Memaparkan catatan dengan label BERITA AKHBAR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BERITA AKHBAR. Papar semua catatan

04 Mac 2009

PERBADANAN KAMPUNG BARU DIWUJUDKAN

KUALA LUMPUR 3 Mac - Kerajaan akan mewujudkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru bagi memajukan penempatan orang Melayu itu yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique berkata, butir-butir lengkap mengenai perbadanan itu akan didedahkan kepada umum setelah Pelan Pembangunan Kampung Baru yang terkandung dalam Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2020 diwartakan.
''Perbadanan ini akan diletakkan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan maklumat lengkap akan didedahkan setelah pelan berkenaan dipersetujui semua pihak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi peringkat kementeriannya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Zulhasnan, kerajaan juga telah menubuhkan Unit Khas Pembangunan Kampung Baru yang dianggotai pegawai DBKL, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kementerian itu.
Katanya, tujuan utama penubuhan unit itu ialah untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan pemilikan tanah di Kampung Baru.
''Antara masalah lain yang akan diatasi ialah pertukaran nama pada geran, masalah pindah milik dan waris meninggal dunia," katanya.
Tambah beliau, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM100 juta sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi membangunkan tapak pasar minggu di Kampung Baru.
''Peruntukan ini juga akan digunakan bagi meningkatkan rangkaian jalan raya yang menghubungkan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Razak," jelasnya.
Dalam pada itu, menjawab celahan Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali (Pas-Titiwangsa) ketika penggulungan itu, beliau berkata, tiada sebarang rancangan untuk melantik Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) sebagai pemaju bagi membangunkan Kampung Baru.
LAPORAN AKHBAR INI TELAH MEMBERITAHU AKAN KEDATANGAN SEKUMPULAN PEGAWAI DBKL BEBERAPA HARI LALU.
TERTANYA-TANYA??
JELAS TERBUKTI BAHAWA SEKUMPULAN PEGAWAI/ KAKITANGAN DBKL BESERTA KONTRAKTOR YANG DATANG PADA 2 MAC 2009 BUKAN HANYA SEBAGAI PROGRAM PEMBERSIHAN TETAPI ADA UDANG DI SEBALIK MEE DALAM PINGGAN YANG MENANTI UNTUK DIHIDANGKAN. BENARLAH DENGAN SEBAHAGIAN PERUNTUKAN RM100 JUTA YANG BARU UNTUK PASAR MINGGU (BAGAIMANA DENGAN PERUNTUKKAN YANG LAMA??)
1. APAKAH NASIB YANG BAKAL MENIMPA PENDUDUK KAMPUNG BARU???
2. TIADA PERBINCANGAN DENGAN PEMILIK TANAH DI KAMPUNG BARU???
3. BAGAIMAN PULA DENGAN PERANAN LEMBAGA M.A.S DALAM PEMBANGUNAN KAMPUNG BARU DAN PERBADANAN KAMPUNG BARU INI???
4. RM 100 JUTA LAGI PERUNTUKKAN UNTUK PASAR MINGGU???
5. BILA BANTAHAN DRAF PELAN BANDARAYA KUALA LUMPUR 2020 JILID 4: KAMPONG BHARU AKAN DIUMUMKAN???
6. KENAPA PERBADANAN KAMPUNG BARU HARUS DILETAKKAN DIBAWAH DBKL???
7. APAKAH YANG AKAN BERLAKU NANTI ???

04 Februari 2009

Amal Cara Hidup Kampung (petikan akhbar Kosmo)

Meskipun Kampung Baru dihimpit dengan pembangunan yang pesat, namun para penduduknya hidup bermuafakat.





WARGA Kampung Baru masih mengamalkan

cara hidup bergotong-royong dan bermuafakat.


Di sebalik arus moden yang menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya kelas pertama, terdapat sebuah perkampungan tradisional Melayu yang masih wujud di sebalik deretan bangunan pencakar langit. Kawasan perkampungan seluas hampir 250 ekar itu merupakan salah satu kawasan tanah paling bernilai di ibu negara yang dianggarkan mencecah RM5.16 bilion jika mahu dibangunkan. Itulah keunikan Kampung Baru yang telah menjadi saksi terhadap pembangunan yang dilaksanakan di Kuala Lumpur sejak beberapa dekad lalu.

KAMPUNG BARU menjadi saksi 35 tahun berdirinya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Seorang penduduk, Aminah Martaji, 64, berkata, dia berbangga menjadi warga Kampung Baru yang mempunyai keistimewaan tersendiri meskipun kawasan tersebut semakin dihimpit pembangunan yang pesat.
"Walaupun terletak di kawasan bandar, tapi rata-rata penduduk di sini masih mengamalkan gaya hidup kampung seperti bergotong-royong dalam mengadakan majlis kenduri kahwin, sentiasa bertegur sapa sesama jiran dan mengambil berat antara satu sama lain.
"Tidak seperti sesetengah kawasan perumahan atau kejiranan di Kuala Lumpur yang penghuninya langsung tidak mengenali sesama mereka dan tidak pernah bertegur sapa walaupun duduk sebelah-menyebelah.





"Itulah antara kelebihan warga Kampung Baru yang kebanyakannya merupakan anak jati Kuala Lumpur," ujar Aminah, ibu kepada empat orang anak yang memang dilahirkan dan dibesarkan di kawasan tersebut.
Justeru, Aminah berharap agar keharmonian warga Kampung Baru akan terus kekal tanpa diganggu gugat oleh anasir-anasir negatif yang boleh memecah-belahkan masyarakat di sana.

Jika diimbas sejarahnya, Kampung Baru telah diwartakan sebagai Penempatan Pertanian Melayu pada tahun 1900 oleh pentadbir Kolonial British bagi membolehkan kaum Melayu mengekalkan cara hidup kampung di kawasan bandar.
Sejak itu, Kampung Baru telah menjadi lebih daripada sebuah kampung. Keberaniannya menentang pembangunan dan kehidupan moden bandar telah mengubah kampung itu sebagai simbol politik budaya Melayu.
Sementara itu, Bakri Kassim, 66, pula menjelaskan, penduduk di Kampung Baru tidak menolak projek pembangunan di kawasan mereka, tetapi sebaliknya ia perlu dilakukan dengan cara berhemah dan sistematik.
"Kemajuan memang penting untuk membangunkan sesebuah negara, namun setiap projek yang mahu dilaksanakan haruslah mengambil kira kebaikan dan keburukannya di kalangan penduduk.
"Jika sesuatu projek itu hanya mementingkan sebelah pihak sahaja, maka ia tidak adil buat kami. Yang penting, semua pihak harus sama-sama mengecapi nikmat kemajuan yang dilaksanakan seiring dengan matlamat membangunkan bandar raya Kuala Lumpur.
"Di samping itu, kami juga tidak mahu kehilangan hak ketuanan ke atas tanah yang telah diwarisi turun-temurun daripada orang tua kami," kata Bakri yang mula menetap di Kampung Baru sejak tahun 1949. Bagi Khalid Abd. Rashid pula, Kampung Baru sememangnya satu lokasi paling ideal untuk orang ramai menikmati pelbagai jenis makanan yang ditawarkan.
"Sebut sahaja apa jua jenis makanan yang hendak dicuba atau dirasa, semuanya boleh didapati di sini. Daripada makanan masyarakat pantai timur seperti nasi dagang atau tom yam sehinggalah makanan barat seperti stik, chicken chop mahu pun spageti. Semuanya ada," tutur Khalid yang mengakui seronok menjalani kehidupan di Kampung Baru. - KHADIJAH MOHAMAD NOR




http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0202&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Seumpama Dua Darjat (petikan akhbar Kosmo) Bhg 1


Pembangunan di Kampung Baru, Kuala Lumpur mula digerakkan sejak tahun 1975. Namun sehingga kini, ia menemui jalan buntu.

Pembangunan Kampung Baru, warisan Melayu di tengah-tengah ibu kota metropolitan Kuala Lumpur bergerak perlahan sejak dibuka pada tahun 1899. Ia berlaku disebabkan pelbagai faktor, antaranya kerenah birokrasi usang dan sikap penduduk. Bagaimanapun, harapan baru muncul dengan cadangan transformasi kampung tersebut. Menyorot kembali usaha pembangunan Kampung Baru, ia bukanlah satu kisah pendek. Sekiranya dibandingkan kerancakan pembangunan di kawasan itu dengan jirannya di sebalik sempadan bersama, terutama Sungai Kelang, ia sangat berbeza.

