05 Ogos 2008

Dialog Kampung Baru: Milik Selangor atau DBKL?

Herman Samsudeen Wed Jul 30, 08 2:41:48 pm MYT

Ahli Parlimen Titiwangsa (PAS), Dr. Lo'lo' Mohamad Ghazali akan menganjurkan Majlis Dialog Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato` Abd Khalid Ibrahim bersama Wakil dan waris-waris tanah Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Majlis ini akan berlangsung pada 3 Ogos 2008, 2.00 petang di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.
Majlis ini bakal membahaskan isu berkenaan "Masa Depan Kg. Baru: Bersama Selangor atau DBKL". Tajuk ini dipilih memandangkan terdapat beberapa pertikaian tentang status tanah-tanah rizab Kampung Baru, yang sebahagiannya masih lagi tertakluk di bawah undang-undang Kerajaan Selangor.
Walaupun tanah-tanah Kampung Baru ditadbir urus Malay Agriculture Settlement (MAS), namun dari segi pelaksanaan dasarnya segala urusan diserahkan kepada DBKL.
Mengikut perlembagaan MAS, Pengerusinya haruslah Menteri Besar Selangor sebagai wakil Kerajaan Selangor. Tapi apa yang berlaku kini, pengerusinya adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur yang berkhidmat di bawah Kerajaan Persekutuan bukannya Kerajaan Selangor.
Perkara-perkara pokok yang bersangkutan dengan undang-undang ini sering menjadi batu penghalang bagi usaha membangunkan Kampung Baru.
Oleh itu, dialog ini dianjurkan bagi membuka ruang untuk semua pihak memahami status tanah, tanggungjawab dan hak mereka, khususnya dalam menimbangkan cadangan DBKL yang kini telah melancarkan Draf Pelan Kuala Lumpur 2020 untuk penilaian rakyat.
Adakah DBKL berhak menyentuh tanah Kampung Baru? Apakah kuasa Kerajaan Selangor ke atas Kampung Baru? siapa yang berhak untuk membangunkan Kampung Baru, Selangor atau DBKL?
Untuk mengetahui jawapannya, para wakil dan waris pemilik tanah adalah dijemput hadir bagi mendengar sendiri pandangan Menteri Besar Selangor tentang isu tanah dan pembangunan Kampung Baru.

(Penulis adalah Setiausaha Politik Dr. Lo'lo' Dato' Hj. Mohamad Ghazali) _

Tiada ulasan: