05 Februari 2009

KAMPUNG BARU : TRANSFORMASI JIWA DAN WAJAH... bhg 6

Oleh Rohana Mustaffa
Bahagian Akhir daripada 6 siri Rencana Kampung Baru
KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Kampung Baru akan mengalami transformasi jiwa dan wajahnya menjelang tahun 2020, sekiranya sebuah draf pelan ibu kota diterima sepenuhnya terutama oleh warga kampung ini.Ketika itu Kuala Lumpur akan muncul menjadi bandar raya bertaraf dunia manakala Kampung Baru pula diangkat martabatnya menerusi pembangunan yang berstrukturkan zon dengan kewujudan 16 presint di atas tanahnya seluas 378.93 ekar (151.57 hektar)Keluasan ini mengikut ukuran Kampung Baru di bawah kawasan Malay Agriculture Settlement (Petempatan Pertanian Melayu) (MAS) yang merangkumi Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampoung Hujung Pasir, Kampung Paya dan Kampung Pindah seluas 225.89 ekar (90.35 hektar).Seluas 153.04 ekar (61.21 hektar) lagi ialah kawasan di luar MAS terdiri daripada kawasan Chow Kit, Dang Wangi dan Jalan Sultan Ismail (dulunya terdapat beberapa buah kampung setinggan), Kampung Sungai Baru dan Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Kampung Baru di dalam peta Kuala Lumpur terletak di bahagian utara pusat bandar, disempadani Jalan Raja Muda Abdul Aziz di utara, Jalan Tun Razak di timur, Jalan Dang Wangi, Lebuh raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh) dan Sungai Kelang di selatan dan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sebelah barat.Sekiranya Draf Kuala Lumpur Pelan Dewan Bandaraya 2020 diterima secara keseluruhannya, Kampung Baru akan berubah wajah kepada, sebagai contoh Presint A di mana Pasar Minggu Kampung Baru bersama stesten LRT Kampung Baru akan dimajukan sebagai pusat pengumpulan, pemasaran serta pameran kebudayaan dan seni dengan kewujudan kemudahan laluan kaki bernama Kampung Baru Walk.
KEWUJUDAN ZON PEMBANGUNAN
Jalan Raja Abdullah yang akan bernama Presint B, akan dizonkan sebagai Laluan Korporat atau Corporate Street, Jalan Raja Alang yang mempopularkan Bazar Ramadan akan dikekalkan tetapi dengan nama barunya Laluan Bazar atau Bazaar Street di Presint P.Draf itu juga mencadangkan supaya Jalan Raja Bot sebagai Presint H akan menjadi pasar seni bersempadan dengan Presint G atau Hab Perubatan yang merangkumi Hospital Kuala Lumpur, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu UKM dan Pusat Penyelidikan Perubatan (IMR) yang sedia ada.Deretan kedai lama di Jalan Dang Wangi (dahulunya Jalan Campbell) akan menjadi Presint Warisan K, sementara Jalan Raja Uda yang mempunyai bilangan besar rumah kampung, akan menjadi kawasan kediaman dan komersil yang dinamakan Presint F, manakala Presint J pula adalah pusat perbankan Islam di persimpangan Jalan Sultan Ismail dan Jalan Raja Abdullah yang sudah wujud beberapa buah bank di situ.
Jalan Raja Muda Abdul Aziz yang kini merupakan pusat perniagaan usahawan Melayu dalam industri kereta motor akan bergelar Autocity Mall yang terdiri daripada pelbagai pusat jualan dan pameran automobil serta pusat aksesori kenderaan.DBKL menerusi draf itu mencadangkan supaya semua kawasan dalam kawasan operasinya dilibatkan dalam rancangan pembangunan untuk menyediakan peluang dan kemudahan sama rata kepada penduduknya yang dijangka mencapai 2.2 juta.Setiap kawasan mempunyai kategorinya dan DBKL menetapkan bahawa perlu wujud kawasan-kawasan khusus yang memerlukan perhatian dari segi pelaksanaan perancangan pembangunannya disebabkan sudah ketinggalan dan dikaitkan dengan masalah pembangunan yang kompleks, kemiskinan, persekitaran hidup yang kurang sihat dan infrastruktur yang tidak mencukupi.Menurut draf Kuala Lumpur 2020 itu, Kampung Baru akan berperanan sebagai penghubung kebudayaan dan komersil penting di antara bahagian utara, barat dan timur pusat bandar raya.
KORIDOR HIJAU AKAN MUNCUL DI KAMPUNG BARU
Kampung Baru juga akan terlibat dalam pembangunan koridor hijau yang menghubungkan Presint Kebudayaan di sepanjang Jalan Tun Razak dan Taman Tasik Titiwangsa dengan menggunakan Sungai Bunus sebagai kawasan lapang berjajar.Mengikut pelan struktur itu, kawalan ketinggian bangunan akan dikenakan di kawasan ini dalam usaha mengekalkan koridor visual dari Taman Tasik Titiwangsa ke Menara Kembar Petronas Kuala Lumpur.Kampung ini juga akan dibangunkan sebagai pemangkin kepada kewujudan satu Koridor Kebudayaan yang menghubungkan presint kebudayaan di Jalan Tun Razak dan Jalan Conlay dengan presint membeli belah di KLCC dan Chow Kit.Kampung Baru, satu-satunya kampung rizab Melayu di tengah-tengah bandar raya, merupakan antara enam kawasan khusus yang ketinggalan dalam pembangunan, dan akan diberi perhatian dari segi pelaksanaan perancangannya oleh DBKL.
Daripada enam kawasan itu, Kampung Baru merupakan kawasan yang paling padat dengan penduduk, seramai 446 orang satu hektar, atau 45,000 orang keseluruhannya (mengikut bancian tahun 2000).DBKL kini dalam proses mendengar pandangan dan bantahan terhadap Draf Kuala Lumpur Pelan Bandar Raya 2020 selepas dibentangkan kepada umum tahun lepas dan menerima maklum balas mereka melalui borang khas pandangan awam yang disediakan.Jilid 4 draf itu khusus melibatkan pelan tempatan perancangan di Kampung Baru.DBKL menerima lebih 100 pandangan dan bantahan daripada individu, badan bertindak penduduk dan persatuan yang mengisi borang pandangan awam berkenaan dan mereka kini menunggu giliran untuk dipanggil di hadapan sebuah panel bebas.
Pengarah Jabatan Pelan Induk DBKL Zainab Mohd Ghazali Ogos tahun lepas turut dijemput sekumpulan penduduk Kampung Baru untuk memberikan penerangan mengenai pelan tempatan khusus melibatkan kawasan Kampung Baru di dalam draf itu.Beliau berkata empat alternatif pembangunan disyorkan DBKL bagi Kampung Baru iaitu:
a. Pembangunan mengikut trend - mengekalkan ikut keadaan sedia ada dengan kebanyakan pembangunan bergantung kepada tuan tanah.
b. Pembangunan semula terpilih - mengikut kesesuaian kawasan yang dikenal pasti.
c. Pembangunan semula berintegrasi - digalakkan DBKL kerana pembangunan Kampung Baru akan disepadukan dengan pembangunan di kawasan sekitarnya seperti Taman Tasik Titiwangsa dan KLCC.
d. Pembangunan semula komprehensif - memerlukan pengambilan tanah dan melibatkan perubahan keseluruhan kawasan.
Aspek penting dalam pelan pembangunan Kampung Baru ialah cadangan zoning yang diperaku untuk keseluruhan kawasan Kampung Baru. Cadangan zoning ini menetapkan kegunaan tanah bagi kawasan-kawasan di Kampung Baru yang secara langsung akan mempengaruhi nilai harga tanah pemilik tanah dan kegunaan tanah itu.Sesetengah kawasan ditetapkan sebagai kawasan perdagangan, kegunaan bercampur kediaman, zon kemudahan dan infrastruktur, kawasan lapang awam dan lain-lain.
PENDEKATAN PELBAGAI DIGUNA PAKAI
Pada seminar itu, Zainab menjelaskan bahawa mekanisme yang dicadangkan oleh Pelan Pembangunan Kampung Baru ialah "pendekatan pelbagai" dengan memberi empat pilihan kepada pemilik untuk membangunkan tanah mereka -
(1) secara persendirian
(2) pembangunan tanah bersepakat
(3) pembangunan melalui Kampung Baru Development Corporation atau
(4) DBKL mengambil balik tanah di bawah 3(1)(b) Akta Pengambilan Balik Tanah 1960.
Bagaimanapun, katanya, DBKL mengesyorkan supaya pembangunan secara persendirian digalakkan dan pembangunan melalui pengambilan tanah ialah cara terakhir.Sebanyak RM100.6 juta diperuntuk di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 untuk menaik taraf struktur fizikal dan infrastruktur di Kampung Baru yang melibatkan pembangunan semula Pasar Minggu (RM20 juta), menaik taraf dan memperindah Jalan Raja Alang serta Jalan Raja Muda Musa (RM25 juta), membina dan menaik taraf rangkaian jalan yang menghubungkan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Razak (RM40 juta), penambahbaikan dan mencantikkan persekitaran Jalan Raja Bot dan Jalan Haji Hussein (RM7 juta) serta projek bersepadu pejalan kaki (RM8.6 juta).Mengambil kira segala rancangan pembangunan ini, turut dibincangkan ialah syor memansuhkan sekatan kepentingan yang menghalang pendudukan dan penyewaan kepada bukan Melayu bagi meninggikan nilai tanah di Kampung Baru dan membolehkan pembangunan pesat berlaku.Pemansuhan sekatan ini akan menjamin kelarisan pasaran hartanah yang akan dibangunkan dan dalam hal ini juga pembangunan Kampung Baru tidak perlu bergantung kepada tuan tanah Kampung Baru saja tetapi diperluas kepada orang Melayu lain yang berkemampuan.
MEKANISME PEMBANGUNAN
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique, yang juga anak Kampung Baru, sempena sambutan Hari Wilayah, memberi jaminan kepada penduduk kampung ini yang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru akan ditubuhkan di bawah bidang kuasa DBKL untuk memudahkan pelaksanaan rancangan pembangunannya.Beliau yakin pemilik tanah akan diberi pilihan untuk membangunkan tanah mereka dan mereka boleh memilih formula yang menguntungkan mereka tetapi haruslah ada satu formula yang bertepatan untuk itu.DBKL sementara itu mengakui bahawa Jabatan Peguam Negara telah mengesahkan bahawa hak milik yang dikeluarkan Pejabat Tanah KuaLa Lumpur (sebelum 1974) dan kemudian Wilayah Persekutuan, adalah sah di sisi undang-undang, dengan itu pemilik tanah MAS Kampung Baru mempunyai hak milik yang tidak boleh disangkal di bawah Seksyen 340 Kanun Tanah Negara.Dari segi hak, ia terjamin mengikut Perkara 13, Perlembagaan Persekutuan, iaitu: "Tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang. Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi".Oleh itu DBKL mentafsirkan Perkara 13 seperti berikut:* Pihak Berkuasa Negeri boleh mengambil tanah milik individu secara paksa. Apabila tanah milik seseorang atau badan diambil, pampasan secukupnya (harga pasaran) mesti dibayar kepada pemilik*Tanah milik persendirian hanya boleh diambil atau digunakan di bawah kuatkuasa undang-undang.Dalam kes tanah MAS Kampung Baru, DBKL mengesyorkan tanah itu dimajukan oleh sebuah badan kerajaan atau syarikat kerajaan (GLC) dan Kabinet boleh mengarahkan syarikat berkenaan supaya mengambil tanah MAS yang dikenal pasti di bawah Seksyen 3(1)(b) APT 1960.Pemilik tanah boleh memilih sama ada ingin menerima pampasan dalam bentuk wang tunai atau sebahagian wang tunai dan sebahagian hartanah yang hendak dibangunkan pemaju.Mana-mana hartanah yang siap dibangunkan sementara menunggu orang Melayu membelinya, boleh disewakan kepada pihak lain sama ada Melayu atau bukan Melayu.Antara kaedah pembahagian hartanah yang disyorkan ialah sistem pawah di mana pemaju mengambil tujuh bahagian dan tuan tanah diberi tiga bahagian atau cara lain yang adil berdasarkan nilai tanah.Cara kedua ialah menubuhkan satu badan khas di bawah akta Parlimen yang berperanan membangunkan tanah rizab Melayu di seluruh Semenanjung, memasarkan hartanah yang dimajukan orang Melayu, memegang dan menguruskan hartanah yang belum dapat dijual kepada orang Melayu dan menyewakannya kepada orang lain, Melayu dan bukan Melayu serta membeli kuota hartanah Bumiputera yang tidak mampu dibeli.Cara ketiga ialah memberi kebebasan kepada pemilik tanah membangunkan tanah mereka apabila mereka merasakan sudah bersedia dan mampu menjalankan projek tertentu ke atas hartanah mereka.Sementara itu, DBKL menjangkakan tidak menghadapi masalah dalam cadangan membangunkan tanah Kampung Baru di luar kawasan MAS seperti yang pernah dilaksanakan PKNS dan ia turut boleh diusahasama dengan bukan Melayu dengan pasaran tanahnya lebih terbuka.
-- BERNAMA