Kampung Baru terletak di bahagian utara pusat bandar raya yang disempadani Jalan Raja Muda Abdul Aziz di utara, Jalan Tun Razak di timur, Jalan Dang Wangi, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh) dan Sungai Kelang di selatan serta Jalan Tuanku Abdul Rahman di sebelah barat. Sebagai contoh, menara kembar yang paling tinggi di dunia terletak hanya satu kilometer dari kampung itu. Ironinya, masjid, deretan kedai, kelompok rumah dan pelbagai lagi tidak kelihatan berubah seperti mana Kampung Baru mula dibuka pada tahun 1899 dan digazetkan setahun kemudian. Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan seakan-akan wujud dua darjat di antara Kampung Baru dan kawasan sekelilingnya.

Tujuh kampung utama

Kampung Baru yang seluas 90.35 hektar (225.89 ekar) terdiri daripada tujuh buah kampung iaitu Kampung Hujung Pasir, Kampung Pindah, Kampung Periuk, Kampung Paya, Kampung Masjid, Kampung Atas A dan Kampung Atas B. Saiz perkampungan membesar selepas beberapa kampung kecil turut dirangkumkan ke dalam Kampung Baru seperti Kampung Manggis dan Kampung Sungai Baru dan kemudian disertai perkampungan yang ditakrifkan setinggan sebelum ini, iaitu Kampung Limau, Kampung Chendana dan Kampung Paya Baru.

Terdapat tiga kategori tanah milik Melayu wujud di Kampung Baru iaitu Tanah Simpanan Melayu, Tanah Simpanan Pertanian Melayu dan Tanah Melayu Diberi Milik. Dahulu pernah terdengar jenaka bahawa yang berubah di Kampung Baru hanyalah nama-nama jalannya, sedangkan kampung itu masih lagi seadanya. Apa tidaknya, Hale Road yang dinamakan sempena seorang pentadbir British pada zaman penjajah kini dikenali dengan nama Jalan Raja Abdullah manakala Jalan Raja Muda Abdul Aziz yang merentangi Kampung Baru dahulunya ialah Princess Road dan Jalan Haji Yahya Sheikh Ahmad pernah bergelar Jalan Watson.

Membangunkan kampung baru

Usaha pertama untuk membangunkan Kampung Baru bermula pada tahun 1975 dengan menyatukan pelbagai lot kecil tetapi langkah itu tidak mendapat sambutan dan 10 tahun kemudian, DBKL mengemukakan pelan konsep pembangunan dengan tujuan mengelakkan pemilik individu membangunkan tanah mereka secara persendirian. Setelah lama menyepi, khabar angin mengenai pembangunan Kampung Baru hangat diperkatakan semula pada 1991, susulan lawatan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri (Tun) Dr. Mahathir Mohamad bersama rombongannya, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Bandar Kuala Lumpur, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Datuk Dr. Suleiman Mohamed yang ketika itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilantik mengetuai jawatankuasa pembangunan semula Kampung Baru, turut mengiringi beliau. Beberapa siri pertemuan dengan penduduk seramai 1,923 orang diadakan, tetapi usaha tiga tahun Suleiman gagal, berpunca daripada pelbagai masalah tuntutan pembangunan, hak milik beramai, kos dan pentadbiran tanah dan sebagainya. Ekoran itu, pelbagai aktiviti cuba diusahakan sama ada secara bersendirian atau berkumpulan tetapi kesemuanya menghadapi jalan buntu akibat masalah kos pengambilan balik tanah.

Pelan Tempatan Kampung Baru yang diarah dikeluarkan DBKL pada 1992 sehingga kini tidak diketahui umum bentuknya sehinggalah Draf Kuala Lumpur 2020 Pelan Bandar Raya yang melibatkan Kampung Baru di dalam Jilid 4 dibentangkan pada tahun lalu. Penduduk tubuh persatuan Persatuan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) dan Persatuan Kebajikan Anak-anak Melayu Kampung Baru (Pakam) dalam memorandum mereka pada 1994 turut menyenaraikan beberapa masalah yang timbul dalam perancangan membangunkan Kampung Baru. Ketika itu wujud kumpulan pemilik tanah yang mendesak kerajaan membayar pampasan yang terlalu tinggi dan tidak munasabah dari segi harga pasaran dan penyewaan. Ada pula pihak yang menangguk di air keruh dengan mempengaruhi tuan tanah supaya menyerahkan kuasa menguruskan tanah sehingga berlaku penipuan.

Tidak kurang juga yang mencari populariti memperjuangkan isu Kampung Baru sehingga menampakkan suara pemilik tanah dan tujuan kerajaan tidak sekata. Menurut PPKB dan Pakam, selepas mengadakan beberapa mesyuarat dengan anggota mereka ketika itu, rata-rata penduduk Kampung Baru yang mempunyai kepentingan hartanah dan perniagaan menyokong rancangan untuk membangunkan Kampung Baru dengan syarat pihak berkenaan mengambil kira masalah yang dihadapi mereka dan memenuhi harapan mereka yang munasabah. Mereka tidak mahu berulangnya peristiwa perpindahan orang Melayu dari Sungai Gombak dan Sungai Kelang ke Kampung Baru atas alasan pembangunan, mengakibatkan hampir pupus orang Melayu yang bermastautin di bandar raya Kuala Lumpur.

Jika tidak mencapai kata putus yang adil, kata mereka, Kampung Baru akan terus kekal sebagai dua darjat dengan kawasan di sekitarnya.

- Bernama

11 Ogos 2008

PENDUDUK MAHU BANGUNKAN SENDIRI KAMPUNG BARU


SHAH ALAM- Penduduk Kampung Baru mahu membangunkan kawasan mereka mengikut citarasa sendiri demi memastikan pemilikan hartanahdi kawasan berkenaan kekal dan tidak terlepas ke tangan pihak lain, kata Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' mohamad Ghazali.


Katanya, Kerajaan Pusat digesa untuk menyalurkan bantuan kewngan berjumlah RM 6 Bilion kepada organisasi yang bakal ditubuhkan bagi memajukan kampung berkenaan seperti kerajaan memperuntukkan kewangan untuk pembangunan koridor yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.


"Kerajaan boleh mengunakan keuntungan Petronas untuk membantu Kampung Bharu di bangunkan ikut acuan sendiri, oleh anak jati kampung Bharu yang pakar, kita boleh namakan pembangunan ini sebagai Koridor Kampung Bharu atau nama lain yang," katanya.

Menurutnya lagi, penduduk yang disertai beberpaa badan bukan kerajaan (NGO) sepakat untuk terlibat membangukan Kampung Bharu kerana mahu kawasan tempat tinggal mereka dibangunkan tanpa campurtangan politik dan orang luar.


"Antara perkara yang dibimbangi penduduk ialah pengambilan tanah secara wajib melibatkan pampasan 20 peratus dalam bentuk tunai dan 80 peratus dalam bentuk saham sedangkan perkara itu belum dipersetujui penduduk," katanya.


Mengulas mengenai campurtangan kerajaan negeri selangor dalam pembangunan Kampung Bharu, Dr Lo' Lo' berkata, kerjaan Selangor mempunyai sejarah yang panjang dengan kampung Bharu bahkan kerajaan negeri turut mempunyai aset di kawasan berkenaan yang telah dibangunkan beberpa projek perumahan.


katanya, tanah seluas 90 hektar yang ditadbir oleh Lembaga Malay Agriculture Settlement (MAS) masih terikat dengan undang-undang kerjaan negeri Selangor Bil 20 bertarikh 12 Januari 1900 di bawah seksyen 6, Enakmen Tanah 1897.


"Menurut enakmen berkenaan, Kampung Bharu yang ditibuhkan secara rasmi pada tahun 1899 adalah sebahagian dari Wilayah Selangor dan diisytiharkan sebagai tanah rezab melayu,: katanya.


katanya lagi, satu pertemuan akan diadakan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk AB Hakim Borhan bagi memperjelaskan isu tersebut agar beliau dapat berkongsi pandangan dan dapat diselesaikan secara telus tanpa merugikan mana-mana pihak.


"Saya tidak menolak bantuan daripada DBKL dan kita tetap ingin bekerjasama dengan mereka, saya hormati hak dan sumbangan mereka, apa yang ingin diselesaikan ialah masalah lama termasuk aspek perundangan yang menjadi batu penghalang kepada pembangunan Kampung Bharu," katanya.

