Baru yang 12 kali lebih rendah berbanding tanah di Menara Kembar Kuala Lumpur (KLCC).
"Tanah di KLCC dijual beli dengan RM1,200 sekaki. Kalau dibuat penilaian rasmi tanah di Kampung Baru tidak sampai pun RM100 sekaki, bukan 10 kali ganda tapi 12 kali ganda," katanya ketika mencelah perbahasan Mahadzir.
Astaman berkata kekeliruan mengenai tanah di Kampung Baru yang berstatus "Malay Agricultural Settlement" menyebabkan harganya menjadi lebih rendah dari kawasan sekitarnya.
"Mengapa tidak ada penyelarasan dibuat kerajaan untuk menyelaraskan undang-undang berkaitan supaya tanah Kampung Baru ini tidak diragui statusnya?
"Jika dibuang status ’Malay Agricultural Settlement’ nilainya mungkin menjadi lebih tinggi," katanya.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk S. Sothinathan berkata kerajaan sedar mengenai perkara itu dan telah mengambil tindakan untuk meningkatkan lagi harga tanah rizab Melayu.
"Tanah di Kampung Baru di bawah Tanah Pertanian Melayu dan bukannya tanah rizab Melayu, pembangunan di Kampung Baru sedang diambil tindakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.
"Kita sedar bahawa perbezaan antara harga pasaran untuk tanah dan kawasan persekitaran Kampung Baru adalah ketara, jadi kementerian bersama dengan Kementerian Wilayah Persekutuan akan terus membantu mereka meningkatkan harga tanah kawasan tersebut," katanya. BERNAMA

Berita HarianSelasa 20 April 1999 4 Muharram 1420
Mengekalkan identiti Melayu Kampung Baru
Oleh Hashim Md Isa