KAMPUNG BARU : PERTAHANKAN WARISAN MELAYU DI IBU KOTA... bhg 5

Oleh Rohana Mustaffa
Bahagian 5 daripada 6 Siri Rencana Kampung Baru
KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Kampung Baru, perkampungan rizab Melayu tunggal di tengah-tengah metropolitan Kuala Lumpur boleh dimajukan dengan syarat ia hendaklah kekal selama-lamanya sebagai markas kelompok Melayu.Warisan Melayu yang wujud seperti Masjid Jamek Kampung Baru dan Pasar Minggu hendaklah sentiasa dipelihara manakala segala perancangan masa depan yang membabitkan bangunan dan cadangan memperindah sungai perlu menyerapkan identiti Melayu.Dengan kata lain, Kampung Baru Kuala Lumpur tidak dapat tidak perlu kekal sebagai Warisan Melayu di tengah-tengah Kuala Lumpur.Sekiranya kelonggaran hendak diberikan untuk membolehkan penyewaan ruang perniagaan atau tanah atau sebarang kegiatan kepada bukan Melayu, hak milik tanah di Kampung Baru hendaklah kekal untuk orang Melayu sahaja dan hak milik tidak dibenarkan bertukar tangan.Demikianlah penekanan mengenai kepentingan orang Melayu yang digariskan dalam suatu memorandum bersama oleh Persatuan Pembangunan Kampung Baru Kuala Lumpur (PKKB) dan Persatuan Kebajikan Anak-anak Melayu Kampung Baru Kuala Lumpur (Pakam) pada seminar mengenai Kampung Baru yang diadakan pada 1994.Ini adalah permintaan sebahagian besar penduduk Kampung Baru yang menganggotai kedua-dua persatuan yang mewakili kepentingan mereka.Memorandum yang kini berusia 15 tahun itu amat mementingkan masa depan orang Melayu dan kelangsungan hayat Kampung Baru dalam arus pembangunan pesat Kuala Lumpur.Kedua-dua persatuan itu turut membangkitkan kebimbangan pemilik tanah, masalah pengambilan tanah milik beramai, isu pampasan dan penyewaan kepada orang bukan Melayu.Memorandum itu yang dilahirkan ekoran wujudnya berita mengenai rancangan pembangunan Kampung Baru, bertujuan mengutarakan pandangan pemilik tanah, para penduduk dan mereka yang berniaga di kawasan berkenaan bagi memastikan pembangunannya setaraf dan seimbang dengan kawasan sekelilingnya.
JANGAN UBAH HAKMILIK TANAH
Mengenai cadangan sewaan tapak kepada bukan Melayu, kedua-dua persatuan itu merujuk kepada Seksyen 16 dan Seksyen 17 Enakmen Rezab Melayu 1965 yang menjelaskan bahawa sebarang tukar milik, cagaran atau pajakan kepada bukan Melayu tidak boleh dibenarkan dan seksyen 222 dan 223 Kanun Tanah Negara pula menentukan apa-apa pajakan yang melebihi tiga tahun, hendaklah berdaftar.Mereka sedar bahawa apa-apa sewaan atas pajakan bagi jangka masa kurang dari tiga tahun tidak akan menarik ahli perniagaan bukan Melayu sedangkan permohonan pendaftaran pajakan yang melebihi tiga tahun kepada orang bukan Melayu, pastinya akan ditolak oleh Pendaftar Tanah.Oleh yang demikian, kedua-dua persatuan itu mencadangkan supaya kerajaan meluluskan pemberian hak milik strata Kampung Baru dan dibenarkan juga pajakan tanah kepada bukan Melayu dengan syarat ia tidak melebihi 25 tahun, didaftarkan.DBKL pula perlu mewujudkan zoning dalam perancangan pembangunan Kampung Baru iaitu memperuntuk sekurang-kurangnya satu pertiga kawasan Kampung Baru sebagai kawasan kediaman tetapi bukan khusus di satu tempat kerana ada keperluan untuk kawasan kediaman golongan pendapatan sederhana dan rendah, tidak semestinya di dalam kawasan Kampung Baru, tetapi juga boleh di kawasan pinggirnya.Untuk menentukan nilai tanah Kampung Baru seimbang dengan nilai tanah di sekitarnya, mereka mencadangkan purata plot atau kepadatan penduduk bagi kawasan ini dipertingkat sama seperti kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan kawasan-kawasan yang berhampiran.Kawasan lapang yang sedia ada seperti Padang Kelab Sultan Sulaiman dan Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang ditafsirkan sebagai tanah lapang.Kedua-dua persatuan itu mencadangkan tanggungjawab pembangunan Kampung Baru tidak diambil seluruhnya oleh oleh kerajaan tetapi turut dikendalikan badan berkanun seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Urban Development Authority (UDA) dan Amanah Saham Selangor serta syarikat Bumiputera yang berminat dengan cara membeli tanah Kampung Baru mengikut harga pasaran.
CADANGAN LAIN
Cadangan lain termasuk : - Tuan tanah diberi jangka masa yang sesuai untuk berunding dengan pemaju dan jika urusan jual beli tidak dapat diselesaikan sama ada disebabkan ketiadaan waris atau wakil mutlak atau kedegilan yang tidak munasabah, kerajaan boleh menggunakan kuasa pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi pihak pemaju berkenaan.Dalam apa jua keadaan, keutamaan hendaklah diberikan kepada syarikat Bumiputera di dalam urusan pembangunan Kampung Baru, dan mereka bertanggungjwab mengadakan kediaman alternatif kepada penduduk terlibat.Harga muktamad bagi pampasan pengambilan tanah terletak kepada mahkamah tetapi hendaklah dinilai seimbang dengan harga tanah di kawasan sekitar dan pinggir Kampung Baru.Ruang perniagaan atau kediaman hendaklah terlebih dahulu ditawarkan kepada penduduk tempatan sebelum dijual kepada Bumiputera (Melayu sahaja) lain dan tiap blok pembangunan menyediakan kawasan penjaja atau perniagaan.Kepentingan sosial dan kebudayaan Kampung Baru dipelihara supaya cara hidup penduduknya tidak berubah dan oleh itu Masjid Jamek Kampung Baru dikekal dan dipertingkat sesuai dengan pembangunan di sekelilingnya.Begitu juga dengan bangunan Kelab Sultan Sulaiman yang kaya dengan sejarah kebangsaan dikekalkan sebagai pusat pembangunan masyarakat, aktiviti sukan dan rekreasi, Pasar Minggu Kampung Baru dikekalkan untuk kegiatan perniagaan Melayu dan dinaiktaraf dengan bangunan bertingkat seperti pasar moden menjual kraftangan, makanan dan sebagainya seperti di Kota Baharu Kelantan dan Kuala Terengganu.Empat belas tahun selepas itu, pada 19 Ogos 2008, PPKB mengadakan seminar untuk membincangkan Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 yang turut melibatkan pembangunan Kampung Baru.
DRAF PEMBANGUNAN MENYELURUH
Draf itu merangkumi aspek pembangunan menyeluruh Kampung Baru dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memberikan taklimat sebanyak dua kali mengenai pelan yang khusus melibatkan kampung berkenaan kepada para pemilik tanah.Seminar itu bertujuan mempertingkat kefahaman penduduk Kampung Baru mengenai draf berkenaan dengan melibatkan beberapa pakar perancang bandar, arkitek, jurutera dan wakil syarikat pembanguan hartanah Bumiputera untuk meneliti dan membincangkan kesesuaian draf pembangunan itu dengan apa yang mereka kemukakan sebelum ini dengan kemajuan Kampung Baru selepas 1994.Seminar itu dihadiri seramai 100 anggota persatuan dan pemilik tanah Kampung Baru, kata Naib Yang Dipertua PPKB Dr Mohd Yusof Ismail yang membukukan laporan mengenai pandangan awam (penduduk Kampung Baru) tentang cadangan draf DBKL itu.Beliau berkata seminar itu merumuskan beberapa cadangan balas kepada draf asal DBKL yang membuka ruang bagi orang ramai memberikan cadangan, pandangan dan bantahan sehingga 31 Ogos 2008 mengenai pelan bandaraya 2020 itu sebelum proses pendengaran bantahan dan cadangan dimulakan DBKL dari September hingga Februari tahun ini.Dr Mohd Yusof dalam temu bualnya dengan Bernama, berkata pada prinsipnya persatuan itu tidak menolak secara langsung draf DBKL itu tetapi berpendapat ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaik."Saya melihat dari aspek perancangan keseluruhan Kampung Baru yang perlu diperhalus dan dibincangkan lagi terutama dari segi pembahagian zon pembangunan," katanya.Antara bantahan utama mereka ialah pengambilan balik tanah melalui pembangunan semula berintegrasi.
TIDAK PUAS HATI DENGAN CADANGAN DBKL
"Kami tidak bersetuju, kerana bagi kami strategi pengambilan balik tanah adalah cara terakhir yang patut dilakukan dan DBKL harus berperanan sebagai pentadbir dan bukan pelaksana pembangunan Kampung Baru," katanya.Mereka juga tidak puas hati apabila pelan pembangunan itu dilihat tidak memberi fokus kepada aspek mengekalkan warisan Kampung Baru seperti Masjid Kampung Baru dan Pasar Minggu dalam cadangan reka bentuk bangunan yang pada pendapat mereka tidak menyerapkan identiti Melayu.Seminar itu juga merasakan cadangan zon pembangunan mengikut komponen jalan di Kampung Baru seperti "Corporate Street","Autocity Mall" dan sebagainya hanya akan menguntungkan sebahagian kecil pemilik tanah, maka DBKL diharapkan dapat membangunkan setiap jalan berselang seli dengan kawasan perumahan bagi memastikan Kampung Baru kelak sebagai kawasan yang tidak "tidur" di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur."Kami tidak mahu ada zon yang akan hidup sampai tengah malam tetapi di satu zon Kampung Baru lagi akan bergelap kerana ia merupakan kawasan kediaman," katanya.Dr Mohd Yusof berkata peserta seminar itu juga membangkitkan mengenai harga hartanah yang rendah yang memungkinkan pengambilan tanah bagi mereka yang bersetuju akan pada kadar yang murah.Wakil DBKL, Pengarah Jabatan Pelan Induk DBKL Zainab Mohd Ghazali turut dijemput menerangkan mengenai draf Kuala Lumpur 2020 yang khusus melibatkan Kampung Baru.Dr Mohd Yusof yang pernah memegang beberapa jawatan kanan awam seperti timbalan ketua setiausaha Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos, pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan ketua pengarah Unit Penyelidikan Sosio Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, turut membentangkan kertas kerja pada seminar itu.Beliau mencadangkan agar Kampung Baru dinamakan Kampung Baru City Centre sesuai dengan kedudukannya berhampiran KLCC dan sesuai dengan nama itu, perlu diwujudkan pula laluan korporat yang merangkumi beberapa jalan di Kampung Baru, diperbanyak kawasan perdagangan, pembangunan bercampur kediaman dan perdagangan.Turut dicadangkan beliau ialah harga tanah di Kampung Baru diasaskan kepada kes penjualan pada tahun 2006 dan 2007 di kawasan di dalam dan di sekitar Kampung Baru yang boleh mencapai sehingga RM1,000-RM2,000 sekaki persegi.
CADANGAN PUSAT WARISAN MELAYU DI KAMPUNG BARU
Arkitek Mariyah Pit pula mencadangkan supaya sebuah pusat Warisan Melayu diwujudkan di Kampung Baru dengan berfokuskan kawasan sekitar Masjid Kampung Baru dibangunkan sebagai sebuah taman seperti Regent's Park Mosque di London.Pasar Minggu dijadikan seperti Pasar Chatuchak (Bangkok) dan Pasar Chow Kit dijadikan sebagai sebahagian daripada Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi pasar seni.Semua ini dicadang dibangunkan mengikut sasaran masa seperti pelan pembangunan lima tahun Kampung Baru dan sebagainya.Bekas naib canselor Universiti Selangor Datuk Dr Mohd Razali Agus dan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Yazid Saleh mencadangkan : - Kampung Baru dibangunkan oleh GLC dan dipantau Jabatan Perdana Menteri dengan modal pembangunan sekurang-kurangnya RM10 bilion.Pemilik tanah yang bersetuju menyerahkan tanah kepada GLC untuk dibangunkan, dijamin mendapat sekurang-kurangnya satu unit kediaman atau unit perniagaan, mendapat pampasan dan elaun kesukaran.Resolusi seminar itu dikemukakan dalam bentuk pandangan awam terhadap Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 kepada DBKL.
-- BERNAMA