05 Ogos 2008

Tiada unsur politik bantuan MB Selangor kepada Kampung Baru

Oleh Saidah Hairan dan Roy Rasul



KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Hrkh) - Kerajaan negeri Selangor bersedia membantu masyarakat Melayu di Kampung Baru menikmati pembangunan tanpa mengenepikan hak mereka.
Merujuk Draf Pelan Kuala Lumpur 2020, wujud cadangan pengambil alih tanah di kampung Baru yang mendapat pelbagai reaksi daripada penduduk, tidak kurang juga yang membantah.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meluangkan masa hampir dua jam dalam dialog bersama penduduk Kampung Baru mengenai ‘Masa Depan Kampung Baru Bersama Selangor atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur’ di Kelab Sultan Sulaiman, di sini.
Dalam ucapannya, beliau menjamin Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui Unit Perancangan akan membantu Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’Lo’ Mohamad Ghazali untuk membuat kajian dan cadangan melaksanakan pembangunan di Kampung Baru.
Katanya, kajian itu penting bagi membolehkan jawatankuasa yang ditubuhkan menjelaskan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur berhubung cadangan dan kehendak masyarakat Kampung Baru.
Beliau berharap Datuk Bandar mempunyai pandangan yang terbuka kerana kampung Baru merupakan satu kawasan yang unik daripada segi sejarah kerana tertakluk dalam undang-undang yang berkaitan dengan negeri Selangor.
“Bagi membantu memudahkan pelaksanaan ini, saya telah memberi kelulusan peruntukan tidak lebih RM50,000 untuk digunakan dalam kajian nanti,” katanya di hadapan anggota masyarakat Kampung Baru.
Penduduk yang hadir dalam majlis dialog itu bangga dengan keprihatinan Khalid kerana beliau merupakan Menteri Besar pertama yang datang ke kampung Baru mendengar masalah penduduk.
Menurut beliau, masyarakat Melayu berhak menikmati pembangunan dalam negara dan hak itu kekal dalam perlembagaan dan ordinan negeri Selangor.
Beliau mengingatkan semua penduduk perlu bekerjasama dengan Dr Lo’Lo’ bagi melicinkan tugas untuk menentukan penduduk Kampung Baru menikmati pembangunan.
Katanya, tindakan kerajaan negeri membantu menyelesaikan masalah Kampung Baru tiada kaitan dengan politik.
“Saya tidak mahu masalah penduduk Kampung Baru ini dipolitikkan, apa yang penting mereka perlu diberi sokongan kerana telah jauh ketinggalan dalam menikmati pembangunan,” katanya. - lanh

MB umum dana RM50,000 rangka pelan pembangunan Kampong Bharu


Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 sebagai dana bagi perancangan pelan pembangunan Kampong Bharu.
“Sekarang bukan lagi masa untuk kita bercakap, tapi kita perlu bekerja untuk menggerakkannya,” katanya dalam majlis dialog bersama penduduk Kampong Bharu di Kelab Sultan Sulaiman di sini.
Majlis dialog itu bertujuan bagi membantah pelan pembangunan Kampong Bharu yang dikemukakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Draf Pelan Kuala Lumpur 2020.
Khalid berkata khidmat pegawai perancangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan turut digunakan bagi membantu membuat perancangan kearah membangunkan Kampong Bharu yang akan diketuai oleh Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Ghazali.
“Saya mahu perkara ini disegerakan. Dalam tempoh dua minggu saya akan datang semula dan nak tengok perancangan yang dibuat.
“Kita mesti cari jalan (kaedah) dan buat perancangan rapi dengan mengambil kira pendapat golongan profesional,” katanya.
Tambah beliau soal berlainan fahaman politik tidak perlu menjadi halangan kerana apa yang penting buat masa ini ialah memfokuskan kepada pembangunan masyarakat Melayu di Kampong Bharu.
“Jangan politikkan isu pembangunan. Yang penting penduduk Kampong Bharu sendiri perlu bersatu bagi mencapainya,” katanya.
Dalam pada itu, rata-rata penduduk yang hadir menginginkan agar pelan pembangunan Kampong Bharu dibangunkan oleh kerajaan negeri Selangor dibawah anak syarikatnya seperti PKNS atau Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).
Namun katanya perkara itu bukanlah satu perkara yang terpenting buat masa ini.
“Perkara itu akan difikirkan, tapi itu bukanlah perkara yang terpenting. Yang penting sekarang ialah strategi untuk bangunkan kawasan ini,” katanya.
Beliau juga mahu Kampong Bharu yang berkeluasan keseluruhan 378.93 ekar dibangunkan seperti kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.
Menyedari Kampong Bharu sudah ketinggalan dari segi pembangunan, Khalid berharap agar Datuk Bandar DBKL, Datuk Abdul Hakim Borhan bersikap terbuka bagi mengadakan perbincangan dengan wakil penduduk untuk sama-sama menentukan mengenai masa depan kawasan itu.
Penduduk Kampung Bharu mempunyai tempoh kurang sebulan iaitu sehingga 31 Ogos ini bagi mengemukakan bantahan kepada DBKL mengenai draf tersebut.
Bagaimanapun Dr Lo’ Lo’ akan berjumpa dengan Datuk Bandar untuk mengemukakan permohonan agar tempoh bantahan itu dilanjutkan bagi memberi peluang penduduk kawasan itu mencapai kata sepakat.
Dr Lo’ Lo’ berkata beliau berharap Datuk Bandar bersedia untuk berbincang mengenai perkata tersebut untuk demi kepentingan masyarakat Melayu di Kampong Bharu.
“Kita akan hantar surat dan berjumpa sendiri dengan Datuk Bandar untuk berbincang mengenainya. Saya amat berharap agar kita akan diberi peluang,” katanya.
Beliau juga mencadangkan agar satu organisasi baru dibentuk bagi menggerakkan pelan pembangunan Kampong Bharu yang dianggotai oleh penduduk tempatan sendiri.
Ini juga selaras dengan permintaan penduduk kampung itu agar anak jati Kampong Bharu sendiri diberi peluang untuk membangunkan kawasan mereka tanpa penglibatan pihak luar.
“Saya cadangkan agar dibentuk satu organisasi yang dinamakan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB) bagi meneruskan usaha pembanguan kawasan ini,” katanya.
Beliau juga melahirkan rasa cemas apabila Menteri Besar Selangor memberi tempoh dua minggu kepadanya untuk menyelesaikan perancangan awal mengenai pembangunan Kampong Bharu.
“Saya cemas sekarang. Namun saya anggap ini sebagai satu amanah untuk kepentingan masyarakat,” katanya.


Pembangunan Kampung Baru Wajar Dilaksanakan Anak Jati - MB Selangor



KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) — Pembangunan Kampung Baru yang dirancang dalam Deraf Pelan Kuala Lumpur 2020 seharusnya dilaksanakan oleh anak jati penduduk kampung itu sendiri, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.
Khalid berkata pihaknya menerima pelbagai rungutan daripada penduduk kampung itu yang mahukan pembangunan diteruskan dengan hasil usaha mereka sendiri di samping membantah rancangan pengambilalihan tanah mereka seperti yang dicadang dalam pelan itu.
Katanya, penduduk Kampung Baru akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi merencana program pembangunan kampung itu.
“Kita akan membantu bagi menentukan Kampung Baru tidak terus terpinggir, dan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dana sebanyak RM50,000 akan disediakan bagi membuat kajian terhadap pembangunan di Kampung Baru,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Dialog Menteri Besar Selangor bersama penduduk Kampung Baru mengenai “Masa Depan Kampung Baru Bersama Selangor atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur” di Kelab Sultan Sulaiman di sini, Ahad.
Abd Khalid berkata tindakannya membantu pembangunan dan menyelesaikan permasalahan yang dialami penduduk kampung terbabit bukan bertujuan politik sebaliknya sebagai menjalankan tanggungjawab dalam memastikan kepentingan hak-hak orang Melayu dipelihara sekaligus menjadikan Kampung Baru sebagai satu kawasan membangun dalam bandar Kuala Lumpur.
“Saya tidak mahu dipolitikkan dalam usaha tersebut. Saya merasakan masyarakat Kampung Baru ini perlu diberi sokongan untuk usaha yang telah lama ketinggalan, penting bagi saya buat masa sekarang satu tugas kita untuk memberitahu DBKL bahawa pembangunan hartanah Kampung baru ini mesti difikirkan dan mengambil kira kehendak masyarakat kampung ini,” katanya.
Walaupun tanah-tanah Kampung Baru ditadbir urus Malay Agriculture Settlement (MAS), namun dari segi pelaksanaan dasarnya segala urusan diserahkan kepada DBKL, katanya.
Katanya mengikut perlembagaan MAS, Pengerusinya haruslah Menteri Besar Selangor sebagai wakil Kerajaan Selangor tetapi apa yang berlaku kini, pengerusinya adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur. Setakat ini pihaknya telah menerima sebanyak 50 draf bantahan terhadap cadangan pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan.
Sementara itu, Anggota Parlimen Titiwangsa Dr. Lo’lo Mohd Ghazali berkata beliau akan meminta pihak DBKL untuk melanjutkan tempoh masa pelaksanaan draf tersebut bagi membolehkan pasukan perunding mengkaji pelan pembangunan itu.
Dialog berkenaan dianjurkan oleh Dr Lolo bagi membuka ruang untuk semua pihak memahami status tanah, tanggungjawab dan hak mereka, khususnya dalam menimbangkan cadangan DBKL yang kini telah melancarkan Draf Pelan Kuala Lumpur 2020 untuk penilaian rakyat.
– BERNAMA

