Memaparkan catatan dengan label KLCP 2020. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KLCP 2020. Papar semua catatan

05 Ogos 2008

Dialog Kampung Baru: Milik Selangor atau DBKL?

Herman Samsudeen Wed Jul 30, 08 2:41:48 pm MYT

Ahli Parlimen Titiwangsa (PAS), Dr. Lo'lo' Mohamad Ghazali akan menganjurkan Majlis Dialog Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato` Abd Khalid Ibrahim bersama Wakil dan waris-waris tanah Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Majlis ini akan berlangsung pada 3 Ogos 2008, 2.00 petang di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.
Majlis ini bakal membahaskan isu berkenaan "Masa Depan Kg. Baru: Bersama Selangor atau DBKL". Tajuk ini dipilih memandangkan terdapat beberapa pertikaian tentang status tanah-tanah rizab Kampung Baru, yang sebahagiannya masih lagi tertakluk di bawah undang-undang Kerajaan Selangor.
Walaupun tanah-tanah Kampung Baru ditadbir urus Malay Agriculture Settlement (MAS), namun dari segi pelaksanaan dasarnya segala urusan diserahkan kepada DBKL.
Mengikut perlembagaan MAS, Pengerusinya haruslah Menteri Besar Selangor sebagai wakil Kerajaan Selangor. Tapi apa yang berlaku kini, pengerusinya adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur yang berkhidmat di bawah Kerajaan Persekutuan bukannya Kerajaan Selangor.
Perkara-perkara pokok yang bersangkutan dengan undang-undang ini sering menjadi batu penghalang bagi usaha membangunkan Kampung Baru.
Oleh itu, dialog ini dianjurkan bagi membuka ruang untuk semua pihak memahami status tanah, tanggungjawab dan hak mereka, khususnya dalam menimbangkan cadangan DBKL yang kini telah melancarkan Draf Pelan Kuala Lumpur 2020 untuk penilaian rakyat.
Adakah DBKL berhak menyentuh tanah Kampung Baru? Apakah kuasa Kerajaan Selangor ke atas Kampung Baru? siapa yang berhak untuk membangunkan Kampung Baru, Selangor atau DBKL?
Untuk mengetahui jawapannya, para wakil dan waris pemilik tanah adalah dijemput hadir bagi mendengar sendiri pandangan Menteri Besar Selangor tentang isu tanah dan pembangunan Kampung Baru.

(Penulis adalah Setiausaha Politik Dr. Lo'lo' Dato' Hj. Mohamad Ghazali) _

KLCP 2020: DBKL puas hati jumlah bantahan

LAPORAN UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 6 Julai - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berpuas hati dengan jumlah cadangan dan bantahan yang dikemukakan oleh warga kota terhadap Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCP) 2020, setakat ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Salleh Md. Yusof berkata, walaupun ada rungutan tentang kaedah mengisi borang bantahan tetapi ia tidak menjejaskan minat warga kota terhadap perkara itu.
"Kita berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh orang ramai terhadap KLCP 2020 dan sudah banyak pandangan yang dikumpulkan.
"Setakat ini saya masih belum mendapat data mengenai kesemua laporan yang dikemukakan namun difahamkan ia mendapat perhatian daripada warga Kuala Lumpur.
"Oleh itu, saya menyeru kepada sesiapa yang masih belum melihat pameran KLCP 2020 agar tampil mengkaji pelan tersebut supaya dapat bersama-sama berganding bahu perbaiki perancangan Kuala Lumpur untuk masa akan datang,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Keluarga dan Ekspo sempena Ulang Tahun ke-25 Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar di sini.
Salleh berkata, warga kota perlu memanfaatkan peluang untuk menyuarakan pandangan serta bantahan mereka terhadap KLCP 2020 sebelum tempoh bantahan ditutup pada 31 Ogos depan.
Katanya, bagi memudahkan orang ramai dan memastikan pandangan mereka diberi perhatian sewajarnya, mereka disyorkan melayari laman web DBKL untuk mengetahui cara-cara mengisi borang yang betul.
"Mereka juga boleh mendapatkan penerangan daripada petugas-petugas DBKL di kaunter pameran yang masih berlangsung di ruang lobi bangunan DBKL,'' katanya.
Beliau berkata, kaedah mengisi borang bantahan itu tidak sepatutnya menjadi masalah kerana pihak DBKL sudah 10 kali memberi taklimat kepada orang ramai mengenai perkara tersebut.
Mengenai isu Pasar Minggu Kampung Baru yang turut termasuk dalam KLCP 2020, Salleh berkata, penduduk dan peniaga yang terlibat telah ditawarkan untuk berpindah ke Projek Penempatan Rakyat (PPR) Semarak.
Katanya, kesemua peniaga terbabit akan diberikan pusat perniagaan sementara selama tiga hingga empat tahun di Kampung Baru sehingga pembangunan semula Pasar Minggu Kampung Baru selesai dibina.
"Apabila siap kelak, pihak DBKL akan bagi keutamaan kepada bekas peniaga Pasar Minggu untuk berniaga di situ.
"Usaha pemindahan ini penting kerana DBKL tidak mahu melihat tempat berkenaan kurang maju dan hilang ditelan masa,'' katanya.
Sementara itu, beliau memuji usaha yang dilakukan oleh pihak jawatankuasa kariah Masjid Saidina Abu Bakar kerana mengilhamkan program yang mampu menambahkan pendapatan masjid.
"Saya juga diberitahu bahawa ekspo ini juga bertujuan menyumbangkan dana kepada badan amal dan pembangunan masjid di Kampung Tuel, Gua Musang,'' katanya.
Bagi Salleh, usaha Masjid Saidina Abu Bakar itu adalah contoh bahawa masjid bukan sekadar tempat beribadat, malah pelbagai program kemasyarakatan boleh dianjurkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim, di samping menjana tabung masjid.