KAMPUNG BARU : TUMPUAN WARGA KOTA KUALA LUMPUR... bhg 4

Oleh Rohana Mustaffa
Bahagian 4 daripada 6 siri rencana Kampung Baru
KUALA LUMPUR, 1 Feb (BERNAMA) -- "You nak buat kondo di slum area?"Begitulah reaksi awal yang agak mengejutkan daripada kenalan Datuk Abdul Rahim Mohd Ibrahim, seorang pemaju hartanah, mengenai cadangannya membina kondominium mewah di Kampung Baru Kuala Lumpur.Beliau tidak menyangka perkataan slum yang bermakna setinggan terucap oleh kenalannya mengenai Kampung Baru.Akhirnya setelah mengatasi segala rintangan termasuklah kepungan fakulti minda, beliau berjaya membangunkan Plaza RAH, satu-satunya kondominium mewah di Jalan Raja Abdullah yang merupakan struktur tunggal kediaman paling tinggi di kampung ini.Kemunculan plaza berkenaan sebagai mercu tanda baru perkampungan Melayu di tengah-tengah bandar raya metropolitan Kuala Lumpur ini menghakis segala tanggapan bahawa Kampung Baru tidak boleh dimajukan atau tidak boleh berubah wajah disebabkan pelbagai masalah usang yang kompleks.Kenalan Abdul Rahim menyamakan Kampung Baru dengan Bronx, sebuah petempatan majoriti bukan kulit putih Amerika di utara New York dan "mereka tidak yakin unit-unit kondo ini boleh terjual," katanya.Kini, mereka mungkin boleh gigit jari kerana kondominium itu laris macam pisang goreng!Umum mengetahui Kampung Baru bukanlah kawasan setinggan, kerana ia petempatan khusus bagi orang Melayu yang wujud pada tahun 1899 dan dikenali sebagai Malay Agriculture Settlement (Petempatan/Tanah Pertanian Melayu).Walaupun pembangunan tidak begitu rancak di kampung ini, namun ia tetap menjadi tumpuan warga kota, terutama untuk menjamu selera kerana dikatakan lubuk segala lubuk kepada makanan dan minuman.
PUSAT SEGALA JENIS MAKANAN
Biasanya agak sukar mencari tempat meletak kereta di tepi jalan Pasar Minggu Kampung Baru terutama pada waktu tengah hari dan malam.Deretan kereta mewah, kereta kecil dan motosikal sentiasa mengisi setiap ruang termasuk di Jalan Raja Muda Musa yang telah diperindah sebagai pusat tumpuan.Warga kota berbaris untuk membungkus atau memilih makanan juga sudah biasa dalam kalangan pengunjung -- yang berpakaian pejabat akan sebati dengan mereka yang hanya berkemeja T, berkain pelikat dan berketayap atau berselipar, beratur menunggu giliran di gerai nasi lemak, nasi bubur atau gerai yang menjual berpuluh-puluh jenis masakan pelbagai selera di sini.Pasar Minggu Kampung Baru yang terkenal dengan pintu gerbangnya bukan pasar ikan atau pasar hujung minggu, tetapi nadi aktiviti harian perniagaan makanan di kampung ini.Yang berkereta tidak semestinya berpakaian segak, yang berselipar tidak seharusnya penghuni rumah berhampiran, yang berkain pelikat tidak semestinya baru balik dari Masjid Jamek Kampung Baru.Tiada siapa yang memandang serong atau pelik terhadap mereka yang datang dengan kereta mewah atau yang berselipar jepun duduk berkongsi meja makan di sini.Di seluruh ceruk Kampung Baru sebenarnya tidak pernah sunyi dengan kunjungan orang ramai ke gerai-gerai makan, semata-mata untuk menikmati nasi lemak bungkus, sup/tom yam panas, kuih Melayu dan roti canai dengan secawan kopi atau teh tarik, tidak kira siang atau malam.Sekali sekala akan kelihatan anak muda menampal iklan bilik atau rumah kosong untuk disewa di pokok atau gerai makan berhampiran. Ada juga yang terdengar berbual menerusi telefon mencari rakan serumah atau rakan sewa sebilik.Daya penarik iklan mereka, ialah kalau bilik sewa itu di flat PKNS berusia lebih 30 tahun di Pasar Minggu, ia berdekatan dengan Stesen LRT, di belakang flat berkenaan.
RUMAH DAN BILIK SEWA DI KAMPUNG BARU SENTIASA LARIS
Menyewa di Kampung Baru, bagi pelajar universiti atau mereka yang baru bekerja, memang selesa -- rumah atau bilik boleh disewa beramai-ramai, tempat makan, masjid, bank, hospital dan pasar (Chow Kit), semuanya berdekatan.Tidak menghairankan sekiranya tuan rumah (yang kebanyakannya tinggal di luar Kampung Baru) tidak perlu bersusah payah menempah iklan di akhbar kerana penyewa yang ada boleh mencari sendiri rakan sebilik atau serumah mereka.Letak saja harga sewa untuk satu unit flat paling murah di sekitar RM850 maka pandailah penyewa berkongsi beramai-ramai mengisi ruang tiga bilik flat itu. Harga beli flat PKNS ini asalnya hanya sekitar RM28,000 tetapi kini nilainya melonjak lebih RM100 ribu.Di kawasan sekitarnya, tuan tanah membina khas rumah sewa beberapa pintu atau menyambung rumah kampung mereka menjadi deretan panjang untuk disewakan.Kata seorang penduduk, untuk mengutip sewaan sekurang-kurangnya berjumlah RM2,000 atau RM3,500 sebulan memang mudah di Kampung Baru.Sebab itu untuk menjimatkan ruang tanah, rumah sewa biasanya dibina rapat-rapat, menggunakan sepenuhnya kawasan tanah yang ada sehinggakan ada rumah yang bertembung pintu depannya dengan pintu dapur penyewa lain.Berebut kawasan parkir adalah perkara biasa kerana halaman yang dikongsi hanyalah sekangkang kera.Sebab itu juga di tepi jalan dan setiap lorong Kampung Baru akan ada saja kereta yang diletakkan penghuni rumah sewa ini.Disebabkan itu juga mungkin punca ada rumah sewa yang tidak pernah berubah wajah daripada bentuk asalnya. Ada rumah papan yang nampak uzur tetapi masih ada penyewa.Untuk mengubah suai, tuan rumah terasa rugi akan kehilangan wang sewa, sedangkan permintaan penyewa bertali arus.
BERJALAN KAKI AMALAN BIASA
Berjalan kaki di Kampung Baru juga selamat dan selesa, melalui celah-celah jalan, rumah dan bangunan yang ada. Kalau ada yang berkata orang Malaysia hanya berjalan jauh jika di London, mereka silap.Di Kampung Baru ada penduduk yang berbuat demikian, walau bertali leher atau berkemeja kemas sambil menyandang beg.Tidak ada siapa yang ambil pusing terhadap mereka ini kerana mereka berjalan kaki untuk ke Jalan Raja Muda Aziz yang ada bank dan pusat pameran kereta mewah, menuju ke belakang flat PKNS untuk menaiki LRT, ke Jalan Tun Razak untuk ke pejabat, ke perpustakaan atau hospital, ke persimpangan Jalan Raja Abdullah-Jalan Sultan Ismail untuk ke universiti dan ke Chow Kit untuk ke pasar dan membeli belah.Kemudahan yang berdekatan ini mengelilingi Kampung Baru yang terletak di tengah-tengah ibu kota.Kampung Baru bersempadankan Jalan Raja Muda Abdul Aziz di utara, Jalan Dang Wangi, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur dan Sungai Kelang di selatan, Jalan Tun Razak di timur dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (kawasan Chow Kit) di sebelah barat.Keunikan kedudukan dan suasana santai Kampung Baru inilah yang membuatkan orang mudah bernostalgia apabila bercakap mengenai rancangan untuk membangunkannya.Ada yang mahu suasana dan identiti Kampung Baru ini dikekalkan selama-lamanya begini, ada juga yang mahukan perubahan.Tetapi kalau dilihat pemandangan di sekelilingnya, Kampung Baru tidak seindah mana. Rumah Melayu tradisional yang masih dipelihara dan dikekalkan rupanya juga tidak banyak.Yang banyak kelihatan ialah rumah papan usang atau rumah sewa separuh batu yang bersambung-sambung, gerai makan dan kedai runcit di celah-celah bangunan yang berkilat cerminnya, yang menempatkan bank dan pejabat, lorong-lorong kecilnya sarat dengan bengkel kereta, kedai cat dan pertukangan, serta butik-butik kecil pakaian dan rawatan kecantikan.Ada juga penduduk Kampung Baru yang sememangnya menantikan pembangunan ini.
PENDUDUK SUDAH BERKORBAN, KINI NANTIKAN PEMBANGUNAN
Umpamanya beberapa keluarga di Kampung Periuk, yang sebahagian rumah mereka telah dikorbankan untuk pembinaan jalan dari sebuah kedai pizza di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang merentasi Jalan Dewan Sultan Sulaiman dan dijangka berakhir berdekatan dengan Menara Perkeso di Jalan Tun Razak.Ada rumah di situ sudah kehilangan bahagian dapur dan bilik airnya di belakang rumah, menyebabkan rumah mereka sudah tinggal sekerat, betul-betul berada di tepi jalan besar.Di Jalan Raja Bot, ada keluarga yang mendindingi kediaman mereka dengan kedai-kedai separuh papan dan separuh batu, yang menjalankan perniagaan VCD/DVD, ejen pelancongan, pejabat sekolah memandu dan menjual ubat tradisional dan jamu.Di belakang kedai-kedai itu, rumah pesaka yang ada, sudah uzur.Rumah-rumah papan itu disambung berangkai-rangkai dan rapat-rapat. Ada yang disewakan, dan ada yang diduduki anak atau saudara mara dan adik beradik, yang berkongsi hak sebidang tanah kecil ada yang tidak sampai 0.2 hektar.Yang duduk di situ berkongsi halaman yang tidak sebesar mana, berkongsi garaj kereta yang beratapkan zing yang penuh dengan besi buruk, bekas plastik petrol dan tayar terpakai, berkongsi tempat menjemur baju malah berkongsi longkang untuk mengalirkan sisa kotoran. Mantan menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad semasa melancarkan projek itu empat tahun lepas menyatakan harapan pembinaan kondominium itu, yang merupakan hasil usaha anak jati Kampung Baru dan di atas tanah milik sendiri, akan menjadi pencetus kepada usaha pembangunan seterusnya di Kampung Baru.Beliau juga berpesan bahawa walaupun ingin dimajukan, entiti Melayu yang menjadi kebanggaan di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur hendalah dipertahan selama-lamanya.
-- BERNAMA