KLCP 2020: DBKL puas hati jumlah bantahan

LAPORAN UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 6 Julai - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berpuas hati dengan jumlah cadangan dan bantahan yang dikemukakan oleh warga kota terhadap Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCP) 2020, setakat ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Salleh Md. Yusof berkata, walaupun ada rungutan tentang kaedah mengisi borang bantahan tetapi ia tidak menjejaskan minat warga kota terhadap perkara itu.
"Kita berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh orang ramai terhadap KLCP 2020 dan sudah banyak pandangan yang dikumpulkan.
"Setakat ini saya masih belum mendapat data mengenai kesemua laporan yang dikemukakan namun difahamkan ia mendapat perhatian daripada warga Kuala Lumpur.
"Oleh itu, saya menyeru kepada sesiapa yang masih belum melihat pameran KLCP 2020 agar tampil mengkaji pelan tersebut supaya dapat bersama-sama berganding bahu perbaiki perancangan Kuala Lumpur untuk masa akan datang,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Keluarga dan Ekspo sempena Ulang Tahun ke-25 Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar di sini.
Salleh berkata, warga kota perlu memanfaatkan peluang untuk menyuarakan pandangan serta bantahan mereka terhadap KLCP 2020 sebelum tempoh bantahan ditutup pada 31 Ogos depan.
Katanya, bagi memudahkan orang ramai dan memastikan pandangan mereka diberi perhatian sewajarnya, mereka disyorkan melayari laman web DBKL untuk mengetahui cara-cara mengisi borang yang betul.
"Mereka juga boleh mendapatkan penerangan daripada petugas-petugas DBKL di kaunter pameran yang masih berlangsung di ruang lobi bangunan DBKL,'' katanya.
Beliau berkata, kaedah mengisi borang bantahan itu tidak sepatutnya menjadi masalah kerana pihak DBKL sudah 10 kali memberi taklimat kepada orang ramai mengenai perkara tersebut.
Mengenai isu Pasar Minggu Kampung Baru yang turut termasuk dalam KLCP 2020, Salleh berkata, penduduk dan peniaga yang terlibat telah ditawarkan untuk berpindah ke Projek Penempatan Rakyat (PPR) Semarak.
Katanya, kesemua peniaga terbabit akan diberikan pusat perniagaan sementara selama tiga hingga empat tahun di Kampung Baru sehingga pembangunan semula Pasar Minggu Kampung Baru selesai dibina.
"Apabila siap kelak, pihak DBKL akan bagi keutamaan kepada bekas peniaga Pasar Minggu untuk berniaga di situ.
"Usaha pemindahan ini penting kerana DBKL tidak mahu melihat tempat berkenaan kurang maju dan hilang ditelan masa,'' katanya.
Sementara itu, beliau memuji usaha yang dilakukan oleh pihak jawatankuasa kariah Masjid Saidina Abu Bakar kerana mengilhamkan program yang mampu menambahkan pendapatan masjid.
"Saya juga diberitahu bahawa ekspo ini juga bertujuan menyumbangkan dana kepada badan amal dan pembangunan masjid di Kampung Tuel, Gua Musang,'' katanya.
Bagi Salleh, usaha Masjid Saidina Abu Bakar itu adalah contoh bahawa masjid bukan sekadar tempat beribadat, malah pelbagai program kemasyarakatan boleh dianjurkan untuk mengeratkan hubungan silaturahim, di samping menjana tabung masjid.


** TIGA HINGGA EMPAT TAHUN. BUKAN KAH INI SATU JANGKA MASA YANG PANJANG UNTUK DILAKSANAKAN. BAGAIMANA PULA JIKA PROJEK INI TERBENGKALAI............. APAKAH JAMINAN KEPADA KAMI.

Pemilik jual tanah Kampung Baru dapat wang, saham

Oleh Hasnurul Mohamed, UTUSAN MALAYSIA 30-7-2008

KUALA LUMPUR 29 Julai - Penduduk Kampung Baru yang berhasrat untuk menjual tanah mereka akan menerima pampasan sebanyak 25 peratus secara tunai sementara 75 peratus lagi dalam bentuk saham.
Pengarah Eksekutif Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Datuk Mohamed Dahan Abdul Latif berkata, bayaran itu akan dilakukan oleh sebuah perbadanan khas yang ditubuhkan untuk menangani isu pembangunan Kampung Baru.
"Ini adalah bentuk pampasan yang difikirkan wajar oleh kerajaan untuk penduduk Kampung Baru yang berhasrat menjual hartanah milik mereka.
"Perkara ini ditimbulkan apabila kerajaan melihat tiada aktiviti pembangunan yang dijalankan di Kampung Baru selepas tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sidang akhbar mengenai Pameran dan Konvensyen Hartanah Bumiputera 2008 (KHB08) yang bakal diadakan bulan hadapan.
Sidang akhbar tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.
Konvensyen dan pameran selama dua hari bermula pada 10 Ogos dan berakhir pada 11 Ogos di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, bertemakan 'Ke Arah Peningkatan Dan Penyertaan Aktif Dalam Rantaian Nilai Industri Hartanah'.
Menurut Mohamed Dahan, kerajaan berpendapat, pembangunan perlu dilakukan di beberapa zon tertentu di Kampung Baru selepas mengambil kira faktor kedudukan kawasan tersebut yang terletak bersebelahan KLCC.
Katanya, masalah Kampung Baru dan penduduknya bukanlah satu isu baru.
Justeru, katanya, pembangunan mesti dilakukan mengikut satu pelan yang komprehensif dan diintegrasikan oleh kerajaan.
Beliau menambah, pembangunan mengikut pelan merangkumi kawasan komersial, kediaman dan perumahan, institusi, kawasan pelancongan, tanah lapang dan riadah dan infrastruktur seperti jalan raya dan sebagainya.
Katanya lagi, Gabem berminat untuk memajukan kawasan tersebut.


Syor tubuh jawatankuasa atasi masalah penduduk

KUALA LUMPUR 29 Julai - Kerajaan digesa menubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi menangani masalah pembangunan dan penduduk di Kampung Baru.
Presiden Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, pembangunan perlu dilaksanakan di kawasan tersebut kerana ia turut membawa imej orang-orang Melayu di dalam bandar.
"Kawasan Kampung Baru dianggarkan antara 80.93 hingga 101.17 hektar dan ia terletak bersebelahan dengan KLCC.
"Oleh itu, pembangunan perlu dilaksanakan di Kampung Baru yang mana ia kemungkinan boleh dikenali sebagai KLCC Fasa Kedua,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Pameran dan Konvensyen Hartanah Bumiputera 2008 (KHB08) di sini hari ini.
Katanya, cadangan pelan pembangunan Kampung Baru telah disediakan oleh Gabem dan dihantar kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) pertengahan tahun lalu.
Beliau berkata, bagaimanapun sehingga hari ini pihaknya masih belum menerima maklum balas ke atas cadangan yang dikemukakan.
Beliau menambah, adalah penting pucuk pimpinan membuat keputusan demi kebaikan semua pihak terutamanya pemilik tanah di Kampung Baru.
"Kita mahu mempertahankan hak orang Melayu dalam bandar.
"Justeru, susulan daripada Gabem menghantar pelan cadangan kepada JPM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan pun ada menghantar cadangan masing-masing untuk membangunkan Kampung Baru,'' katanya.
Sementara itu, Rahim memberitahu, KHB08 akan diadakan selama dua hari, bermula pada 10 Ogos dan berakhir 11 Ogos di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Beliau berkata, seramai 1,000 peserta dijangka menyertai KHB08 yang diadakan buat julung kalinya.

‘Siapa pun berhak beri pandangan’

HARIAN METRO

KUALA LUMPUR: “Dia atau sesiapapun berhak bagi pandangan,” kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab Hakim Borhan mengenai cadangan Menteri Besar Selangor supaya pembangunan Kampung Baru dilaksana anak jati kampung itu sendiri.Menurutnya, beliau tidak menghalang mana-mana pihak yang mahu memberi pandangan dan maklum balas berhubung pembangunan dirancang dalam Draf Pelan Kuala Lumpur 2020 kerana mereka berhak berbuat demikian sehingga tempohnya tamat.Katanya, sehingga 31 Ogos depan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih membuka peluang kepada penduduk, masyarakat setempat dan pihak berkaitan mengulas perancangan yang dibuat termasuk menyuarakan sokongan mahupun bantahan.“Sesiapa pun berhak beri pandangan tidak hanya penduduk yang terbabit tetapi pihak lain juga. Dan kami masih memberi peluang mereka menyuarakan pendapat sehingga tempoh tamat 31 Ogos ini dan semua pandangan diperdengarkan ke Jawatankuasa Mendengar,” katanya.