** TIGA HINGGA EMPAT TAHUN. BUKAN KAH INI SATU JANGKA MASA YANG PANJANG UNTUK DILAKSANAKAN. BAGAIMANA PULA JIKA PROJEK INI TERBENGKALAI............. APAKAH JAMINAN KEPADA KAMI.

Anak jati bangun Kampung Baru

HARIAN METRO 5-8-2008

KUALA LUMPUR: “Pembangunan Kampung Baru yang dirancang dalam Draf Pelan Kuala Lumpur 2020 seharusnya dilaksanakan anak jati kampung itu sendiri,” kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Beliau berkata, pihaknya menerima pelbagai rungutan daripada penduduk kampung yang mahukan pembangunan diteruskan dengan hasil usaha mereka sendiri di samping membantah rancangan pengambilalihan tanah mereka seperti dicadang dalam pelan itu. Katanya, penduduk Kampung Baru akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi merencana program pembangunan kampung itu. “Kita akan membantu bagi menentukan Kampung Baru tidak terus terpinggir, dan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dana sebanyak RM50,000 akan disediakan bagi membuat kajian terhadap pembangunan di Kampung Baru,” katanya.

Sepakat tolak KLCP 2020

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI, UTUSAN MALAYSIA, 5/8/2008

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Penduduk Kampung Baru di sini sepakat untuk menolak Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCP) 2020 yang dirangka dan kini dibuka untuk bantahan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Penduduk yang menghuni kawasan yang menjadi ikon penempatan orang Melayu di tengah ibu negara itu mendakwa hak mereka diketepikan oleh DBKL dalam merangka draf pelan tersebut.

GAMBAR KEMUDIAN DIMASUKKAN
PERTAHAN HAK... Salah seorang pemilik tanah di Kampung Baru menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 pada satu majlis pertemuan dan dialog yang diadakan di Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, kelmarin.