DI TENGAH hiruk-pikuk ibu kota yang tersergam deretan bangunan pencakar langit, wujud perkampungan Melayu yang berusia lebih 100 tahun. Di perkampungan Melayu inilah bermula sejarah Kuala Lumpur yang kini menjadi pusat pentadbiran dan komersil negara.
Perkampungan utama yang mewarnai ibu kota termasuk Kampung Haji Abdullah Hukum, Kampung Baru, Kampung Datuk Keramat, Kampung Batu Muda, Kampung Pandan, Kampung Kerinchi, Sungai Pencala dan Ulu Klang. Suasana di perkampungan ini tidak lagi sehening zaman silam ketika kereta lembu menjadi kaedah pengangkutan sebaliknya ia kini dihimpit pembangunan di sekelilingnya.
Sebenarnya penduduk perkampungan Melayu seperti Kampung Baru bukanlah penduduk asalnya. Mereka adalah orang Melayu dari luar Kuala Lumpur yang dipindahkan dari seluruh pelusuk Tanah Melayu (kini Semenanjung Malaysia) oleh penjajah Inggeris, kata ahli sejarah, Prof Datuk Khoo Kay Kim. Penjajah Inggeris membuka Kampung Baru sebagai pusat penempatan baru bagi orang Melayu yang berkhidmat dengan kerajaan. Mereka diberi hak milik tanah bagi mendirikan rumah.
Perkampungan Melayu berubah mengikut arus perkembangan Kuala Lumpur. Banyak kawasan perumahan dan pusat komersil dibangunkan mengikut pelan struktur yang dibenarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang diajukan pemaju dengan persetujuan pemilik tanah. Bagaimanapun, masih banyak kawasan di perkampungan Melayu termasuk Kampung Melayu yang masih ketinggalan.
Kampung Baru berupa Tanah Rizab Melayu seluas 100 hektar yang terletak di kawasan ’Segi Tiga Emas’ dan dimiliki kira-kira 2,600 orang Melayu. Ia adalah hartanah kepunyaan orang Melayu yang terbesar dan termahal di negara ini. Perkampungan di tengah ibu kota ini masih lagi ketinggalan, mundur dari segi pembangunan, sesak, tidak teratur dan didiami pemilik tanah sendiri atau disewakan.
Keadaannya di sesetengah kawasan seolah-olah tidak terurus dengan bangunan lama dan baru bercampur-baur. Kawasan bangunan baru berkenaan dimajukan oleh pengusaha Melayu dengan persetujuan tuan tanah. Pemaju membina apartmen atau kedai yang kemudian dijual atau disewakan dengan pemilik tanah diberi satu atau dua unit rumah selain wang.
Satu konsep pembangunan yang menyeluruh dirangka dalam Pelan Pembangunan Kampung Baru bernilai RM2 bilion membabitkan kawasan seluas 16 hektar. Pelan yang disediakan adalah sesuai dan boleh memberi keuntungan kepada pemilik dan pemaju berdasarkan lokasi yang strategik.
Ia adalah rancangan pembangunan bercampur, iaitu membabitkan projek perumahan, pusat komersil dan perniagaan supaya selaras dengan pembangunan di persekitaran. Secara tidak langsung akan meninggikan nilai hartanah orang Melayu di samping kawasan itu menjadi tumpuan dan pusat aktiviti perniagaan yang berpotensi. Kerajaan percaya jika tiada pelan pembangunan itu, pembangunan kawasan berkenaan tidak akan tersusun.
Projek berharga RM2 bilion itu belum dapat dilaksanakan berikutan tuntutan pampasan tanah dan rumah yang terlalu tinggi yang diminta pemilik tanah selain pemilikan tanah yang bertindih. Sesetengah penduduk pula mahu mempertahankan Kampung Melayu itu atas prinsip, maruah dan nostalgia orang Melayu di ibu kota.
Oleh itu, Kampung Baru tersisih daripada pembangunan kerana tiada kesepakatan pemilik tanah untuk bersetuju dengan pelan induk kerajaan bagi memajukannya. Di sebalik kealpaan itu, kawasan pinggirnya membangun pesat. Sebuah projek Putra LRT yang menghubungkan Pasar Seni hingga Setiawangsa dan projek lebuh raya tinggi di pinggirnya sedang rancak dijalankan.
Kerajaan, bagaimanapun, berjaya mendapat persetujuan penduduk Kampung Abdullah Hukum di Bangsar supaya kampung berkenaan dimajukan. Walaupun ada penentangan tetapi akhirnya penduduk bersetuju menerima pampasan dan berpindah ke dua apartmen yang disediakan di kawasan itu, iaitu Putra Ria dan Putra. Pembangunan kini pesat di jalan di kampung itu untuk mewujudkan kawasan komersil Mid-Valley City.
Prof Khoo berpendapat, penduduk kampung di Kuala Lumpur terutama Kampung Baru perlu mengubah corak pemikiran mereka. Pemikiran lama sudah tidak sesuai lagi dengan kehidupan sekarang. Mereka harus sedar bahawa perkampungan itu perlu berubah mengikut arus pembangunan seperti kawasan di sekitarnya. Beliau berkata, di Singapura umpamanya, banyak perkampungan Melayu sudah berubah dan dimajukan sebagai pusat perdagangan. Masyarakat yang dulunya tinggal di kawasan itu dapat hidup selesa di samping dapat menikmati keselesaan pembangunan.
Oleh itu, agak sukar juga sekiranya penduduk di Kampung Baru mengekalkan kehidupan secara tradisional kerana mereka akan ketinggalan dan mundur berbanding penempatan lain yang sanggup menghadapi pembangunan.
"Faktor lain yang mungkin menjejaskan pembangunan Kampung Baru ialah masalah taraf Tanah Rizab Melayu yang diwujudkan penjajah Inggeris untuk memanjangkan kuasa politiknya di Tanah Melayu sebelum merdeka. Persatuan Melayu Selangor pernah melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan Inggeris pada waktu itu kerana mengekalkan status tanah milik mereka sebagai tanah rizab.
"Mereka berasa seolah-olah digolongkan seperti Red Indian di Amerika Syarikat yang hanya mampu bermegah dengan tanah simpanan yang dikhaskan untuk mereka sedangkan kaum itu hidup terpinggir. Persatuan Melayu Selangor mahukan status tanah itu dipinda agar dapat dibangunkan kerana negeri ini adalah tanah air mereka," katanya.