Anak jati bangun Kampung Baru

HARIAN METRO 5-8-2008

KUALA LUMPUR: “Pembangunan Kampung Baru yang dirancang dalam Draf Pelan Kuala Lumpur 2020 seharusnya dilaksanakan anak jati kampung itu sendiri,” kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Beliau berkata, pihaknya menerima pelbagai rungutan daripada penduduk kampung yang mahukan pembangunan diteruskan dengan hasil usaha mereka sendiri di samping membantah rancangan pengambilalihan tanah mereka seperti dicadang dalam pelan itu. Katanya, penduduk Kampung Baru akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi merencana program pembangunan kampung itu. “Kita akan membantu bagi menentukan Kampung Baru tidak terus terpinggir, dan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dana sebanyak RM50,000 akan disediakan bagi membuat kajian terhadap pembangunan di Kampung Baru,” katanya.

Sepakat tolak KLCP 2020

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI, UTUSAN MALAYSIA, 5/8/2008

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Penduduk Kampung Baru di sini sepakat untuk menolak Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (KLCP) 2020 yang dirangka dan kini dibuka untuk bantahan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Penduduk yang menghuni kawasan yang menjadi ikon penempatan orang Melayu di tengah ibu negara itu mendakwa hak mereka diketepikan oleh DBKL dalam merangka draf pelan tersebut.

GAMBAR KEMUDIAN DIMASUKKAN
PERTAHAN HAK... Salah seorang pemilik tanah di Kampung Baru menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 pada satu majlis pertemuan dan dialog yang diadakan di Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, kelmarin.


Kata sepakat itu dicapai dalam pertemuan yang dihadiri oleh kira-kira 200 pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru di sini semalam.
Pertemuan anjuran Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo’ Lo’ Mohd. Ghazali itu turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Dalam pertemuan yang berlangsung dalam suasana yang `panas’ itu, antara isu yang dibangkitkan semasa sesi dialog ialah mengenai status pemilik tanah Kampung Baru, Pasar Minggu yang akan ditutup oleh DBKL dan rasa ketidakpuasan hati penduduk terhadap DBKL terhadap isu tanah kawasan itu.
“Saya tidak mahu tanah di Kampung Baru diambil oleh DBKL kerana itu hak kami dan lambang orang Melayu. Saya tidak mahu tanah ini tergadai, saya sayang tanah saya.
“Apa gunanya status kami sebagai pemilik asal dan pewaris tanah di sini, kenapa tanah kami DBKL kacau dan mana hak kami sebagai pemilik,” luah seorang penduduk, Abd. Rahman Amin dalam sesi dialog itu.
Beliau juga tidak berpuas hati dengan cara penerangan oleh DBKL berhubung isu tanah Kampung Baru yang disifatkannya sebagai mengelirukan para penduduk Kampung Baru.
Katanya, penerangan yang diberikan tidak jelas menyebabkan penduduk keliru dan tidak faham tentang perkara yang hendak disampaikan oleh DBKL kepada mereka.
“DBKL bagaikan mahu menyisihkan hak kami sebagai pewaris dan pemilik tanah di Kampung Baru ini,’’ tambahnya dengan nada suara yang serius dan tinggi.
Kampung Baru yang terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur disifatkan sebagai kawasan segi tiga emas kerana tanahnya kini bernilai tinggi.
Namun, selain isu pemilikan individu dan pecahan lot yang kecil, terdapat beberapa masalah lain dalam membangunkan kawasan itu termasuk sebahagian kawasan itu adalah milik kerajaan negeri Selangor manakala sebahagian lagi di bawah seliaan DBKL.
Penduduk berkata, Kampung Baru merupakan tanah rizab Melayu mengikut Seksyen 6 Enakmen Tanah 1867 dan sehingga sekarang tidak pernah dimansuhkan.
“Pembangunan Kampung Baru perlu dibuat secara berperingkat-peringkat dengan mengekalkan budaya orang Melayu kerana kami tidak mahu terjadi seperti di Kampung Abdullah Hukum,” kata Shaharuddin Hamid pula.
Katanya, penduduk tidak mahu tanah mereka jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab kerana jika perkara itu berlaku dan dibiarkan berterusan tanpa dibendung, akhirnya semua tanah di situ akan tergadai begitu sahaja.
Dia yang mewakili generasi muda penduduk jati Kampung Baru itu berkata, pembangunan di Kampung Baru sangat diperlukan tetapi pelaksanannya perlu mengekalkan budaya Melayu supaya ia tidak lenyap ditelan masa dan pembangunan.
Sesi dialog yang berlangsung selama hampir tiga jam itu menjadi semakin panas apabila ramai penduduk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perancangan yang dicadangkan oleh DBKL menerusi KLCP 2020.
Isu penduduk Pasar Minggu Kampung Baru yang diarahkan oleh DBKL supaya berpindah turut menjadi isu hangat dalam sesi dialog itu.
Wakil peniaga Pasar Minggu itu, Rahman Omar berkata, DBKL mengarahkan penduduk pasar minggu itu berpindah dan pasar itu akan dihapuskan sedangkan tanah itu adalah milik kerajaan Selangor.
“Apa yang menjadi masalah di sini ialah mengapa DBKL hendak kacau kawasan itu yang bukan hak milik mereka,’’ katanya.
Sebelum ini, DBKL memberikan notis kedua kepada penghuni pasar minggu itu supaya meninggalkan premis mereka sebelum 20 Jun lalu atau tidak akan diberikan sebarang ganti rugi apabila operasi merobohkan dilaksanakan kelak.
Tambah Rahman lagi, para peniaga di situ akan kehilangan mata pencarian jika berpindah ke kawasan lain seperti yang diarahkan oleh DBKL.
Sementara itu, selepas mendengar pelbagai luahan rasa oleh penduduk Kampung Baru, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri akan membantu mereka menjalankan penyelidikan.
Katanya, penyelidikan yang akan dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dengan diketuai oleh Dr. Lo’ Lo’ itu penting untuk mendapatkan fakta sebenar tentang semua dakwaan penduduk.
“Kerajaan Selangor akan memperuntukkan sebanyak RM50,000 untuk kajian itu seterusnya membuat kertas cadangan bagi membantah Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020.
“Saya mahu jawatankuasa penyelidikan itu turut terdiri daripada pewaris dan pemilik tanah di Kampung Baru ini sendiri,’’ tambah beliau.

04 Ogos 2008

Restoran makanan Thai musnah dijilat api

laporan sinar harian

RESTORAN NAM KAM

KAMPUNG BARU - Seorang pemilik restoran makanan Thai mengalami kerugian hampir RM80,000 apabila restorannya musnah dijilat api dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di Jalan Raja Uda, di sini, petang semalam. Pemilik Restoran Nang Kam Seafood, Azizah Hassan, 43, berkata beliau menerima panggilan daripada penghantar sayur pada kira-kira jam 5.10 petang dan terus bergegas ke tempat kejadian. “Apabila sampai saya lihat restoran dan baSuis terbakar punca restoran hangusrang-barang termasuk bilik tidur pekerja terbakar dan tiada apa yang dapat diselamatkan lagi,” katanya kepada Sinar harian ketika ditemui di sini, semalam. Katanya, beliau sudah lebih tiga tahun berniaga di situ dan mempunyai 10 pekerja serta ketika kejadian, para pekerjanya sedang bersiap sedia untuk memulakan perniagaan. Sementara itu, Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Chow Kit, Abdul Rahman Abu Hasan berkata, seramai 30 anggota bomba dan penyelamat dari dua balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Chow Kit serta Jalan Hang Tuah dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang ramai jam 4.59 petang. “Lima jentera dikejarkan ke tempat kejadian dan pihak bomba sampai di tempat kejadian jam 5.07 petang serta mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal api yang sedang marak daripada merebak ke rumah yang terletak di bahagian belakang restoran ,” ujarnya.
Abdul Rahman berkata, berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pekerja restoran terbabit, kebakaran dipercayai berpunca daripada suis utama, bagaimanapun punca sebenar masih disiasat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

LAPORAN HARIAN METRO

Suis terbakar punca restoran hangus

KUALA LUMPUR: Sekumpulan pekerja sebuah restoran di Jalan Raja Uda, Kampung Baru di sini, bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila restoran itu terbakar, petang semalam.Kejadian jam 4.50 petang itu, dipercayai berpunca akibat kerosakan suis utama yang mengeluarkan api.Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Chow Kit, Abdul Rahman Abu Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.59 petang.“Sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian dan tiba sepuluh minit kemudian.