Kata sepakat itu dicapai dalam pertemuan yang dihadiri oleh kira-kira 200 pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru di sini semalam.
Pertemuan anjuran Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo’ Lo’ Mohd. Ghazali itu turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Dalam pertemuan yang berlangsung dalam suasana yang `panas’ itu, antara isu yang dibangkitkan semasa sesi dialog ialah mengenai status pemilik tanah Kampung Baru, Pasar Minggu yang akan ditutup oleh DBKL dan rasa ketidakpuasan hati penduduk terhadap DBKL terhadap isu tanah kawasan itu.
“Saya tidak mahu tanah di Kampung Baru diambil oleh DBKL kerana itu hak kami dan lambang orang Melayu. Saya tidak mahu tanah ini tergadai, saya sayang tanah saya.
“Apa gunanya status kami sebagai pemilik asal dan pewaris tanah di sini, kenapa tanah kami DBKL kacau dan mana hak kami sebagai pemilik,” luah seorang penduduk, Abd. Rahman Amin dalam sesi dialog itu.
Beliau juga tidak berpuas hati dengan cara penerangan oleh DBKL berhubung isu tanah Kampung Baru yang disifatkannya sebagai mengelirukan para penduduk Kampung Baru.
Katanya, penerangan yang diberikan tidak jelas menyebabkan penduduk keliru dan tidak faham tentang perkara yang hendak disampaikan oleh DBKL kepada mereka.
“DBKL bagaikan mahu menyisihkan hak kami sebagai pewaris dan pemilik tanah di Kampung Baru ini,’’ tambahnya dengan nada suara yang serius dan tinggi.
Kampung Baru yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur disifatkan sebagai kawasan segi tiga emas kerana tanahnya kini bernilai tinggi.
Namun, selain isu pemilikan individu dan pecahan lot yang kecil, terdapat beberapa masalah lain dalam membangunkan kawasan itu termasuk sebahagian kawasan itu adalah milik kerajaan negeri Selangor manakala sebahagian lagi di bawah seliaan DBKL.
Penduduk berkata, Kampung Baru merupakan tanah rizab Melayu mengikut Seksyen 6 Enakmen Tanah 1867 dan sehingga sekarang tidak pernah dimansuhkan.
“Pembangunan Kampung Baru perlu dibuat secara berperingkat-peringkat dengan mengekalkan budaya orang Melayu kerana kami tidak mahu terjadi seperti di Kampung Abdullah Hukum,” kata Shaharuddin Hamid pula.
Katanya, penduduk tidak mahu tanah mereka jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab kerana jika perkara itu berlaku dan dibiarkan berterusan tanpa dibendung, akhirnya semua tanah di situ akan tergadai begitu sahaja.
Dia yang mewakili generasi muda penduduk jati Kampung Baru itu berkata, pembangunan di Kampung Baru sangat diperlukan tetapi pelaksanannya perlu mengekalkan budaya Melayu supaya ia tidak lenyap ditelan masa dan pembangunan.
Sesi dialog yang berlangsung selama hampir tiga jam itu menjadi semakin panas apabila ramai penduduk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perancangan yang dicadangkan oleh DBKL menerusi KLCP 2020.
Isu penduduk Pasar Minggu Kampung Baru yang diarahkan oleh DBKL supaya berpindah turut menjadi isu hangat dalam sesi dialog itu.
Wakil peniaga Pasar Minggu itu, Rahman Omar berkata, DBKL mengarahkan penduduk pasar minggu itu berpindah dan pasar itu akan dihapuskan sedangkan tanah itu adalah milik kerajaan Selangor.
“Apa yang menjadi masalah di sini ialah mengapa DBKL hendak kacau kawasan itu yang bukan hak milik mereka,’’ katanya.
Sebelum ini, DBKL memberikan notis kedua kepada penghuni pasar minggu itu supaya meninggalkan premis mereka sebelum 20 Jun lalu atau tidak akan diberikan sebarang ganti rugi apabila operasi merobohkan dilaksanakan kelak.
Tambah Rahman lagi, para peniaga di situ akan kehilangan mata pencarian jika berpindah ke kawasan lain seperti yang diarahkan oleh DBKL.
Sementara itu, selepas mendengar pelbagai luahan rasa oleh penduduk Kampung Baru, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri akan membantu mereka menjalankan penyelidikan.
Katanya, penyelidikan yang akan dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dengan diketuai oleh Dr. Lo’ Lo’ itu penting untuk mendapatkan fakta sebenar tentang semua dakwaan penduduk.
“Kerajaan Selangor akan memperuntukkan sebanyak RM50,000 untuk kajian itu seterusnya membuat kertas cadangan bagi membantah Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020.
“Saya mahu jawatankuasa penyelidikan itu turut terdiri daripada pewaris dan pemilik tanah di Kampung Baru ini sendiri,’’ tambah beliau.

09 Jun 2008

Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCP) 2020 Jilid 4: Kampong Bharu

DRAF PELAN BANDAR RAYA KUALA LUMPUR 2020 PADA 15 MEI 2008 (KHAMIS).

DRAF PELAN BANDAR RAYA KUALA LUMPUR 2020 JILID 4 : KAMPONG BHARU YANG SEPATUTNYA DILANCARKAN PADA 1 APRIL 2008. TERLEWAT SATU SETENGAH BULAN APABILA TIMB. PERDANA MENTERI MENGUMUMKAN PELAN PEMBANGUNAN AKAN DILANCARKAN PADA 1 APRIL SEMASA BELIAU BERKEMPEN UNTUK PRU 2008.
gambar A
gambar B
Pelan Perancangan yang akan dilaksanakan di Pasar Minggu meliputi dua blok bangunan (gambar b). Di bahagikan kepada beberapa presint untuk pembangunan kampong bharu, pasar minggu termasuk di dalam presint A.