Memaparkan catatan dengan label KOSMO. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KOSMO. Papar semua catatan

04 Februari 2009

Amal Cara Hidup Kampung (petikan akhbar Kosmo)

Meskipun Kampung Baru dihimpit dengan pembangunan yang pesat, namun para penduduknya hidup bermuafakat.





WARGA Kampung Baru masih mengamalkan

cara hidup bergotong-royong dan bermuafakat.


Di sebalik arus moden yang menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya kelas pertama, terdapat sebuah perkampungan tradisional Melayu yang masih wujud di sebalik deretan bangunan pencakar langit. Kawasan perkampungan seluas hampir 250 ekar itu merupakan salah satu kawasan tanah paling bernilai di ibu negara yang dianggarkan mencecah RM5.16 bilion jika mahu dibangunkan. Itulah keunikan Kampung Baru yang telah menjadi saksi terhadap pembangunan yang dilaksanakan di Kuala Lumpur sejak beberapa dekad lalu.

KAMPUNG BARU menjadi saksi 35 tahun berdirinya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Seorang penduduk, Aminah Martaji, 64, berkata, dia berbangga menjadi warga Kampung Baru yang mempunyai keistimewaan tersendiri meskipun kawasan tersebut semakin dihimpit pembangunan yang pesat.
"Walaupun terletak di kawasan bandar, tapi rata-rata penduduk di sini masih mengamalkan gaya hidup kampung seperti bergotong-royong dalam mengadakan majlis kenduri kahwin, sentiasa bertegur sapa sesama jiran dan mengambil berat antara satu sama lain.
"Tidak seperti sesetengah kawasan perumahan atau kejiranan di Kuala Lumpur yang penghuninya langsung tidak mengenali sesama mereka dan tidak pernah bertegur sapa walaupun duduk sebelah-menyebelah.





"Itulah antara kelebihan warga Kampung Baru yang kebanyakannya merupakan anak jati Kuala Lumpur," ujar Aminah, ibu kepada empat orang anak yang memang dilahirkan dan dibesarkan di kawasan tersebut.
Justeru, Aminah berharap agar keharmonian warga Kampung Baru akan terus kekal tanpa diganggu gugat oleh anasir-anasir negatif yang boleh memecah-belahkan masyarakat di sana.

Jika diimbas sejarahnya, Kampung Baru telah diwartakan sebagai Penempatan Pertanian Melayu pada tahun 1900 oleh pentadbir Kolonial British bagi membolehkan kaum Melayu mengekalkan cara hidup kampung di kawasan bandar.
Sejak itu, Kampung Baru telah menjadi lebih daripada sebuah kampung. Keberaniannya menentang pembangunan dan kehidupan moden bandar telah mengubah kampung itu sebagai simbol politik budaya Melayu.
Sementara itu, Bakri Kassim, 66, pula menjelaskan, penduduk di Kampung Baru tidak menolak projek pembangunan di kawasan mereka, tetapi sebaliknya ia perlu dilakukan dengan cara berhemah dan sistematik.
"Kemajuan memang penting untuk membangunkan sesebuah negara, namun setiap projek yang mahu dilaksanakan haruslah mengambil kira kebaikan dan keburukannya di kalangan penduduk.
"Jika sesuatu projek itu hanya mementingkan sebelah pihak sahaja, maka ia tidak adil buat kami. Yang penting, semua pihak harus sama-sama mengecapi nikmat kemajuan yang dilaksanakan seiring dengan matlamat membangunkan bandar raya Kuala Lumpur.
"Di samping itu, kami juga tidak mahu kehilangan hak ketuanan ke atas tanah yang telah diwarisi turun-temurun daripada orang tua kami," kata Bakri yang mula menetap di Kampung Baru sejak tahun 1949. Bagi Khalid Abd. Rashid pula, Kampung Baru sememangnya satu lokasi paling ideal untuk orang ramai menikmati pelbagai jenis makanan yang ditawarkan.
"Sebut sahaja apa jua jenis makanan yang hendak dicuba atau dirasa, semuanya boleh didapati di sini. Daripada makanan masyarakat pantai timur seperti nasi dagang atau tom yam sehinggalah makanan barat seperti stik, chicken chop mahu pun spageti. Semuanya ada," tutur Khalid yang mengakui seronok menjalani kehidupan di Kampung Baru. - KHADIJAH MOHAMAD NOR




http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0202&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Seumpama Dua Darjat (petikan akhbar Kosmo) Bhg 1