KAMPUNG BARU : JAUH LAGIKAH PEMBANGUNANNYA?... bhg 3

Oleh Rohana Mustaffa
(Bahagian 3 daripada 6 siri rencana Kampung Baru)
KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Beliau pernah dikecam hanya kerana menyebut "hendak membangunkan Kampung Baru", pernah kecewa setelah tiga tahun berusaha cuba membangunkannya, dan pernah membawa rajuknya ke Universiti Kebangsaan Malaysia membuat tesis mengenainya dalam usaha membuka mata orang Melayu Kampung Baru untuk maju.Namun, semangat Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed, nama yang sinonim dengan Kampung Baru Kuala Lumpur, tidak pernah luntur untuk melihat kampung ini maju dan setaraf dengan kawasan sekelilingnya."Mata saya akan lelap, tertutup rapat bila mati nanti jika Kampung Baru dibangunkan," katanya kepada Bernama ketika membincangkan rancangan pembangunan Kampung Baru di bawah pelan pembangunan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020.Begitulah sentimen beliau terhadap Kampung Baru.Dr Suleiman, Ketua Umno Bahagian Titiwangsa dikecam hebat ketika pertama kali membentangkan kertas kerja mengenai pembangunan Kampung Baru pada Konvensyen Umno Bahagian Setapak, 1982.Mantan Timbalan Menteri Penerangan dan anggota Parlimen Titiwangsa ini juga pernah kecewa kerana usahanya selama tiga tahun sejak 1990 untuk membangunkan Kampung Baru gagal kerana tidak mendapat sokongan semua pihak walaupun direstui perdana menteri ketika itu Datuk Seri (Tun) Dr Mahathir Mohamad yang melantiknya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Semula kampung berkenaan.Antara usahanya ialah mengadakan pelbagai perjumpaan dengan seramai 1,923 tuan tanah kampung ini dan jawatankuasa itu pernah mengemukakan pelan tempatan pembangunan di situ, namun kata sepakat tidak dapat dicapai dan akhirnya penyelesaian menemui jalan buntu.Dr Suleiman kemudian membawa rajuknya ke Universiti Kebangsaan Malaysia, melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah doktor falsafah (Ph.D) dengan menghasilkan tesis bertajuk "Transformasi Sosial Melayu Bandar", hasil penyelidikan yang dijalankannya di Kampung Baru dan menulis buku mengenai kampung ini.
ASAL JOHOR NAMUN JIWANYA TETAP DI KAMPUNG BARU
Walaupun dilahirkan di Johor Baharu pada tahun 1947, beliau membesar di Jalan Mahmud Kampung Baru dan sehingga kini sinonim sebagai anak Kampung Baru. Beliau pernah menjadi anggota Parlimen Titiwangsa selama tiga penggal.Haji Khatib Koyan, Penghulu Gombak yang kawasan jajahannya dari Batu 2 (kini Chow Kit) hingga ke Gombak, adalah datuk Dr Suleiman yang suka memburu di Kampung Baru, dan antara pemimpin awal kawasan petempatan Melayu di tengah-tengah ibu kota ini.Justeru, sebuah jalan di kampung kini diabadikan dengan nama beliau.Bagi Dr Suleiman yang begitu bersemangat apabila bercakap mengenai Kampung Baru, entiti Melayu di Kuala Lumpur yang sudah berusia 110 tahun ini, kampung ini boleh dibangunkan jika ada semangat politik yang serius yang dilandaskan kepada perubahan minda."Pernah suatu hari saya ternampak beberapa bas pelancong menyusuri pinggir Kampung Baru, di kawasan setinggan Kampung Chendana dan mereka sibuk mengambil gambar."Bayangkanlah kawasan Melayu di ibu kota hanya setaraf setinggan di mata pelancong sedangkan ia bersebelahan dengan kawasan segi tiga emas. Sampai bila kita nak biarkan Kampung Baru macam ni? Inikah taraf Kampung Baru?, Setinggan di tengah-tengah Kuala Lumpur," tanya beliau.Dr Suleiman mencadangkan Perbadanan Kampung Baru ditubuhkan sepertimana Perbadanan Putrajaya atau Perbadanan Labuan yang boleh menjadi pusat sehenti menyelesaikan pelbagai masalah hak milik dan pelan pembangunan."Pemilik tanah perlu realistik semasa membuat tuntutan nilai tanah, hak milik tanah beramai hendaklah diselesaikan cara elok dan halangan undang-undang kecil Malay Agriculture Settlement (Petempatan/Tanah Pertanian Melayu) mengenai pentadbiran tanah di Kampung Baru perlu dihapuskan," kata Dr Suleiman.Para pemilik tanah Kampung Baru juga lebih yakin kalau usaha pembangunan ini dilakukan oleh kerajaan berdasarkan pengalaman sesetengah mereka yang ditipu oleh invididu atau syarikat sebelum ini, semuanya atas alasan "ingin membangunkan Kampung Baru".
PENDUDUK PERNAH DITIPU, HAKMILIK TANAH TERGADAI
Beliau menceritakan bagaimana 44 keping tanah Kampung Baru pernah tergadai selepas seorang ahli korporat/politik memujuk pemilik menyerahkan tanah kepadanya untuk dimajukan, sedangkan tanah itu dicagar bagi membiayai projeknya di tempat lain, yang kemudian gagal.Nikmat yang diperoleh tuan tanah hanyalah tambang pergi menunaikan haji yang diberikan tokoh korporat itu sebelum tanah mereka tergadai, menurut Dr Suleiman.MAS Melayu Berhad, satu konsortium 11 syarikat Melayu, yang ditubuhkan selepas Dr Mahathir membubarkan jawatankuasa pimpinan Dr Suleiman, turut gagal membangunkan Kampung Baru kerana mereka hanya mampu membeli kelompok-kelompok berasingan tanah disebabkan tuntutan harga tinggi tuan tanah dan pemilikan tanah beramai, adakalanya lebih 20 penama untuk tanah tidak sampai 0.2 hektar.Dr Suleiman menyarankan supaya dihapuskan undang-undang MAS yang menyekat penyewaan hartanah Kampung Baru kepada bukan Melayu (tanah masih milik Melayu) bagi memudahkan kemasukan modal, dan tanah milik beramai dinilai dan dibahagikan dalam bentuk saham kepada tuan punya supaya mereka akan menikmati keuntungannya dalam jangka panjang.Nilai tanah juga hendaklah seimbang tanpa mengira tanah yang diambil sama ada untuk kawasan taman rekreasi, perumahan atau industri untuk berlaku adil kepada semua pemilik tanah.Bagi yang boleh mencapai kata sepakat, katanya, patut digalakkan menubuhkan syarikat sendiri, seperti mana adik beradik beliau seramai lapan orang yang menubuhkan syarikat menguruskan sebidang tanah mereka di Jalan Mahmud. Pembahagian keuntungan adalah dalam bentuk saham."Sudah tiba masanya Kampung Baru dibangunkan secara harmoni dengan semangat politik yang kuat dan penduduk atau pemilik tanah pula terbuka untuk menerima perubahan," katanya mengulas Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 yang menyediakan rancangan pembangunan menyeluruh Kampung Baru itu oleh DBKL.
PENDUDUK TUNTUT HARGA TINGGI
Datuk Abdul Rahim Mohd Ibrahim pula merupakan pemilik Plaza RAH di Jalan Raja Abdullah, satu-satunya bangunan 300 unit kondominium setinggi 23 tingkat yang berdiri megah di tengah-tengah Kampung Baru.Beliau membangunkan tanah keluarga sebanyak dua lot bersama tiga lot tanah sebelah yang dibeli daripada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan satu lot lagi tanah jiran yang menjadikan kawasan yang dibangunkan seluas 0.48 hektar.Purata harga tanah yang dibeli ialah RM150 kaki persegi sementara nilai kasar pembangunan Plaza RAH semasa pelancarannya pada 2005 ialah lebih RM60 juta termasuk kos tanah."Kami jual seunit kondominium tiga bilik tidur, dua bilik mandi dan dua dapur dari RM170 kaki persegi atau nilainya antara RM177,540 hingga RM284,759," katanya dan 50 peratus unit dijual sebaik pelancarannya.Kini unit kondominium yang masih ada untuk dijual bernilai lebih RM300,000 seunit. Ada sebuah restoran makanan Barat di tingkat bawahnya, Hale's Kitchen, (sempena nama lama Jalan Raja Abdullah), usaha Abdul Rahim memperkenal konsep ruang makan kemas dan selesa.Abdul Rahim berkata beliau tidak menghadapi masalah semasa mendapatkan kelulusan membangunkan tanah itu kerana semua pihak memberikan kerjasama dari segi serah kuasa tanah hinggalah kepada hak milik strata.Baginya masalah yang sering menjadi halangan untuk sesuatu hartanah itu dimajukan di Kampung Baru ialah sikap pemilik yang mahukan keuntungan berlebihan."Contohnya pemaju baru sahaja menawarkan harga, pemilik sudah pun mengira keuntungan pemaju itu dan kerana itu dia mahukan yang lebih sekurang-kurangnya antara RM3 sehingga RM6 juta"."Mereka tidak fikir mengenai syarat tanah Melayu Kampung Baru mesti dibeli orang Melayu dan mesti dijual hanya kepada orang Melayu. Kalau sudah dijual kepada pemaju Melayu pada harga sebegitu tinggi, berapa pula pemaju itu hendak jual untuk dapatkan semula modal atau keuntungan, dan berapa pula harga yang mampu dibeli oleh orang Melayu lain?".Beliau juga tidak setuju sekiranya DBKL dalam pelan pembangunannya melarang bangunan tinggi dimajukan di Kampung Baru kerana kalau kawasan sekelilingnya dipenuhi bangunan pencakar langit, kenapa tidak di Kampung Baru?Dr Suleiman yang menyifatkan Plaza RAH sebagai pemangkin kepada pembangunan Kampung Baru, berkata plaza itu adalah bukti bahawa segalanya mungkin sekiranya penduduk mencapai kata sepakat.Kondominium itu ialah antara contoh pembangunan yang wajar diikuti orang lain di Kampung Baru, seperti juga Menara Naza dan kawasan sekitarnya yang dimajukan allahyarham Tan Sri S.M Nasimuddin, seorang lagi tokoh korporat Melayu yang memilih Kampung Baru sebagai pusat operasinya.
PEMBANGUNAN KAMPUNG BARU HENDAKLAH BERPERINGKAT
Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbiran MAS Shamsuri Suradi, turut mencadangkan pembangunan di Kampung Baru dilaksanakan secara berperingkat."Bangunkan satu kawasan dulu, kalau berjaya, boleh dijadikan contoh untuk majukan sekelompok kawasan lagi. Ini bagi mengelakkan pembangunan secara menyeluruh daripada gagal dan legasi Kampung Baru terhapus," katanya.Beliau memberi contoh kegagalan 44 lot tanah dimajukan oleh seorang tokoh korporat, kegagalan MAS Melayu Berhad dan pembangunan Bandar Wawasan di Jalan Sultan Ismail."Ini semua menakutkan pemilik tanah dan penduduk yang sayangkan Kampung Baru. Mereka patut diajak berbincang mengenai satu-satu kawasan yang mahu dibangunkan dan bagaimana masalah tuntutan tanah boleh diselesaikan," katanya.Anggota Parlimen Titiwangsa Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali sebagai penasihat Badan Bertindak Pembangunan Kampung Baru yang turut meneliti draf pembangunan Kampung Baru itu sebelum ini berkata: "Bagi orang Kampung Baru, yang paling penting mereka mahu hak mereka terjaga, mereka mesti menjadi sebahagian daripada pembangunan dan mereka diberi peluang menentukan konsep pembangunan yang mereka mahukan.""Saya berharap semua pihak jujur dalam menyelesaikan isu ini," katanya.Anak jati Kampung Baru, Abdul Rahman Hussin tidak mahu pembangunan yang dilakukan menyebabkan penduduk asalnya terpinggir."Saya lahir dan membesar di sini. Kalau boleh memang tidak mahu pindah ke mana-mana. Rumah yang saya tinggal sekarang ini adalah rumah pusaka yang diperturunkan moyang saya, jadi saya mahu ia kekal selama-lamanya di sini," kata penduduk yang menetap di Jalan Raja Muda Musa.Menurutnya, sungguhpun DBKL mengadakan beberapa perjumpaan dengan penduduk kampung mengenai draf pembangunan Kampung Baru itu, tetapi ia sekadar membentangkan pelan yang sudah tersedia.
PENDUDUK TIDAK MENOLAK PEMBANGUNAN
Nor Faridah Abdul Rashid, seorang lagi anak Kampung Baru yang lahir dan masih menetap di sini berharap pembangunan yang dilaksanakan tidak menghilangkan ciri-ciri sejarah dan warisan Kampung Baru.Beliau tidak menolak pembangunan, kerana sudah melihat kemajuan satu persatu bangunan tinggi didirikan di sekeliling kampung ini, dan Kampung Baru seperti ditinggalkan."Pembangunan di Kampung Baru tidak boleh mengabaikan pemilik tanah," kata Nor Faridah, seorang profesional. Beliau yang tinggal di rumah pusaka keluarganya di Kampung Periuk di Jalan Dewan Sultan Sulaiman berkata walaupun menjadi kawasan baru yang moden kelak, diharapkan ciri-ciri kampung yang menjadi tarikan pelancong akan dikekalkan.Lain pula kisahnya dengan Sutiah Ahmad yang menduduki sebuah rumah kayu di Jalan Raja Muda Musa sejak 80 tahun lalu di mana sebidang tanah seluas 0.4 hektar dibahagi dua dengan adiknya yang turut menetap di situ.Sepanjang tinggal di rumah pusaka itu, pelbagai peristiwa bersejarah dilaluinya dan antara yang meninggalkan kesan ialah Zaman Pendudukan Jepun, Peristiwa 13 Mei dan banjir besar Kampung Baru."Disebabkan dari kecil sudah tinggal di sini, saya tidak berhasrat meninggalkan rumah ini. Kalau boleh, biarlah ia kekal seperti hari ini sampai bila-bila. Biarlah anak cucu saya tahu rupa bentuk asal rumah ini.
KAMPUNG BARU DEKAT DI HATI ALMARHUM SULTAN SELANGOR
Malah rumah kayu ini juga pernah dikunjungi Almarhum Yang di-Pertuan Agong ke-11 Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah kerana "baginda pernah bermain di sini sewaktu zaman kanak-kanaknya," katanya.Sultan Salahuddin melawat Kampung Baru pada 5 Sept 1999 sempena 100 tahun pembukaan kampung ini. Seri Paduka juga pernah menjamu rombongan penduduk Kampung Baru di Istana Negara, dan menurut Dr Suleiman, pada pertemuan itu Almarhum menawarkan sebuah kawasan di Putrajaya untuk dihuni penduduk Kampung Baru bagi membolehkan kampung ini dimajukan.Jalan Raja Muda Musa yang terletaknya Pasar Minggu Kampung Baru sedang dalam proses dibangunkan, namun sekumpulan peniaga di situ masih bertahan walaupun sudah menerima tiga surat pemberitahuan untuk berpindah ke kawasan baru di Kampung Baru Air Panas.Mereka khuatir akan kehilangan pelanggan tetapi akur bahawa pembangunan tidak dapat tidak akan berlaku dan yang menjadi kegusaran mereka ialah sama seperti penduduk lain Kampung Baru, mereka mengharapkan kemajuan di kampung ini tidak akan meminggirkan mereka.Mereka masih mahu menjadi sebahagian penduduk Kampung Baru yang baru wajahnya.
-- BERNAMA
(Rencana ditulis dengan kerjasama Nurul Halawati Mohamad Azhari)