26 Julai 2008

DBKL perlu berseminar dengan penduduk - Nadzri

23/07/2008 UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 22 Julai - Penduduk Kampung Baru meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan satu lagi seminar khas bagi menerangkan pembangunan kampung tersebut untuk memberi gambaran lebih jelas kepada penduduk.
Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga dan Kebajikan Pasar Minggu Kampung Baru (PPKPM), Mohd. Nadzri Abd. Hamid, 35, berkata, seminar tersebut perlu diadakan memandangkan penduduk masih lagi kabur dengan rancangan pembangunan yang terdapat di dalam Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 Jilid 4: Kampung Baru.
Menurutnya, seminar tersebut hendaklah merangkumi penerangan tentang pembangunan keseluruhan Kampung Baru serta perbincangan mengenai masalah-masalah yang dihadapi penduduk.
"Taklimat yang diadakan pada hari ini dilihat tidak mencapai objektifnya apabila DBKL hanya menerangkan pembangunan tersebut secara keseluruhan serta menyebut beberapa akta yang membuatkan penduduk tidak senang duduk.
"Ini kerana, akta-akta berkenaan seolah-olah mahu mengambil tanah kami tanpa persetujuan.
"Justeru, saya amat berharap DBKL dapat mengadakan satu lagi seminar untuk penduduk Kampung Baru bagi memperjelaskan perancangan yang akan dilaksanakan oleh DBKL," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Taklimat Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 Jilid 4: Kampung Baru, di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.
Taklimat tersebut dianjurkan oleh DBKL dan dihadiri lebih 250 penduduk Kampung Baru yang terlibat dengan pembangunan yang akan dilaksanakan.
Taklimat yang berlangsung selama hampir empat jam itu turut menjadi 'panas' apabila sebahagian penduduk berkenaan tidak berpuas hati dengan perancangan draf pelan berkenaan.
Penduduk mendakwa, taklimat berkenaan hanya membuang masa mereka kerana mendengar penerangan DBKL yang sukar difahami memandangkan tiada rujukan yang diberikan.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pembangunan Kampung Baru, Mohd. Yusuf Ismail berkata, sepatutnya penduduk perlu memahami dengan teliti tentang hasrat kerajaan untuk membangunkan Kampung Baru bagi meningkatkan ekonomi penduduk.
Menurutnya, dia mencadangkan supaya seminar tersebut diadakan sekali lagi dan kali ini perlu disertai pakar-pakar khas untuk membincangkan tentang kawasan- kawasan pembangunan di kampung berkenaan.

Bangunkan Kampung Baru

23/07/2008 Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI UTUSAN MALAYSIA


KUALA LUMPUR 22 Julai - Seorang pakar hartanah hari ini mendakwa kerajaan berhak mengambil dan memajukan tanah di kawasan Kampung Baru bagi memperkasakan pembangunan ekonomi penduduk di kawasan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Big Property Consultants Sdn. Bhd., Profesor Datuk Dr. Nik Mohd. Zain Nik Yusof berkata, ia dapat dilaksanakan dengan mengikut akta yang telah ditetapkan sekiranya penduduk tidak dapat memberi kerjasama kepada kerajaan untuk membangunkan kawasan itu.
Menurutnya, Akta Pengambilan Tanah 1960, Seksyen 3(1)(b) membolehkan mana-mana individu, syarikat atau perbadanan memohon kepada Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan untuk mengambil tanah tersebut sekiranya mereka penduduk Kampung Baru tidak mampu untuk membangunkan tanah itu.
Ujarnya, jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan di mana menteri diberi kuasa untuk mengambil tanah berkenaan.
Bagaimanapun, tegasnya, ia haruslah mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri.
"Penduduk Kampung Baru perlu mengambil tahu tentang akta ini memandangkan ia boleh digunakan untuk tanah persendirian seperti tanah mereka ini.
"Bagaimanapun, ia hanya akan digunakan sekiranya pembangunan yang akan dilaksanakan tidak dapat siap dalam tempoh yang telah ditetapkan.
"Walaupun begitu, penduduk Kampung Bharu tidak perlu bimbang kerana mereka tidak akan kehilangan nilai hak milik tanah tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Taklimat Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 Jilid 4: Kampung Baru di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.
Tambahnya, melalui akta tersebut kerajaan boleh mengadakan perundingan dengan pemilik tanah bagi tujuan pembayaran pampasan.
Ini kerana ujarnya, kerajaan tidak perlu membayar nilai tunai kepada penduduk tetapi boleh memberi pampasan secara penukaran kepada kebendaan atau hak milik yang lebih menguntungkan penduduk.
Terhad"Mengikut undang-undang terdahulu, tanah ini tidak boleh dijual kepada bukan Melayu, oleh yang demikian harga tanah ini akan dijual murah memandangkan ia akan dijual kepada kaum Melayu dan pasarannya terhad.
"Walaupun begitu, ia akan dijual mengikut harga pasaran dan pemilik tanah tidak perlu bimbang.
"Bagaimanapun, sekiranya pemilik tanah tidak bersetuju mereka boleh membuat rayuan di mahkamah tinggi," jelasnya.
Taklimat tersebut dianjurkan oleh DBKL bagi memberi maklumat kepada lebih 250 penduduk Kampung Baru tentang pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Taklimat yang berlangsung selama hampir empat jam itu turut menjadi 'panas' apabila sebahagian penduduk tidak berpuas hati dengan perancangan draf pelan berkenaan.
Bagaimanapun, kejadian tersebut dapat dikawal oleh beberapa penduduk termasuk Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo'Lo' Mohd. Ghazali yang menasihatkan agar penduduk mendengar taklimat yang dijalankan terlebih dahulu.
Keadaan kembali 'panas' apabila tiba sesi soal jawab apabila kebanyakan penduduk mengutarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap DBKL yang menjalankan pembangunan tanpa persetujuan penduduk berkenaan.
Sementara itu, Dr. Lo'Lo' berkata, Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 adalah inisiatif yang baik untuk pembangunan bandar raya Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, ujarnya, draf pelan tersebut hanyalah sekadar satu cadangan awal dan tidak semestinya akan dilaksanakan.
Justeru, tegasnya, sekiranya penduduk tidak berpuas hati dengan pelan tersebut, mereka boleh membuat bantahan kepada DBKL sebelum 31 Ogos ini.
"Sekiranya draf pelan ini tidak dilaksanakan, sampai bila-bila pun Kampung Baru tidak akan maju.
"Oleh itu, sekiranya penduduk membantah sebarang pelan tersebut, mereka perlu melakukannya secara bertulis dan bukannya bertikam lidah seperti ini.
"Bagaimanapun, DBKL juga perlu memberi jaminan bahawa projek-projek yang akan dijalankan ini tidak akan terbengkalai dan sekiranya berlaku masalah tersebut kerajaan perlu membela nasib penduduk berkenaan," tegasnya.

24 Julai 2008

Sentral: Warga Kampung Baru minta dialog sekali lagi

Oleh Khairunnisa Kamarudin, Berita Harian, khamis, 24 Julai 2008 m/s 42 (sentral)


khairunnisa@bharian.com.my




PENJELASAN: Razak (kiri) meluahkan pandangan beliau pada sesi soal jawab selepas pembentangan Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 oleh Nur Azizi di Dewan DBKL, semalam. - Bernama


Syor letak buku DPBKL 2020 di lokasi tumpuan ramai

KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Baru, di sini, meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan pertemuan semula dengan penduduk berhubung cadangan pembangunan di kawasan itu kerana pertemuan yang diadakan kelmarin masih belum menjawab banyak persoalan yang diajukan. Penduduk juga mendakwa mereka masih kabur dengan dengan penjelasan yang diberikan pada sesi taklimat Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (DPBKL 2020).


KUSYUK: Warga emas Kampung Baru yang hadir pada majlis pembentangan Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020.


Timbalan Yang Dipertua Pasar Minggu Kampung Baru, Mohd Nazri Abdul Hamid, berkata penjelasan yang diberikan pada sesi taklimat itu tidak menyeluruh dan sukar difahami kebanyakan penduduk yang hadir. "Saya rasa DBKL harus mengadakan sesi seminar dan menyediakan penerangan terperinci mengenai pembangunan yang bakal dijalankan bagi mengelakkan kekeliruan seperti yang berlaku pada sesi ini.

"Apa yang penting, pegawai yang ada perlu menjawab soalan berkaitan isu pembangunan di kawasan kami dengan lebih mendalam. Sesi kali ini pada saya gagal mencapai objektifnya dalam menerangkan mengenai draf itu secara mendalam kepada mereka yang hadir," katanya.

Kira-kira 250 penduduk, penjaja dan peniaga di sekitar Kampung Baru menghadiri sesi itu yang dipengerusikan Timbalan Pengarah Jabatan Pelan Induk DBKL, Nur Azizi Mokhtar.

Sesi itu hangat dengan pelbagai soalan berkaitan isu pembangunan Kampung Baru kerana mereka yang hadir tidak berpuas hati dengan pengurusan DBKL yang disifatkan tidak mementingkan keperluan penduduk selain isu berkaitan harga tanah.