Pembangunan di Kampung Baru, Kuala Lumpur mula digerakkan sejak tahun 1975. Namun sehingga kini, ia menemui jalan buntu.

Pembangunan Kampung Baru, warisan Melayu di tengah-tengah ibu kota metropolitan Kuala Lumpur bergerak perlahan sejak dibuka pada tahun 1899. Ia berlaku disebabkan pelbagai faktor, antaranya kerenah birokrasi usang dan sikap penduduk. Bagaimanapun, harapan baru muncul dengan cadangan transformasi kampung tersebut. Menyorot kembali usaha pembangunan Kampung Baru, ia bukanlah satu kisah pendek. Sekiranya dibandingkan kerancakan pembangunan di kawasan itu dengan jirannya di sebalik sempadan bersama, terutama Sungai Kelang, ia sangat berbeza.

Kampung Baru terletak di bahagian utara pusat bandar raya yang disempadani Jalan Raja Muda Abdul Aziz di utara, Jalan Tun Razak di timur, Jalan Dang Wangi, Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh) dan Sungai Kelang di selatan serta Jalan Tuanku Abdul Rahman di sebelah barat. Sebagai contoh, menara kembar yang paling tinggi di dunia terletak hanya satu kilometer dari kampung itu. Ironinya, masjid, deretan kedai, kelompok rumah dan pelbagai lagi tidak kelihatan berubah seperti mana Kampung Baru mula dibuka pada tahun 1899 dan digazetkan setahun kemudian. Tidak keterlaluan sekiranya dikatakan seakan-akan wujud dua darjat di antara Kampung Baru dan kawasan sekelilingnya.

Tujuh kampung utama

Kampung Baru yang seluas 90.35 hektar (225.89 ekar) terdiri daripada tujuh buah kampung iaitu Kampung Hujung Pasir, Kampung Pindah, Kampung Periuk, Kampung Paya, Kampung Masjid, Kampung Atas A dan Kampung Atas B. Saiz perkampungan membesar selepas beberapa kampung kecil turut dirangkumkan ke dalam Kampung Baru seperti Kampung Manggis dan Kampung Sungai Baru dan kemudian disertai perkampungan yang ditakrifkan setinggan sebelum ini, iaitu Kampung Limau, Kampung Chendana dan Kampung Paya Baru.

Terdapat tiga kategori tanah milik Melayu wujud di Kampung Baru iaitu Tanah Simpanan Melayu, Tanah Simpanan Pertanian Melayu dan Tanah Melayu Diberi Milik. Dahulu pernah terdengar jenaka bahawa yang berubah di Kampung Baru hanyalah nama-nama jalannya, sedangkan kampung itu masih lagi seadanya. Apa tidaknya, Hale Road yang dinamakan sempena seorang pentadbir British pada zaman penjajah kini dikenali dengan nama Jalan Raja Abdullah manakala Jalan Raja Muda Abdul Aziz yang merentangi Kampung Baru dahulunya ialah Princess Road dan Jalan Haji Yahya Sheikh Ahmad pernah bergelar Jalan Watson.