KAMPUNG BARU : KEHIDUPAN TERATUR, MASYARAKAT MAKMUR... bhg 2

Oleh Rohana Mustaffa

Bahagian 2 daripada enam bahagian siri rencana Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Tiada yang terlepas pandang di Kampung Baru Kuala Lumpur.Tiada butiran yang terlalu kecil untuk tidak dihiraukan dan tiada pula perkara besar yang lebih penting daripada yang lain kerana semuanya diambil kira di kampung ini sejak ia wujud pada 1899.Dahulu kehidupan harian di satu-satunya entiti Melayu di tengah-tengah ibu kota ini amat teratur dan rapi, pendek kata ia agak "regimented"."Kami anak-anak Kampung Baru sudah sedia tahu bila waktu ke sekolah dan bersekolah di mana, waktu mengaji Quran, waktu bermain bola, bila pula hendak ke masjid, dan menyertai aktiviti marhaban atau berzanji kerana semuanya diatur," kata Shamsuri Suradi, antara penduduk asal yang menceritakan zaman membesar di Kampung Baru.Sebenarnya aktiviti teratur ini berpunca daripada peraturan lembaga yang mentadbir Kampung Baru yang ketika itu di bawah pengawasan Residen British Selangor. Kini Shamsuri merupakan Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbiran Malay Agriculture Settlement (Petempatan/Tanah Pertanian Melayu) atau MAS Kampung Baru yang kebetulan merupakan badan penyelia aktiviti di kampung ini mengikut tradisi kehidupan Melayu sejak diwartakan pada 1900.MAS diwujudkan untuk memindahkan Orang Melayu yang kebanyakannya menghuni di pinggir Sungai Gombak dan Sungai Kelang walaupun ketika itu mereka aktif dalam kegiatan perniagaan dan perlombongan kerana British berpendapat orang Melayu wajar bergiat dalam sektor pertanian.Pentadbiran British menegaskan bahawa penempatan di sebuah kampung khas akan memudahkan anak-anak Melayu menerima pendidikan dan mengambil bahagian dalam pentadbiran dan membolehkan penduduk menikmati sebahagian daripada kemewahan hidup masa itu.
AKTIVITI HARIAN RAPATKAN HUBUNGAN
Dengan jadual teratur itu, para penduduk mengenali satu sama lain di samping mengambil tahu pergaulan dan kegiatan masing-masing sehinggakan jika ada orang luar masuk atau anak gadis kampung diganggu, Orang Melayu Kampung Baru akan bersatu dan bertindak.Dari situlah wujudnya gelaran Gengster Kampung Baru, kata Shamsuri yang berusia, 57 tahun.Seramai 27 orang Melayu dicatatkan pada Januari 1900 memilih beberapa lot yang disediakan di Kampung Baru untuk dijadikan tempat tinggal mereka selepas Pentadbiran British pada asalnya memperuntuk 223 ekar (89.2 hektar) sebagai kawasan khas rizab perkampungan orang Melayu di Kuala Lumpur.Lembaga MAS ditubuhkan untuk mentadbir kampung ini dengan kuasa melulus dan menetapkan syarat-syarat pemberian lot rumah dan menyimpan butiran pertukaran, meluluskan pelan bangunan, menjalankan projek kecil dan mengawal ketenteraman penduduk."MAS juga berkuasa menyingkir penduduk yang ingkar atau tidak patuh akan peraturan dan dianggap berbahaya kepada masyarakat Kampung Baru," kata Shamsuri. Anggota lembaga MAS dilantik dari kalangan pegawai tinggi penjajah, dan kerabat diraja (Raja Muda Selangor pada asalnya menjadi Yang Dipertua) sehinggalah selepas Perang Dunia Kedua dan di bawah Jepun barulah beberapa orang penduduk Kampung Baru dilantik menganggotai lembaga itu.Tujuh buah kampung di dalam Kampung Baru secara rasmiya diwakili oleh tujuh orang di dalam lembaga berkenaan -- Kampung Masjid (asalnya sekitar Masjid Jamek Kampung Baharu), Kampung Periuk (asal namanya ada perusahaan periuk tanah di situ), Kampung Atas A dan Kampung Atas B (kawasan tanah tinggi), Kampung Pindah dan Kampung Paya (kawasan rendah dan berpaya) dan Kampung Hujung Pasir (kebanyakan penduduk berasal dari Kampung Hujung Pasir di Melaka).Beberapa buah kampung kecil seperti Kampung Manggis dan Kampung Sungai Baru turut digabungkan ke dalam Kampung Baru dan dituruti beberapa kampung setinggan, iaitu Kampung Limau, Kampung Chendana dan Kampung Paya Baru dan ini melebarkan keluasan Kampung Baru kepada kira-kira 121 hektar.
RUMPUN BANGSA BERGABUNG DI DALAM SATU KAMPUNG
Tijah Salim, misalnya, memilih untuk menduduki satu lot di Kampung Baru pada 1900 dan beliau membuat pilihan itu sebenarnya mengikut trend suku kaum tertentu yang datang menduduki kampung-kampung ini dari kalangan orang Melaka, Rawa, Minangkabau, Bugis, Mendeling dan Jawa.Orang Melaka dikatakan memilih kawasan paling strategik iaitu di Kampung Hujung Pasir manakala Kampung Paya menjadi tumpuan Orang Jawa dan masyarakat Minangkabau yang suka berniaga pula menduduki kawasan sekitar masjid di Jalan Raja Alang yang terkenal sebagai bermulanya Bazar Ramadan Kuala Lumpur sehingga merebaknya ke seluruh negara.Setiap penduduk memilih satu lot atau tidak lebih 0.2 hektar dan nama mereka direkodkan di dalam buku. Sebuah fail mengenainya dibuka dan semua rekod itu disimpan oleh lembaga itu sehinggalah sekarang.Fail 124, contohnya, mencatatkan nama Milap binti Pulau yang didaftar masuk pada 28 Julai 1903. Failnya kosong daripada catatan sehinggalah pada 1955, dia mahu membuat pertukaran nama pemilik tanah, maka lembaga ada merekodkan proses itu.Lembaga ini menggunakan kuasa di bawah peraturan atau undang-undang kecil MAS untuk menentukan penduduk kampung umpamanya, tidak meninggalkan tempat yang didiaminya lebih daripada tiga bulan tanpa izin lembaga atau mereka akan disingkirkan, memastikan hanya orang Melayu yang menetap di situ, meluluskan pembangunan atau ubahsuai rumah, menyelia aktiviti bercucuk tanam dan bersawah (yang enggan akan didenda), sekolah anak-anak Melayu, sakit, kematian dan sebagainya.
FAIL MENCATAT SEGALANYA
Di dalam fail pemilik lot tanah inilah dicatatkan segala-galanya, seperti urusan tukar hakmilik tanah, masalah keluarga, nasihat lembaga, perselisihan faham, kematian, kenduri kahwin dan sebagainya."Ada fail mengandungi laporan seperti jalan cerita sebuah drama," kata Shamsuri sambil menunjukkan fail-fail lama tulisan tangan yang tersimpan elok di Dewan Serbaguna Kampung Baru, di Jalan Hamzah, pejabat lembaga MAS kini.Apa tidaknya, jika seorang penduduk bernama Maznah misalnya, kematian suami, ia akan dicatatkan. Jika Maznah menukar nama pemilik harta pesaka atau ada anak angkat atau anak lelaki terlibat, akan direkodkan pertanyaan dan nasihat pembahagian harta yang diberikan lembaga kepadanya.Dan jika berlaku perselisihan faham dengan suaminya sebelum itu dan diadukan kepada ketua kampung, akan juga ditulis dan disimpan di dalam fail.Begitu juga sekiranya Maznah ada masalah dengan jiran, dan apabila perkara itu sampai ke pengetahuan ketua kampung, maka ia akan dilaporkan dan direkodkan dalam fail berkenaan.Pendek kata, laporan tulisan tangan ini memperinci segalanya, daripada masalah yang timbul hinggalah kepada proses penyelesaiannya.
ORANG MELAYU AMBIL ALIH LEMBAGA SELEPAS PERANG DUNIA KEDUA
Orang Melayu hanya mengambil alih lembaga pentadbiran MAS selepas Perang Dunia Kedua kerana sebelumnya kebanyakan anggotanya ialah pegawai Pentadbiran British.Tidaklah menghairankan apabila wujud nama-nama jalan sempena pegawai penjajah itu di Kampung Baru seperti Watson, Perkins, Hale dan Stoney.Lembaga akan bermesyuarat dua bulan sekali dan mengikut cerita John Hands, seorang daripada setiausaha kehormat lembaga itu, mesyuarat pertama lembaga itu diadakan pada 11 Mac 1900 dan dihadiri Raja Muda Selangor.Dalam beberapa mesyuaratnya selepas itu perbincangan bertumpu kepada perkara mengenai pembukaan padang permainan, pembinaan sekolah, jalan, masjid, mengupah tukang, pelantikan guru mengaji Quran, guru besar, penyaluran air, pemasangan lampu dan segala perbelanjaan yang berkaitan dengannya.Shamsuri kini tinggal di Jalan Raja Muda Musa, tanah asal datuknya di kawasan Pasar Minggu. Pasar Minggu pada asalnya dinamakan Saturday Fair, merupakan tempat tumpuan penduduk Jawa terutamanya, yang menjual hasil pertanian dan makanan mereka seperti keropok dan tapai.Sekolah untuk anak-anak Kampung Baru dari usia 5 hingga 12 tahun ditentukan oleh lembaga sementara kawasan kediaman hendaklah bersih dan petak bercucuk tanam mesti diusahakan.
WUJUD KESEDARAN POLITIK, IBU PEJABAT UMNO DI KAMPUNG BARU
Disebabkan eratnya para penduduk melalui aktiviti harian mereka, maka lahirlah beberapa persatuan di Kampung Baru seperti pada awalnya Persatuan Penduduk Melayu Minangkabau, Persatuan Anak Melaka dan Persatuan Peranakan Jawa dan kemudian beralih kepada persatuan sukan seperti Persatuan Seni Silat Cekak Kampong Bharu.Persatuan agama yang popular di Kampung Baru ketika itu ialah Persatuan Budi Pekerti Islam, antara persatuan yang pertama ditubuhkan.Kemudian perkembangan politik mempengaruhi penubuhan Ikatan Setia Kampong Bharu pada tahun 1946 sehinggalah anggotanya diserapkan ke dalam Umno Kampung Baru yang dikatakan memainkan peranan penting dalam Umno Malaya kerana ibu pejabat Umno terletak di sempadan kampung, di Jalan Tuanku Abdul Rahman.Persatuan Pembangunan Kampung Baru Kuala Lumpur (PPKB) dan Persatuan Anak Melayu Kampung Baru (Pakam) hanya ditubuhkan beberapa dekad kemudian, iaitu pada 1994 untuk memperjuang isu pembangunan kampung ini.Dalam pengkisahannya, Hands turut menceritakan bahawa lembaga pentadbiran MAS dari semasa ke semasa meluluskan beberapa undang-undang kecil mengikut keperluan, seperti melarang penyewaan rumah oleh penduduk tanpa kebenaran lembaga, tidak membenarkan mengupah pekerja bukan Melayu dan melarang penternakan lembu, kambing dan lain-lain.Penduduk kampung juga tidak dibenarkan melebarkan atau mengubahsuai rumah mereka tanpa kebenaran lembaga dan jika lembaga itu mendapati kelakuan atau kehidupan seseorang penduduknya bertentangan dengan tujuan baik petempatan itu dibuka, individu berkenaan boleh dihukum diusir keluar.
PERKEMBANGAN DI KAMPUNG BARU
Shamsuri berkata lembaga itu kini masih menguruskan hal ehwal urusan tanah dan sebagainya untuk penduduk ini, dalam dalam kalangan penduduk asal, mereka mengenali satu sama lain kerana masing-masing kebanyakannya ada talian kekeluargaan.Mantan Timbalan Menteri Penerangan dan Ketua Umno Bahagian Titiwangsa yang juga bekas anggota Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed dalam bukunya mengenai sejarah Kampung Baru pada 1999, menulis bahawa kampung itu menempuh tiga tahap perkembangan:Tahap Pertama bermula dengan penubuhannya sebagai perkampungan Melayu pada abad ke-20 manakala Tahap Kedua pula ketika berakhirnya zaman penjajahan dan negara merdeka pada 1957 dan Kampung Baru sudah menjadi kawasan kediaman Melayu yang kukuh. Tahap Ketiga apabila ia termasuk ke dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan ditadbir secara langsung oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.Lembaga MAS ketika itu menghantar memorandum menyatakan kebimbangannya Kampung Baru tidak akan dapat dipertahan sebagai satu-satunya kawasan entiti Melayu di pusat bandar Kuala Lumpur dan mendesak kampung setinggan Melayu yang terbentuk berhampirannya, seperti Kampung Chendana dan Kampung Limau turut tidak diketepikan.
TRANSFORMASI SOSIAL MELAYU BANDAR
Dr Suleiman menceritakan tujuan asal Pentadbiran British menempatkan orang Melayu di Kampung Baru, sebuah kawasan terbiar yang semak samun, sebenarnya ialah kerana mereka mahu mengenepikan orang Melayu daripada kegiatan kehidupan bandar seperti perlombongan dan perniagaan.Orang Melayu ketika itu ramai di Jalan Pudu dan Jalan Melayu atau tertumpu di sekitar kawasan pertemuan dua sungai - Sungai Gombak dan Sungai Kelang yang akhirnya membentuk nadi Kuala Lumpur.Sebuah daripada masjid sebagai mercu tanda orang Melayu menetap di tengah-tengah Kuala Lumpur ialah di Jalan Melayu/Masjid India dan sebuah istana di kawasan Bukti Nenas.Dr Suleiman yang membuat penyelidikan mengenai Kampung Baru dalam tesis "Transformasi Sosial Melayu Bandar" untuk ijazah Doktor Falsafahnya (Ph.D) pada 1999, menyatakan British memujuk Sultan Selangor Sultan Sulaiman ketika itu untuk menganugerahkan tanah di pinggir kota bagi petempatan Kampung Baru."Ironinya, daripada tujuan untuk meminggirkan Orang Melayu ketika itu, kini Kampung Baru muncul sebagai petempatan di tengah-tengah ibu kota," kata beliau dalam satu temu bual.Arus pembangunan menyaksikan kampung ini kini berada di tengah-tengah bandar raya, bersebelahan kawasan segi tiga emas.
PERUBAHAN DI KAMPUNG BARU
Perubahan sebenar kehidupan di Kampung Baru tercetus selepas pelancaran Dasar Ekonomi Baru ekoran rusuhan kaum yang turut melibatkan kampung ini. Dari sini bermulanya peningkatan penyertaan orang Melayu di dalam pelbagai sektor ekonomi negara sehingga menggalakkan kedatangan orang Melayu ke Kuala Lumpur dan Kampung Baru dibanjiri mereka dari serata pelusuk tanah air.Kini 60 peratus daripada 45,000 penduduk Kampung Baru (bancian tahun 2000) bukan lagi penduduk asal, dan amalan regim rutin harian secara teratur di awal pembukaannya, terhakis ditelan zaman.Pun begitu, jika kita menjejak kaki ke Dewan Serbaguna Kampung Baru, masih ada aktiviti yang diuruskan lembaga MAS untuk penduduk kampung.Contohnya sempena Hari Wilayah 1 Feb, mereka menganjurkan pertandingan dam haji dan congkak besar-besaran, dan sebagai persediaan, sekumpulan anak remaja Kampung Baru berkumpul di sini membantu membuat beratus-ratus "buah dam" dan mengisi guli buah congkak di dalam bekas.
-- BERNAMA