Selain itu mereka juga tidak berpuas hati dengan sesi soal jawab yang tidak memberikan penjelasan sepenuhnya kepada setiap soalan yang dikemukakan serta kegagalan DBKL menyediakan naskhah DPBKL 2020 secara percuma bagi tujuan rujukan. Penduduk, Razak Karim, 57 berkata, beliau berharap DBKL dapat menyediakan buku DPBKL 2020 untuk diletakkan di kawasan strategik seperti di balai raya bagi memudahkan penduduk memahami projek yang bakal dijalankan.

"Buku berkenaan sangat mahal dan DBKL sepatutnya memberikan naskhah percuma supaya penduduk dapat penjelasan terperinci mengenai sesuatu projek yang akan dijalankan. "Saya masih kabur dengan penjelasan yang diberikan DBKL dalam taklimat ini kerana kami tidak diberikan sebarang kertas kerja atau pelan seperti yang terkandung di dalam buku DPBKL 2020 itu," katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah Eksekutif BIG Property Consultant Sdn Bhd, jururunding yang dilantik bagi merangka pelan pembangunan Kampung Baru, Prof Datuk Nik Mohd Zain Nik Yusof, berkata masalah utama yang dihadapi dalam pembangunan Kampung Baru adalah mendapatkan persetujuan pemilik sekiranya tanah diambil menerusi kaedah biasa untuk dibangunkan. Katanya, sebagai contoh ada lot tanah yang mempunyai 90 penama dengan sembilan orang sudah meninggal dunia. "Kalau ikut cara biasa kita kena jumpa satu demi satu pemilik ini untuk dapatkan persetujuan termasuk waris kepada pemilik yang telah meninggal dunia," katanya.

Nik Mohd Zain berkata, sebagai langkah terakhir, pihak berkuasa mungkin terpaksa menggunakan Seksyen 3 (1) (d) Akta Pengambilan Tanah 1960 di mana mengikut akta itu, pihak berkuasa boleh mengambil-alih tanah tanpa persetujuan pemilik. "Mengikut akta itu, tanah yang diambil akan dibayar mengikut harga pasaran dan sekiranya pemilik tidak bersetuju kes boleh dirujuk ke Mahkamah Tinggi," katanya.

Nur Azizi bagaimanapun berkata, perkara itu sekadar cadangan daripada syarikat juru runding itu. Katanya, cadangan pembangunan yang terdapat pada draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 masih di peringkat bantahan awam dan orang ramai yang mempunyai pandangan atau bantahan masih boleh mengemukakannya secara bertulis kepada DBKL.

RAMAI PENAMA SUKAR USAHA BANGUNKAN KAMPUNG BARU

Laporan Akhbar Sinar Harian, 24 Julai 2008, m/s S2.

KUALA LUMPUR: Status tanah di Kampung Baru di sini yang mempunyai ramai penama menyukarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membangunkan kawasan itu mengikut kaedah biasa, kata seorang pegawai syarikat jururunding. Ketua Pengarah Eksekutif BIG Property Consultant Sdn Bhd. Prof Datuk Nik Mohd Zain Nik Yusof berkata, masalah utama yang dihadapi dalam Pembangunan Kampung Baru adalah untuk mendapatkan persetujuan pemilik sekiranya tanah diambilmenerusi kaedah biasauntuk dibangunkan.
"Sebagai contah, ada satu lot tanah yang mempunyai 90 penama dengan sembilan orang telah meninggal dunia. Kalau ikut cara biasa kita kena jumpa satu demi satu pemilik ini untuk mendapatkan persetujuan termasuk waris kepada pemilik yang telah meninggal dunia," katanay dalam majlis taklimat Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 mengenai Kampung Baru.

BIG Property Cunsultant merupakan syarikat jururunding yang dilantik bagi merangka pelan pembangunan Kampung Baru. Nik Mohd Zain berkata, kebanyakkan tanah di Kampung Barurata-rata mempunyai antara 8 dan 30 penama dan ini menyukarkan proses pengambilan tanah kerana urusan pembelian tanah perlu mendapat persetujuan semua pemilik. Beliau berkata, sebagai langkah terakhir, pihak berkuasa mungkin terpaksa menggunakan Seksyen 3(1) (d) Akta Pengambilan Tanah 1960 di mana mengikut akta itu, pihak berkuasa boleh mengambilalih tanah tanpa persetujuan pemilik.

Menurut akta itu, katanay, tanah yang diambil akan dibayar mengikut harga pasaran dan sekiranya pemilik tidak bersetuju kes boleh dirujuk ke Mahkamah Tinggi. Timbalan Pengarah Jabatan Pelan Induk DBKL, Norazizi Mokhtar bagaimanapun berkata, perkara itu sebagai cadangan daripada syarikat konsultant yang dilantik.

Beliau berkata, draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang turut merangkumi kampung Baru masih diperingkat bantahan awam dan orang ramai yang mempunyai sebarang pandangan atau bantahan berhubung draf berkenaan masih boleh lagi mengemukankannya secara bertulis kepada DBKL.- BERNAMA

"SEBUAH PERBADANAN YANG DIANGGOTAI PERSATUAN PENDUDUK DIWUJUDKAN UNTUK MELAKSANAKAN PROJEK PEMBANGUNAN KAMPUNG BARU MEMANDANGKAN MEREKA LEBIH MEMAHAMI KEHENDAK PENDUDUK SETEMPAT:

- AHLI PARLIMEN TITIWANGSA, DR LO'LO' MOHD GHAZALI-

23 Julai 2008

DBKL CADANG GUNA AKTA JIKA PENDUDUK ENGGAN SERAH TANAH

Laporan Harian Metro, Rabu, 23 Julai 2008 m/s 2 colum setempat

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menggunakan Seksyen 3 (1) (B) Akta Pengambilan Tanah 1960, kerana terdapat sebahagian pemilik tanah di Kampung Baru di sini, mempunyai sehingga 90 penama di atas satu lot menyebabkan projek pembangunan yang dirancang sering tertangguh sehingga kini.

Bagaimanapun, cadangan itu belum diputuskan sehingga Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 (DPBKL 2020) yang akan dilaksanakan mendapat persetujuan semua pihak. Timbalan Pengarah Jabatan Pelan Induk DBKL, Nurazizi Mokhtar, berkata perkara itu masih dalam peringkat cadangan daripada syarikat perunding yang dilantik pihak berkuasa tempatan itu (PBT) bagi memastikan projek pembangunan berjalan dengan lancar.

"DPBKL 2020 yang merangkumi Kampung Baru masih diperingkat bantahan awam dan orang ramai yang mempunyai sebarang pandangan atau bantahan berhubung draf berkenaan masih boleh mengemukakan secara bertulis kepada DBKL", katanya ketika memberi taklimat DPBKL 2020 Jilid 4 di sini, semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Ttiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif BIG Property Consultans Sdn Bhd merangkap Perunding DBKL, Prof Datuk Dr Nik Zain Nik Yusof.

Nik Mohd Zain berkata, penduduk masih boleh mengemukakan bantahan dan cadangan bagi memastikan projek yang akan dilaksanakan memuaskan dan berjaya. "Kami yang dilantik DBKL mencadangkan untuk menggunakan Seksyen 3 (1) (B) Akta Pengambilan Tanah 1960 sekiranya penduduk enggan menyerahkan tanah mereka. Ini satu daripada cadangan sekjiranya cara lain tidak berjaya. "Ia tidak merugikan tuan tanah, malah menguntungkan mereka... kalau bayar tunai sekejap saja duit habis, kalau bagi dalam bentuk hartanah, ia boleh disimpan," katanya.

Beliau berkata, masalah utama yang dihadapi dalam pembangunan Kampung Baru adalah untuk mendapatkan persetujuan pemilik sekiranya tanah diambil mengikut kaedah biasa untuk membangunkan kawasan berkenaan. "Sebagai contoh, ada satu lot tanah yang sehingga 90 penama dengan sembilan orang sudah meninggal dunia. Kalau ikit cara biasa kita kena jumpa satu demi satu untuk mendapatkan persetujuan termasuk waris kepada pemilik yang meninggal dunia.

Setiausaha Persatuan Pembangunan Kampung Baru, Abdul Rahman Mohd Amin, berkata pihaknya tiada masalah dengan perancangan pembangunan Kampung Baru seperti yang terkandung dalam DPBKL 2020.
"Segala yang terkandung pada draf berkenaan hampir sama dengan apa yang pernah dikemukan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sebelum ini," katanya.

12 Julai 2008

CERITA, SEJARAH, KISAH PASAR MINGGU KG. BARU

SATU ARTIKEL BERKAITAN PASAR MINGGU KELUAR DIAKHBAR TABLOID BERBAHASA INGLISH, THE CRITERIA, KOLUM FEATURE STORY, PAGE 16, ISSUE 4-10 JULY 2008.