Bagi orang Melayu, tanah amat penting kerana ia dianggap sebagai lambang mempertahankan kedaulatan Melayu. Tetapi ada ketikanya kita boleh mempertahankannya, ada ketika pula perlu bertolak ansur demi mencapai pembangunan. Orang Melayu di Kampung Baru di tengah bandar raya Kuala Lumpur tidak sepatutnya bermegah dengan keadaan yang wujud hari ini.
Belum nampak petanda penyelesaian isu pembangunan Kampung Baru. Adakah Kampung Baru terus terabai tidak dapat dipastikan. Apa yang nyata, kerajaan tidak lagi membangkit isu itu walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan pelan pembangunannya. Pada Mei 1992, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembatalan projek pembangunan Kampung Baru selepas kos nilai pampasan meningkat RM414.18 juta berbanding RM66 juta sebelum diwartakan selain masalah pemilikan tanah bertindih yang masih belum diselesaikan.
Bagaimanapun, kerajaan tidak akan lepas tangan dalam pembangunan Kampung Baru berkenaan dan mahukan penduduk dan pemaju mencapai persetujuan yang menguntungkan kedua-dua pihak. Dalam pelan pembangunan itu, penduduk terbabit diberi kebebasan sama ada mengendalikannya secara usaha sama atau meminta pampasan dengan beberapa syarat tertentu. Namun pihak terbabit perlu mematuhi pelan pembangunan yang disediakan demi untuk memastikan corak pembangunan sejajar dengan imej ibu kota menjelang alaf baru.
Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbiran Kampung Baru, Salleh Mohd Said, 72, berkata pemilik tanah sememangnya inginkan pembangunan teratur dilaksanakan melalui sebuah konsortium tanpa menghapuskan identiti bangsa Melayu. Kampung Baru ialah satu-satunya kampung asal Melayu di tengah ibu kota. Beliau mahukan sebahagian besar daripada Kampung Baru diperuntukkan bagi pembinaan perumahan dan kediaman orang Melayu manakala selebihnya bagi projek komersil.
Pembangunan itu akan menguntungkan orang Melayu kerana lebih banyak kediaman akan didirikan di kawasan strategik yang berupaya menampung pertambahan penduduk di kawasan itu. Kaum bukan Melayu pula dibenarkan menjalankan perniagaan mereka dengan menyewa lot komersil. Pembangunan di kawasan ini nanti akan memberi perseimbangan kaum serta meningkatkan kuasa ekonomi orang Melayu di ibu kota.
Salleh bersetuju wajah Kampung Baru perlu diubah selari dengan pembangunan di kawasan sekelilingnya. Penduduk amat berharap kerajaan membabitkan diri dalam pembangunan Kampung Baru untuk melindungi kepentingan mereka. Beliau mahukan penduduk Kampung baru menikmati pembangunan di tempat lahir mereka.
Seorang anak watan Kampung Baru, Ismail Bajuri, mahukan penduduk menjadi pemegang saham dalam projek pembangunan kampung itu. "Tidak semua pemilik tanah mahukan wang tunai sebagai pampasan kerana mereka mahu tanah yang dimiliki sekarang kekal sebagai satu aset walaupun sudah dimajukan," katanya.
Beliau ingin memperoleh sekurang-kurangnya satu unit rumah serta ditawarkan sebahagian daripada keuntungan sewa atau jualan unit rumah kedai atau kondominium yang dibina. Oleh itu, katanya, tidaklah timbul masalah orang Melayu tidak lagi tinggal di Kampung Baru atau tidak mampu membeli rumah yang siap kelak. Cuma perancangannya mestilah betul dan penduduk perlu diberi penerangan yang jelas. "Jika Dr Mahathir berasa malu melihat keadaan Kampung Baru, apatah lagi kita penduduk atau pemilik tanah di kampung itu. Ramai ahli korporat Melayu yang berasal dari Kampung Baru kini sudah mampu menerajui pembangunan kampung ini," katanya.
Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mohd Razali Agus, berkata orang Melayu di Kampung Baru, Datuk Keramat dan Kampung Pandan perlu mengubah corak kehidupan mereka selari dengan arus pembangunan yang begitu pesat di ibu kota. "Kalau kita perhatikan keadaan rumah di Kampung Baru, ia menunjukkan satu pemandangan yang tidak menarik berbanding kawasan sekeliling yang sedang pesat membangun. Adakah ini yang patut kita tonjolkan kepada dunia bahawa Kuala Lumpur sedang pesat membangun dan menuju era teknologi maklumat?" katanya.
Beliau berkata, orang Melayu perkampungan Melayu di ibu kota mesti bekerjasama dengan kerajaan bagi memajukan kawasan itu. Kerajaan pula perlu melaksanakan satu pelan perancangan yang menyeluruh bagi kampung Melayu di ibu kota. Bagi meyakinkan orang Melayu di kawasan itu, katanya, mereka patut mendapat keuntungan daripada pembangunan melalui pegangan saham milik bersama pemaju.
"Identiti Melayu perlu dikekalkan seperti mewujudkan restoran makanan Melayu, kedai pakaian tradisional Melayu atau apa sahaja yang melambangkan kesenian orang Melayu selain perniagaan lain. Kampung Baru boleh menjadi pusat penyelidikan sejagat mengenai budaya bangsa Melayu sendiri," katanya.
Sesungguhnya perkampungan Melayu di ibu kota wujud dalam ruang lingkup pemodenan dan kematangan Melayu menjelang alaf ke-21. Orang Melayu di ibu kota berada di ambang masyarakat industri dan celik teknologi maklumat. Oleh itu, ia memerlukan pengorbanan orang Melayu dalam menyerapkan diri mereka dalam arus pembangunan. Perkampungan Melayu di ibu kota memang wajar dibangunkan semula dalam kerangka arus perdana pembangunan dengan mengekalkan identiti dan hak milik bangsa...

2 ulasan:

syahrol berkata...

ada fulus semua bleh lulus.x tak da fulus semua boleh berambus. i think this is what mr mayor think in his mind about kg.baru melayu who live here.

syahrol berkata...

D.B.K.L mean Duduk Borak Kelentong Lebeh........