04 Februari 2009

Amal Cara Hidup Kampung (petikan akhbar Kosmo)

Meskipun Kampung Baru dihimpit dengan pembangunan yang pesat, namun para penduduknya hidup bermuafakat.





WARGA Kampung Baru masih mengamalkan

cara hidup bergotong-royong dan bermuafakat.


Di sebalik arus moden yang menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya kelas pertama, terdapat sebuah perkampungan tradisional Melayu yang masih wujud di sebalik deretan bangunan pencakar langit. Kawasan perkampungan seluas hampir 250 ekar itu merupakan salah satu kawasan tanah paling bernilai di ibu negara yang dianggarkan mencecah RM5.16 bilion jika mahu dibangunkan. Itulah keunikan Kampung Baru yang telah menjadi saksi terhadap pembangunan yang dilaksanakan di Kuala Lumpur sejak beberapa dekad lalu.

KAMPUNG BARU menjadi saksi 35 tahun berdirinya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Seorang penduduk, Aminah Martaji, 64, berkata, dia berbangga menjadi warga Kampung Baru yang mempunyai keistimewaan tersendiri meskipun kawasan tersebut semakin dihimpit pembangunan yang pesat.
"Walaupun terletak di kawasan bandar, tapi rata-rata penduduk di sini masih mengamalkan gaya hidup kampung seperti bergotong-royong dalam mengadakan majlis kenduri kahwin, sentiasa bertegur sapa sesama jiran dan mengambil berat antara satu sama lain.
"Tidak seperti sesetengah kawasan perumahan atau kejiranan di Kuala Lumpur yang penghuninya langsung tidak mengenali sesama mereka dan tidak pernah bertegur sapa walaupun duduk sebelah-menyebelah.





"Itulah antara kelebihan warga Kampung Baru yang kebanyakannya merupakan anak jati Kuala Lumpur," ujar Aminah, ibu kepada empat orang anak yang memang dilahirkan dan dibesarkan di kawasan tersebut.
Justeru, Aminah berharap agar keharmonian warga Kampung Baru akan terus kekal tanpa diganggu gugat oleh anasir-anasir negatif yang boleh memecah-belahkan masyarakat di sana.

Jika diimbas sejarahnya, Kampung Baru telah diwartakan sebagai Penempatan Pertanian Melayu pada tahun 1900 oleh pentadbir Kolonial British bagi membolehkan kaum Melayu mengekalkan cara hidup kampung di kawasan bandar.
Sejak itu, Kampung Baru telah menjadi lebih daripada sebuah kampung. Keberaniannya menentang pembangunan dan kehidupan moden bandar telah mengubah kampung itu sebagai simbol politik budaya Melayu.
Sementara itu, Bakri Kassim, 66, pula menjelaskan, penduduk di Kampung Baru tidak menolak projek pembangunan di kawasan mereka, tetapi sebaliknya ia perlu dilakukan dengan cara berhemah dan sistematik.
"Kemajuan memang penting untuk membangunkan sesebuah negara, namun setiap projek yang mahu dilaksanakan haruslah mengambil kira kebaikan dan keburukannya di kalangan penduduk.
"Jika sesuatu projek itu hanya mementingkan sebelah pihak sahaja, maka ia tidak adil buat kami. Yang penting, semua pihak harus sama-sama mengecapi nikmat kemajuan yang dilaksanakan seiring dengan matlamat membangunkan bandar raya Kuala Lumpur.
"Di samping itu, kami juga tidak mahu kehilangan hak ketuanan ke atas tanah yang telah diwarisi turun-temurun daripada orang tua kami," kata Bakri yang mula menetap di Kampung Baru sejak tahun 1949. Bagi Khalid Abd. Rashid pula, Kampung Baru sememangnya satu lokasi paling ideal untuk orang ramai menikmati pelbagai jenis makanan yang ditawarkan.
"Sebut sahaja apa jua jenis makanan yang hendak dicuba atau dirasa, semuanya boleh didapati di sini. Daripada makanan masyarakat pantai timur seperti nasi dagang atau tom yam sehinggalah makanan barat seperti stik, chicken chop mahu pun spageti. Semuanya ada," tutur Khalid yang mengakui seronok menjalani kehidupan di Kampung Baru. - KHADIJAH MOHAMAD NOR




http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0202&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Seumpama Dua Darjat (petikan akhbar Kosmo) Bhg 1


Pembangunan di Kampung Baru, Kuala Lumpur mula digerakkan sejak tahun 1975. Namun sehingga kini, ia menemui jalan buntu.

Pembangunan Kampung Baru, warisan Melayu di tengah-tengah ibu kota metropolitan Kuala Lumpur bergerak perlahan sejak dibuka pada tahun 1899. Ia berlaku disebabkan pelbagai faktor, antaranya kerenah birokrasi usang dan sikap penduduk. Bagaimanapun, harapan baru muncul dengan cadangan transformasi kampung tersebut. Menyorot kembali usaha pembangunan Kampung Baru, ia bukanlah satu kisah pendek. Sekiranya dibandingkan kerancakan pembangunan di kawasan itu dengan jirannya di sebalik sempadan bersama, terutama Sungai Kelang, ia sangat berbeza.

Kampung Baru terletak di bahagian utara pusat bandar raya yang disempadani Jalan Raja Muda Abdul Aziz di utara, Jalan Tun Razak di timur, Jalan Dang Wangi, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh) dan Sungai Kelang di selatan serta Jalan Tuanku Abdul Rahman di sebelah barat. Sebagai contoh, menara kembar yang paling tinggi di dunia terletak hanya satu kilometer dari kampung itu. Ironinya, masjid, deretan kedai, kelompok rumah dan pelbagai lagi tidak kelihatan berubah seperti mana Kampung Baru mula dibuka pada tahun 1899 dan digazetkan setahun kemudian. Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan seakan-akan wujud dua darjat di antara Kampung Baru dan kawasan sekelilingnya.

Tujuh kampung utama

Kampung Baru yang seluas 90.35 hektar (225.89 ekar) terdiri daripada tujuh buah kampung iaitu Kampung Hujung Pasir, Kampung Pindah, Kampung Periuk, Kampung Paya, Kampung Masjid, Kampung Atas A dan Kampung Atas B. Saiz perkampungan membesar selepas beberapa kampung kecil turut dirangkumkan ke dalam Kampung Baru seperti Kampung Manggis dan Kampung Sungai Baru dan kemudian disertai perkampungan yang ditakrifkan setinggan sebelum ini, iaitu Kampung Limau, Kampung Chendana dan Kampung Paya Baru.

Terdapat tiga kategori tanah milik Melayu wujud di Kampung Baru iaitu Tanah Simpanan Melayu, Tanah Simpanan Pertanian Melayu dan Tanah Melayu Diberi Milik. Dahulu pernah terdengar jenaka bahawa yang berubah di Kampung Baru hanyalah nama-nama jalannya, sedangkan kampung itu masih lagi seadanya. Apa tidaknya, Hale Road yang dinamakan sempena seorang pentadbir British pada zaman penjajah kini dikenali dengan nama Jalan Raja Abdullah manakala Jalan Raja Muda Abdul Aziz yang merentangi Kampung Baru dahulunya ialah Princess Road dan Jalan Haji Yahya Sheikh Ahmad pernah bergelar Jalan Watson.

Membangunkan kampung baru

Usaha pertama untuk membangunkan Kampung Baru bermula pada tahun 1975 dengan menyatukan pelbagai lot kecil tetapi langkah itu tidak mendapat sambutan dan 10 tahun kemudian, DBKL mengemukakan pelan konsep pembangunan dengan tujuan mengelakkan pemilik individu membangunkan tanah mereka secara persendirian. Setelah lama menyepi, khabar angin mengenai pembangunan Kampung Baru hangat diperkatakan semula pada 1991, susulan lawatan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri (Tun) Dr. Mahathir Mohamad bersama rombongannya, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Bandar Kuala Lumpur, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Datuk Dr. Suleiman Mohamed yang ketika itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilantik mengetuai jawatankuasa pembangunan semula Kampung Baru, turut mengiringi beliau. Beberapa siri pertemuan dengan penduduk seramai 1,923 orang diadakan, tetapi usaha tiga tahun Suleiman gagal, berpunca daripada pelbagai masalah tuntutan pembangunan, hak milik beramai, kos dan pentadbiran tanah dan sebagainya. Ekoran itu, pelbagai aktiviti cuba diusahakan sama ada secara bersendirian atau berkumpulan tetapi kesemuanya menghadapi jalan buntu akibat masalah kos pengambilan balik tanah.

Pelan Tempatan Kampung Baru yang diarah dikeluarkan DBKL pada 1992 sehingga kini tidak diketahui umum bentuknya sehinggalah Draf Kuala Lumpur 2020 Pelan Bandar Raya yang melibatkan Kampung Baru di dalam Jilid 4 dibentangkan pada tahun lalu. Penduduk tubuh persatuan Persatuan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) dan Persatuan Kebajikan Anak-anak Melayu Kampung Baru (Pakam) dalam memorandum mereka pada 1994 turut menyenaraikan beberapa masalah yang timbul dalam perancangan membangunkan Kampung Baru. Ketika itu wujud kumpulan pemilik tanah yang mendesak kerajaan membayar pampasan yang terlalu tinggi dan tidak munasabah dari segi harga pasaran dan penyewaan. Ada pula pihak yang menangguk di air keruh dengan mempengaruhi tuan tanah supaya menyerahkan kuasa menguruskan tanah sehingga berlaku penipuan.