THE HEART OF KAMPONG BARU IN THE HEART OF KL. PART 1

DAPATKAN ISSUE ANDA SEKARANG DI PASARAN.................. THE CRITERIA

09 Julai 2008

PUSAT PENJAJA SEMENTARA

DBKL SEWA TANAH SEDIA KEMUDAHAN DI KAMPUNG BARU

LAPORAN OLEH Sharifah Salwa Syed Akil
bhnews@bharian.com.my
Berita Harian Selasa 8 Julai 2008


KUALA LUMPUR: Sebuah pusat penjaja sementara akan dibina di Kampung baru untuk menempatkan peniaga Kampung Pasar Minggu, Kampung Baru sebelum projek pembangunan yang dicadangkan di kawasan itu siap dibina. Ketua Pengarah BDKL, Datuk Salleh Yusuf berkata, pihaknya menyewa sebidang tanah untuk pembinaan pusat penjaja semetara yang dijangka siap dalam tempoh terdekat ini. "Selain itu, mereka pada dasarnya bersetuju berpindah ke penempatan baru di PPR Seri Semarak dan serahkan pada mereka bila masa berpindah kesana. Sehingga kini unit kediaman masih kosong kerana dikhaskan untuk mereka," katanya selepas merasmikan sambutan 25 tahun penubuhan Masjid Saidina Abu Bakar Al-Siddiq, Bangsar.
Salleh berkata, pihaknya sudah berterus terang dengan peniaga terbabit dan kebanyakkanya memahami apa yang mahu disampaikan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu. " Seperti yang kita tegaskan sebelum ini sebarang pembangunan kawasan mereka kita akan babitkan mereka semua. Apabila siap kelak, mereka akan diberi keutamaan samaada untuk membeli unit perniagaan atau kediaman ditapak asal.
"Jadi, sepatutnya mereka tidak bimbang mengenainya. Jika mereka tidak mempercayai kita (DBKL) siapa lagi yang boleh mereka percayai. Kita yang berjanji dan pastikan yang kita akan tunaikan," katanya. Semetara itu, pelbagai program diadakan sempena sambutan 25 tahun penubuhan masjid itu antaranya pembukaan gerai jualan termasuk pakaian, makanan dan barangan keperluan, pameran, pemeriksaan kesihatan percuma dan pemeriksaan rawatan Islam. Program sehari itu turut dimeriahkan pelbagai persembahan pentas seperti nasyid, berzanji, pertandingan azan selain gubahan bunga dan sepak takraw yang pastinya mendapat sambutan menggalakkan.
Pengerusi Masjid, Datuk Nik Farid Nik Mohammad Kamil berkata, selain acara berkenaan, pihaknya turut mengadakan aktiviti lain termasuk Majlis Makan Malam Kebajikan, Pertandingan golf dan forum perdana.

02 Julai 2008

PPKPM Perjuang Hak Peniaga

Laporan Sinar Harian (Rabu 2 julai 2008)
Oleh: Asmaliza Mansor

KAMPUNG BARU - Persatuan Peniaga dan Kebajikan Pasar Minggu (PPKPM) meminta agar pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan hak yang sewajarnya kepada Pemilik Kedai dan Gerai di Pasar Minggu Kampung Baru.

Menurut Yang Dipertua PPKPM, Dr. Hosni Hussen Md Saat, peniaga disitu tidak menyatakan bahawa tanah itu milik mereka, tetapi mereka telah diberikan pemilikan kedai dan gerai.
Justeru katanya, peniaga berhak mendapatkan hak mereka setelah lebih 20 tahun menunggu dan PPKPM juga sudah menghantar memorundum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya pada 20 Jun lalu untuk beliau meneliti membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

"Sebelum ini kami telah diberikan notis oleh DBKL untuk mengosongkan premis perniagaan kerana pihak tersebut mendakwa tanah Pasar Minggu adalah miliknya, tetapi mengikut rekod masih masih menjadi milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
DBKL gagal mengemukankan sebarang bukti pembelian tanah yang didakwa telah berlaku pada tahun 1992," katanya ketika ditemui selepas Taklimat dan Bancian Pemilik Kedai dan Gerai Pasar Minggu yang diadakan Ahad lalu.

Dr. Hosni berkata PPKPM inginkan situasi menang-menang dan mereka bukan setinggan tetapi pemindahan Pekan Ahad, Jalan perkins serta mereka juga tidak menetang sebarang pembangunan yang ingin dijalankan oleh DBKL ke atas Pasar Minggu tersebut.

PPKPM juga telah melantik peguam dan menghantar writ saman menghalang DBKL melakukan sebarang tindakan terhadap Pasar Minggu Kampung Baru dan melaui perbincangan dengan Ketua Pengarah DBKL, peniaga yang telibat telah dijanjikan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada yang layak.

"Kami minta DBKL berikan keutamaan kepada peniaga asal dan diberikan penempatan perniagaan sementara serta dipindahkan semulka disini apabila pembangunan yang dirancang telah siap dengan kadar sewa yang istimewa kerana kami merupakan peniaga asal di pasar minggu ini," jukatnya.

Tambahnya, pasar minggu tersebut sangat terkenal sebagai "Malay Town" dan pemilik serta penyewa harus mempertahankan, memperjuang dan bertanggungjawab terhadap hak masing-masing.

Beliau berkata, taklimat yang diadakan adalah bertujuan untuk menjelaskan kepada pemilik dan penyewa di pasar minggu itu mengenai kedudukan terkini pembangunannya. Katanya, selain daripada itu bancian pemilikan dan penduduk kedai dan gerai dilakukan untuk menyelesaikankan isu pemilikan Lot 25, Gerai Mara dan Gerai 100 tahun dan lain-lain serta menghantar senarai terkini yang lengkap kepada pihak DBKL.

"Saya berharap pemilik dan penyewa akan bersatu dan datang taklimat yang diadakan oleh persatuan pada setiap minggu supaya masalah ini akan segera diselesaikan," tegasnya.

19 Jun 2008

DBKL MAHU BINA PUSAT PERNIAGAAN SEMENTARA

APA RASIONALNYA JIKA DBKL MEMBINA PUSAT PERNIAGAAN SEMENTARA UNTUK PENIAGA PASAR MINGGU. JIKA PUSAT INI TIDAK SEPERTI YANG DIHARAPKAN UNTUK MEMBERI KEUNTUNGAN KEPADA PENIAGA. ADAKAH TEMPAT YANG DISEDIAKAN AKAN MEMBERI KEUNTUNGAN KEPADA PENIAGA?? BAGAIMANA PULA DENGAN KOS SEWAAN, KEMUDAHAN PENGUNJUNG, TEMPAT LETAK KERETA DAN YANG PALING PENTING ADAKAH TEMPAT ITU STRATEGIK UNTUK MENJALANKAN PERNIAGAAN.

SEMUA UMUM TAHU BAHAWA PADA PENGHUJUNG TAHUN LALU DBKL TELAH MEMINDAHKAN PENIAGA YANG BERNIAGA DIBAHU JALAN SEKITAR JALAN RAJA MUDA MUSA DAN JALAN RAJA ALANG DI MEDAN SELERA DAMAI JALAN BATU-BATA. BAGAIMANAKAH MEREKA BERNIAGA SEKARANG?? ADAKAH KESELURUHAN KEDAI TERSEBUT DIBUKA SEPERTI BIASA?? BAGAIMANA DENGAN PENGUNJUNG PULA?? SEPERTI YANG DIHARAPKAN??

SAYA ADA MENGUNJUNGI MEDAN DAMAI TERSEBUT. TAPI AMAT MENGECEWAKAN KERANA TIDAK RAMAI YANG MENJALANKAN PERNIAGAAN. APAKAH INI YANG DIKEHENDAKI OLEH PIHAK DBKL DALAM MEMBANTU RAKYAT UNTUK MENINGKATKAN EKONOMI.

SUDAH BEBERAPA KALI ISU BERKAITAN KETIDAK PUASAN PENIAGA MEDAN DAMAI KELUAR DI AKHBAR. APAKAH DBKL JUGA INGIN MENJADIKAN PENIAGA PASAR MINGGU JUGA MENGALAMI NASIB YANG SAMA SEPERTI PENIAGA DI MEDAN SELERA DAMAI BATU-BATA.
BERSAMA RENUNGKANYA

IKUTI LAPORAN MALAYSIAKINI
http://www.malaysiakini.com/news/84704

JIKA PENIAGA DIPINDAHKAN ATAS DASAR PEMBANGUNAN ADAKAH PENDUDUK PERLU MEMBAYAR SEWA KEATAS RUMAH YANG DIDUDUKI?? TIADAKAH PAMPASAN YANG SETIMPAL UNTUK KAMI.
SEPATUTUNYA DBKL JUGA HARUS DATANG BERJUMPA PENIAGA DAN PENDUDUK PASAR MINGGU DI PASAR MINGGU KAMPUNG BARU UNTUK BERBINCANGKAN ISU INI.