Tidak kurang juga yang mencari populariti memperjuangkan isu Kampung Baru sehingga menampakkan suara pemilik tanah dan tujuan kerajaan tidak sekata. Menurut PPKB dan Pakam, selepas mengadakan beberapa mesyuarat dengan anggota mereka ketika itu, rata-rata penduduk Kampung Baru yang mempunyai kepentingan hartanah dan perniagaan menyokong rancangan untuk membangunkan Kampung Baru dengan syarat pihak berkenaan mengambil kira masalah yang dihadapi mereka dan memenuhi harapan mereka yang munasabah. Mereka tidak mahu berulangnya peristiwa perpindahan orang Melayu dari Sungai Gombak dan Sungai Kelang ke Kampung Baru atas alasan pembangunan, mengakibatkan hampir pupus orang Melayu yang bermastautin di bandar raya Kuala Lumpur.

Jika tidak mencapai kata putus yang adil, kata mereka, Kampung Baru akan terus kekal sebagai dua darjat dengan kawasan di sekitarnya.

- Bernama

03 Februari 2009

PEMBANGUNAN KAMPUNG BARU (petikan akhbar metro)


Penduduk asal bimbang terpinggir


KUALA LUMPUR: Berkali-kali mereka menyatakan tidak menolak mahupun membangkang pembangunan di Kampung Baru sebaliknya mahukan hak dan keistimewaan selaku penduduk asal diiktiraf sekali gus tidak diabaikan.Apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique menyebut kembali perihal pembangunan di kampung itu dijalankan menerusi pelan dirancang sebelum ini, selaras Hari Wilayah Persekutuan, penduduk hanya mampu senyum sambil berharap.Harapan mereka supaya kerja menaik taraf dan membangunkan kampung itu mengikut keperluan serta tidak mengabaikan kebajikan penduduk mendiami perkampungan itu sejak puluhan tahun lamanya selain warisan turun-temurun.Wakil penduduk Kampung Paya yang juga Ahli Jemaah Lembaga Pentadbir Rizab Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Adam Sahat, berkata Kampung Baru dihuni pelbagai peringkat masyarakat terbahagi tujuh kampung kecil.


Keunikan pecahan tujuh kampung kecil ini dalam kawasan Kampung Baru pun mempunyai sejarah tersendiri sekali gus mengkelaskan penduduk di sini mengikut kategori masing-masing bermula ketika zaman pembentukannya lagi.“Sebab itu apabila kerajaan mahu membangunkan Kampung Baru, pendapat penduduk di sini bercampur-baur kerana ada memahami mesej sebenar sebalik pembangunan itu manakala, selebihnya kurang senang kerana tidak mahu kehilangan hak.“Tapi keseluruhannya penduduk di sini sedar pembangunan perlu dan tidak menolaknya tetapi mereka mahu dikekalkan keunikan tradisi sebagai perkampungan Melayu tertua, selain penduduk diberi pilihan membangunkan sendiri kampung mereka,” katanya. Bagi Timbalan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Peniaga dan Kebajikan Pasar Minggu Kampung Baru, Mohamad Nadzri Abdul Hamid, penerangan mengenai proses pembangunan secara menyeluruh perlu dilakukan pihak bertanggungjawab.Ini kerana katanya, penduduk dan peniaga masih kabur mengenai rancangan membangunkan kawasan itu, malah sejak menghantar aduan serta pandangan beberapa bulan lalu, mereka belum lagi dipanggil sesi pendengaran umum seperti dijanjikan.“Kita mahukan yang terbaik di Kampung Baru kerana ini satu-satunya penempatan orang Melayu yang masih bertahan di ibu kota, sebab itu enggan ia dicemari pembangunan tidak wajar apatah lagi yang boleh meminggirkan penduduk asal. “Justeru, saya berharap kerajaan menerusi kementerian bertanggungjawab mengambilkira keperluan penduduk ketika merancang selain membuka ruang berbincang mengenai pembangunan di sini. Jangan buat diam saja,” katanya yang juga generasi ketiga di Kampung Baru.Kaslan Ahmad yang sudah 55 tahun menghuni Kampung Baru berkata, dia tidak mengimpikan pembangunan drastik, sebaliknya cukup sekadar menaik taraf kedudukan kampung itu mengikut pandangan dan pendapat penghuninya.

Temuramah Khas Sempena Hari Wilayah Persekutuan

PUTRAJAYA, 29 Jan (Bernama) -- Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bakal menyambut sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang ke-35 pada 1 Feb ini.Bagi Datuk Seri Zulhasnan Rafique, 14 Feb ini genap tiga tahun beliau menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan yang dihidupkan kembali selepas Mac 2004.Sejak dilantik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, Zulhasnan dilihat telah berjaya memberikan satu identiti, imej dan inspirasi kepada Wilayah Persekutuan serta sambutan Hari Wilayah Persekutuan, di samping melakukan banyak perubahan dan pembaharuan selaras dengan wawasannya menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai sebuah negeri yang Maju dan Sejahtera, seiring dengan nama lagu rasmi Wilayah Persekutuan.Sambutan tahun lepas pula mencipta satu lagi sejarah apabila buat pertama kali, darjah dan pingat kebesaran dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong sempena Hari Wilayah Persekutuan.Berikut wawancara Bernama dengan Zulhasnan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.
Soalan : Sejauh mana Datuk Seri melihat kemajuan dan pencapaian di Wilayah Persekutuan dalam tempoh masa setahun ini ?
Jawapan : Seperti yang kita sedia maklum, Kementerian Wilayah Persekutuan dihidupkan semula selepas tahun 2004. Dan kementerian ini memang mempunyai sejarah dan keunikannya tersendiri dari tahun 1978 hingga 1987.Sebelum saya menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, sebagai seorang Timbalan Menteri Wilayah Persekutujan saya telah memberikan kerjasama dan sokongan penuh kepada Tan Sri Isa Samad dan Datuk Seri Shahrizat Jalil (yang memangku selama tiga bulan).Apabila saya dilantik sebagai menterinya pada tahun 2006, langkah pertama yang saya buat ialah untuk merakyatkan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan melibatkan penyertaan semua pihak. Di samping itu saya juga mengambil langkah untuk menjenamakan semula Kementerian Wilayah Persekutuan melalui proses identiti kepada Wilayah Persekutuan.Walaupun peranan Kementerian Wilayah Persekutuan ialah untuk menggubal dasar serta menangani isu-isu semasa yang serius tetapi saya membuat keputusan untuk mendengar suara semua pihak sebelum membuat sebarang proses penambahbaikan di kementerian.Di sinilah saya ketengahkan pendekatan "retreat" pada tahun 2006. Saya tidak percaya kepada kaedah buat sesuatu dasar baru dengan sesuka hati. Kita perlu mendengar suara, isi hati, pandangan, komen serta teguran dari semua pihak yang terbabit sebelum menggubal sesuatu dasar baru. Sebanyak 15 program retreat berjaya dianjurkan termasuk retreat pembangunan penjaja, dasar penjualan rumah PPR, pembangunan sukan, memperkasakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan lain-lain dalam usaha untuk merakyatkan Kementerian Wilayah Persekutuan.
S: Apa yang dimaksudkan dengan identiti baru kepada Wilayah Persekutuan ?
J: Sebelum ini, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mempunyai bendera dan lagu masing-masing. Saya nampak ianya tidak mencerminkan satu semangat kuat kepada Wilayah Persekutuan. Maka kita melancarkan bendera baru Wilayah Persekutuan dan lagunya pada 20 Ogos 2006.Pelancarannya disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong. Dengan adanya bendera Wilayah dan lagunya, kita bukan sahaja dapat memberikan satu imej dan identiti kepada Wilayah Persekutuan malah langkah tersebut telah memperkukuhkan lagi semangat "Wilayah Persekutuan" di kalangan warga kota Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.Kini bendera Wilayah Persekutuan berkibar megah di premis kerajaan, sekolah, bangunan-bangunan swasta dan banyak tempat lagi. Malah sejak tahun 2006 ketiga-tiga Wilayah bernaung dan berjuang di bawah satu bendera.Lagu rasmi Wilayah - Maju dan Sejahtera juga berkumandang dengan penuh perkasa di majlis-majlis rasmi kerajaan dan juga di sekolah. Kini warga kota sudah memiliki sentimen dan semangat anak Wilayah Persekutuan.Semasa hari Wilayah Persekutuan, identiti inilah menggambarkan semangat sebenar Wilayah Persekutuan. Kalau tak ada identiti ianya bagaikan tidak bermakna. Kita dah ada semangat anak Wilayah sekarang.
S: Apakah cabaran semasa ataupun harian di Wilayah Persekutuan? Masalah setinggan macam mana?
J: Kuala Lumpur menjadi pintu gerbang utama bukan sahaja untuk pelancong tapi juga untuk rakyat tempatan. Ramai datang ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan menyara hidup. Mereka datang dari seluruh negeri dari Malaysia.Kita mempunyai 13 kawasan parlimen di Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya dan Labuan. Setiap kawasan parlimen mempunyai permasalahan dan fenomenanya tersendiri. Dulu Kuala Lumpur mempunyai kawasan setinggan. Kini kita mengambil langkah membina rumah - rumah PPR untuk memindahkan mereka melalui proses pemindahan setinggan.Pada bulan Jun 2007, Perdana Menteri Datuk Seri Abdulllah Ahmad Badawi mengumumkan dengan rasminya usaha penjualan 15,007 unit rumah PPR yang dibangunkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara dengan harga RM35,000 setiap satu.Wilayah Persekutuan menjadi negeri pertama mengambil langkah tersebut bagi memberikan satu kehidupan baru kepada warga kota Kuala Lumpur.Saya masih ingat lagi peristiwa tersebut apabila Perdana Menteri umumkan dalam satu majlis perjumpaan di PPR Intan Baiduri di kawasan Parlimen Batu, penduduk yang hadir bangun lantas memberikan sorakan gemuruh.
S: Sejauh mana proses pemindahan setinggan di Kuala Lumpur yang Datuk Seri sendiri banyak mengambil berat tentangnya?
J: Dulu memang ramai tidak mahu berpindah kerana mereka telah tinggal lama di kawasan setinggan. Namun kita mahu memberikan satu kehidupan baru melalui skim pembelian rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada mereka.Sejak tahun 1999, hampir 16,000 keluarga telah pindah ke rumah PPR. Bilangan yang tidak pindah tidak banyak. Kami sedang mengambil langkah-langkah terbaik untuk memindahkan mereka dalam satu suasana aman dan damai.Sasaran setinggan sifar 2009 hanya dapat dicapai melalui kerjasama semua penduduk. Sementara itu, pada bulan Februari 2008, saya telah mengumumkan mekanisme dan syarat-syarat penjualan 15,000 unit rumah PPR yang dibangunkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara. Setelah itu, DBKL telah turun padang buat sesi penerangan berhubung perkara tersebut bersama penduduk PPR di samping membuat proses pendaftaran.Kini kaedah penjualannya dan garis panduannya sedang dirangka oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Hampir selesai.Kementerian Wilayah Persekutuan melalui DBKL akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Perumahan sebelum mengumumkanya secara rasmi.Saya kena akui , menangani isu setinggan merupakan satu tanggungjawab yang penting Insyallah, impian saya untuk memberikan satu penempatan yang lebih baik dan selesa untuk warga kota melalui skim beli ini bakal dimanfaatkan secara baik oleh warga kota. Malah sewa rumah PPR juga hanya RM124. Paling murah sekali di dunia ditambahkan, kemudahan dua bilik air dan tiga bilik.
S: Wilayah Persekutuan mempunyai 13 kawasan Parlimen. Namun pilihan raya umum ke-12 yang lepas, hanya Datuk Seri seorang sahaja calon Barisan Nasional yang menang di Kuala Lumpur.Kini Kuala Lumpur diwakili oleh 10 wakil dari Pakatan Rakyat. Bagaimana cabarannya?
J: Wilayah Persekutuan berada di bawah kerajaan Persekutuan. Dan saya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan sentiasa mengambil pendekatan mendengar " suara pihak pembangkang" sejak dulu lagi.Sebelum PRU 12, apabila ketika itu, Kuala Lumpur mempunyai empat wakil dari pihak pembangkang pun, saya mengambil langkah yang sama, termasuk saya juga dengar suara dan rintihan wakil dari komponen BN dulu dan sekarang.Yang penting kita bekerja dan berkhidmat untuk rakyat. Saya sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan dan kritikan dengan hati yang terbuka.Saya berpegang kepada prinsip "mendengar rintihan dan pandangan sebelum bertindak". Saya tidak mempunyai sebarang masalah. Yang penting, kita menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada kita dengan cekap.S: Selepas PRU 12 , walaupun KL dikuasai oleh Pakatan Rakyat, Datuk Seri dilihat dapat menanganinya dengan tenang dan berani walaupun keseorangan di Parlimen sebagai wakil rakyat dari BN. Apa pendapat Datuk Seri?J: Kita perlu utamakan tugas dan tanggungjawab kita. Saya menjawab segala soalan yang dibangkitkan oleh pihak pembangkang di Parlimen.Pelbagai isu dibangkitkan. Kita jawab secara rasional dan tidak melindungi apa-apa. Kita amalkan dasar terbuka. Adakalanya kita berjumpa semasa di sesi Parlimen dan membincangkan isu-isu tertentu. Saya percaya kalau kita adakan hubungan dua hala, sudah tentu isu-isu yang dibangkitkan dapat diselesaikan dengan baik.Saya berpegang kepada amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada saya.
S: Apabila penukaran nama Jalan Alor menjadi panas tahun lepas sehingga Datuk Seri campur tangan. Apakah mesej yang Datuk Seri terima melalui isu tersebut?
J: Saya telah mengarahkan kepada DBKL untuk merujuk kepada saya ataupun Kementerian Wilayah Persekutuan sekiranya ada rancangan penukaran nama untuk jalan-jalan tertentu pada masa depan.Dalam isu ini juga, saya mendengar suara dan rintihan daripada masyarakat setempat, pelancong serta DBKL sebelum membuat keputusan untuk mengekalkan nama tersebut.Apabila sesuatu kawasan sudah popular dan mempunyai identiti mahupun di persada tempatan dan antarabangsa, kita perlu kekalkan namanya untuk kebaikan semua pihak.
S: Datuk Seri dikatakan ada kalanya mempunyai kaedah turun padang tanpa media. Boleh terangkan?
J: Kalau saya ada masa, saya akan meronda sekitar Kuala Lumpur untuk meninjau keadaan persekitaran. Melalui pendekatan ini saya percaya kita dapat mencari banyak fakta. Kadang-kadang saya turun padang tanpa media bagi melengkapkan misi mencari fakta. Kita perlu fahami dan mendalami segala isu. Saya percaya kepada konsep ini.
S: Baru-baru ini Datuk Seri berkata terdapat lebih 16 kementerian, 30 agensi atau jabatan di bawah lima pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kaitan dalam hal perancangan dan pembangunan Kuala Lumpur. Boleh jelaskan?
J: Pada masa ini orang ramai mengganggap bahawa DBKL mempunyai kawalan dan bertanggungjawab dalam hal ehwal pengurusan dan pentadbiran di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Tetapi hakikat yang sebenar ialah sebahagian daripada fungsi tersebut berada di bawah bidang kuasa perundangan dan tanggungjawab pelbagai agensi Kementerian dan agensi kerajaan yang berkenaan. Sebagai contoh, DBKL bertangungjawab membina stesen teksi dan bas tetapi laluan bas diputuskan oleh Kementerian Pengangkutan.Lesen bas di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan dan Kementerian Pengangkutan. Kementerian Kerja Raya mengendalikan jalan. Perumahan di bawah Kementerian Perumahan. Sungai di bawah Kementerian Sumber Asli. Satu lagi isu pula ialah dalam menangani gejala sosial dan jenayah seperti kebanjiran warga asing, kutu rayau, pelacuran dan penagihan dadah, DBKL sebagai PBT hanya dapat lakukan dua perkara sahaja iaitu memantau keadaan tersebut serta mengawal pengeluaran lesen dan aktiviti perniagaan.DBKL sebagai PBT tidak diperuntukkan kuasa undang-undang untuk menangkap dan menahan kerana PBT hanya mempunyai kuasa penyelarasan. Inilah dilema di Kuala Lumpur. Warga kota mungkin tidak tahu mengenai senario ini.Sekiranya ada percanggahan kuasa dalam menjalankan tugas amat sukar untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Sebagai PBT yang paling besar di Malaysia , DBKL mempunyai tanggungjawab paling besar di Kuala Lumpur.
S : Bagaimana kita dapat mengatasi dilema ini?
J: Sekiranya Kuala Lumpur mahu menjadi sebuah bandar raya maju dan kelas pertama di dunia menjelang tahun 2020 kita perlu terapkan pendekatan Pengurusan Bandar Raya Moden di Kuala Lumpur. Sebagai langkah pertama mencapai visi tersebut, Kementerian Wilayah Persekutuan telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan bagi penambahbaikan system penyampaian perkhidmatan di Kuala Lumpur dalam usaha menjadikanya sebagai bandar raya kelas pertama menjelang tahun 2020.Visi menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang maju di dunia tidak dapat dicapai dengan sekadar mencantikkan Kuala Lumpur dan tanam pokok sahaja.Kita perlu belajar banyak aspek dari bandar raya maju dunia. Kita perlu serius. Justeru, bagi memenuhi hasrat tersebut Kementerian telah melakukan lawatan ke Singapura, Shanghai, Tokyo, Seoul, London, Berlin dan Vancouver untuk mengkaji bagaimana aspek-aspek perundangan, pentadbiran dan pengurusan semua bandar raya itu diselaraskan. Ini bukannya lawatan "syok sendiri".Kalau kita betul-betul nak majukan Kuala Lumpur, kita perlu belajar dari bandar raya maju. Pendedahan seperti ini amat berguna untuk kita ketengahkan di Kuala Lumpur.Kami mendapati PBT di bandar raya terbabit diberikan peruntukan kuasa dan bidang tugas yang lebih dan menyeluruh. Ini berbeza dengan PBT di Malaysia kerana di dalam kawasan pentadbiranya, sebahagian besar daripada kuasa dan bidang tugas berada di bawah peranan dan tanggungjawab kementerian dan agensi kerajaan yang lain, contohnya, pengangkutan awam, banjir, pelancongan dan lain-lain lagi.
S: Datuk Seri yakin masalah tersebut dapat diatasi?
J: Kita telah menubuhkan jawatankuasa khas pengurusan bandar raya moden. Baru-baru ini kita menganjurkan satu bengkel bertajuk Ke Arah Pengurusan dan Penyelarasan Berkesan Bandar Raya Moden dan Mapan.Segala cadangan dan input akan diperhalusi sebelum dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat ini. Ini memang satu perkara penting yang perlu diberi perhatian untuk masa depan Kuala Lumpur.
S: Bagaimana dengan pembangunan di Putrajaya dan Labuan?
J: Walaupun Putrajaya dilihat sebagai mercutanda pusat pentadbiran negara, Perbadanan Putrajaya sedang mengambil pelbagai langkah dan usaha untuk menjadikannya sebagai pusat komersil selain pusat kecemerlangan sukan eskstrem dan sukan air.Malah Putrajaya juga mempunyai gelanggang sukan ekuestrian bertaraf antarabangsa. Selain itu, Putrajaya juga popular sebagai "bandar raya bunga" dengan penganjuran Pesta Flora yang diadakan tahun lepas yang berjaya mengetengahkan nama Putrajaya di peringkat antarabangsa.Labuan pula bergerak maju dengan pembinaan pusat hab halal dengan kos RM50 juta daripada kerajaan persekutuan. Selain menjadi pusat minyak dan gas, Labuan juga tersohor dengan pusat kecemerlangan pendidikan dan bebas cukai.
S: Apakah cabaran utama di peringkat PBT? Adakah Datuk Seri berpuas hati dengan tanggungjawab PBT?
J: Saya amat puas hati dengan tugas dan tanggungjawab pihak PBT di ketiga-tiga wilayah khususnya di Kuala Lumpur. Masalah utama di Kuala Lumpur ialah masalah trafik, banjir dan kebersihan. Apa yang penting bagi PBT ialah bertindak segera apabila menerima aduan dari rakyat. PBT perlu memperkasakan sistem penyampaian. Inilah skop yang paling penting.Saya juga telah mengilhamkan konsep "One Stop Centre" di ketiga-tiga wilayah bagi memudahkan urusan warga kota. Ini juga merupakan salah satu cara kita mempertingkatkan sistem penyampaian.Datuk Bandar Kuala Lumpur boleh mengemukakan cadangan untuk mempertingkatkan lagi sistem penyampaian di Kuala Lumpur.
S: Kita nampak semasa Pelan Deraf KL 2020 dibentangkan, banyak suara protes. Apa komen Datuk Seri?
J: Mungkin warga kota tersilap pandang dan menganggap deraf tersebut sudah diputuskan. Ia hanya deraf. Kerana itulah kita menamakanya pelan deraf pembangunan Kuala Lumpur. Ketika ini ianya berada di proses pendengaran dari orang awam, persatuan penduduk dan NGO.Kita mensasarkan bulan Jun 2009 dapat selesaikan sesi pendengaran. Namun saya boleh melanjutkan lagi tempoh sesi pendengaran tersebut sekiranya kita mendapat maklum balas yang baik dari warga kota. Yang penting inilah peluang untuk warga kota bersuara. Saya mengalu-alukan dengan hati yang terbuka sebarang bantahan, kritikan, cadangan, komen dan sebagainya.Barulah kita dapat bekerja sebagai satu pasukan secara bersama untuk membentuk satu pelan tempatan Kuala Lumpur 2020. Saya memberi jaminan suara warga kota akan diberikan keutamaan. Inilah masa untuk warga kota kemukakan cadangan dan bantahan mereka. Kawasan Hijau juga akan diberi perhatian seperti mana kita telah gazetkan sebahagian Bukit Kiara sebagai pusat rekreasi ala Hyde Park di London.
S: Bagaimana dengan pelan pembangunan Kampung Baru di Kuala Lumpur?
J: Kali ini pelan pembangunan Kampung Baru telah dimasukkan sekali sebagai salah satu deraf berasingan dalam deraf pelan pembangunan Kuala Lumpur 2020.Ini merupakan satu usaha yang telah diambil oleh pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama DBKL. Banyak usaha telah diambil oleh pihak kementerian untuk membangunkan Kampung Baru termasuk membantu penduduk setempat mengenal pasti masalah mereka seperti geran, waris dan sebagainya.Sesi penerangan juga telah diadakan beberapa kali. Sekiranya pelan pembangunan Kampung Baru ini diterima ianya bukan sahaja bakal melakar satu sejarah tetapi akan menepati visi memperkasakan Melayu bandar. Apapun ianya terpulang kepada penduduk setempat untuk menerimanya ataupun sebaliknya. Sekiranya pelan ini diterima, ianya akan dibangunkan oleh kerajaan menerusi pembentukan Perbadanan Kampung Baru.
S: Warga kota yang tinggal di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mahukan bandar raya kita menjadi kelas dunia. Apa peranan mereka?
J: Warga kotalah yang perlu memainkan peranan utama sekiranya kita mahu bandar raya kita bertaraf dunia. Mereka juga kena faham definisi bandar raya kelas pertama. Kalau kita ada mentaliti kelas ketiga dan bandar raya kelas pertama juga tidak memberi sebarang makna. Pendidikan merupakan kunci kepada kejayaan.
S: Masalah kesesakan masih tak selesai lagi. Bila agaknya ianya dapat diatasi?
J: Susulan daripada retreat "Memperkasakan Sistem Pengangkutan Jalan" yang diadakan pada tahun lepas, segala cadangan telah dikemukakan kepada jawatankuasa kabinet mengenai pengangkutan awam yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.Pada masa yang sama kita juga sedang mengambil langkah-langkah yang patut berdasarkan peruntukan dana untuk mengurangkan kesesakan di 10 kawasan yang diklasifikasikan sebagai kawasan "panas" pada waktu pagi dan petang.Banyak kementerian dan agensi lain yang terlibat dalam sistem pengangkutan di Kuala Lumpur. Pertama sekali kita perlu mempertingkatkan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur.
S: Bagaimana dengan projek pembangunan di kawasan-kawasan bukit? Baru-baru ini penduduk di kawasan Damansara 21 menyambut baik usaha kementerian membekukan projek tersebut. Apakah susulan selepas ini?
J: Kabinet telah mengarahkan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan menggubal satu garis panduan mengenai projek pembangunan di kawasan bukit. Kementerian Wilayah Persekutuan juga akan mengeluarkan garis panduan berhubung pembinaan di kawasan berbukit selepas mendapat maklum balas daripada Kementerian Perumahan.Dalam isu penduduk Damansara 21, kami telah mendengar rintihan mereka dan telah membekukan projek tersebut. Kami juga telah mengarahkan pihak syarikat tersebut untuk meneruskan kerja memperkukuhkan cerun demi keselamatan dan kebaikan para penduduk. Kita akan memantau dari masa ke semasa keadaan disana.
S: Apakah harapan Datuk Seri sempena Hari Wilayah Persekutuan tahun ini?
J: Harapan dan doa saya ialah untuk melihat ketiga-tiga Wilayah Persekutuan terus mencapai kemajuan gemilang dengan rakyatnya menikmati kesejahteraan hidup yang setanding dengan semua bandar raya maju di dunia.
-- BERNAMA

02 Februari 2009