Membangunkan kampung baru

Usaha pertama untuk membangunkan Kampung Baru bermula pada tahun 1975 dengan menyatukan pelbagai lot kecil tetapi langkah itu tidak mendapat sambutan dan 10 tahun kemudian, DBKL mengemukakan pelan konsep pembangunan dengan tujuan mengelakkan pemilik individu membangunkan tanah mereka secara persendirian. Setelah lama menyepi, khabar angin mengenai pembangunan Kampung Baru hangat diperkatakan semula pada 1991, susulan lawatan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri (Tun) Dr. Mahathir Mohamad bersama rombongannya, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Bandar Kuala Lumpur, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Datuk Dr. Suleiman Mohamed yang ketika itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilantik mengetuai jawatankuasa pembangunan semula Kampung Baru, turut mengiringi beliau. Beberapa siri pertemuan dengan penduduk seramai 1,923 orang diadakan, tetapi usaha tiga tahun Suleiman gagal, berpunca daripada pelbagai masalah tuntutan pembangunan, hak milik beramai, kos dan pentadbiran tanah dan sebagainya. Ekoran itu, pelbagai aktiviti cuba diusahakan sama ada secara bersendirian atau berkumpulan tetapi kesemuanya menghadapi jalan buntu akibat masalah kos pengambilan balik tanah.

Pelan Tempatan Kampung Baru yang diarah dikeluarkan DBKL pada 1992 sehingga kini tidak diketahui umum bentuknya sehinggalah Draf Kuala Lumpur 2020 Pelan Bandar Raya yang melibatkan Kampung Baru di dalam Jilid 4 dibentangkan pada tahun lalu. Penduduk tubuh persatuan Persatuan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) dan Persatuan Kebajikan Anak-anak Melayu Kampung Baru (Pakam) dalam memorandum mereka pada 1994 turut menyenaraikan beberapa masalah yang timbul dalam perancangan membangunkan Kampung Baru. Ketika itu wujud kumpulan pemilik tanah yang mendesak kerajaan membayar pampasan yang terlalu tinggi dan tidak munasabah dari segi harga pasaran dan penyewaan. Ada pula pihak yang menangguk di air keruh dengan mempengaruhi tuan tanah supaya menyerahkan kuasa menguruskan tanah sehingga berlaku penipuan.

Tidak kurang juga yang mencari populariti memperjuangkan isu Kampung Baru sehingga menampakkan suara pemilik tanah dan tujuan kerajaan tidak sekata. Menurut PPKB dan Pakam, selepas mengadakan beberapa mesyuarat dengan anggota mereka ketika itu, rata-rata penduduk Kampung Baru yang mempunyai kepentingan hartanah dan perniagaan menyokong rancangan untuk membangunkan Kampung Baru dengan syarat pihak berkenaan mengambil kira masalah yang dihadapi mereka dan memenuhi harapan mereka yang munasabah. Mereka tidak mahu berulangnya peristiwa perpindahan orang Melayu dari Sungai Gombak dan Sungai Kelang ke Kampung Baru atas alasan pembangunan, mengakibatkan hampir pupus orang Melayu yang bermastautin di bandar raya Kuala Lumpur.

Jika tidak mencapai kata putus yang adil, kata mereka, Kampung Baru akan terus kekal sebagai dua darjat dengan kawasan di sekitarnya.

- Bernama

26 Mei 2008

MAKLUM BALAS DBKL

LAPORAN BEBERAPA AKHBAR TEMPATAN
HARIA METRO, ISNIN, 26 MEI 2008, M/S 18

PENDUDUK KAMPUNG BARU TIDAK AKAN DIANAK TIRI

KUALA LUMPUR- "Saya tidak mahu Kampung Baru Berkeadaan macam dulu lagi... terbakar dan apa-apa lagi. Sebab itu kami ambil keputusan nak bangunkan tempat ini, jadi penduduk kenalah faham", kata Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusuf*.
Beliau mengulas rancangan pembangunan Kampung Baru di sini, khusus Kampung Pasar Minggu* yang sebelum ini itdak begitu 'merestui' penduduk tempatan berikutan dianggap mengambilhak mereka dan dipinggirkan.
Menurutnya, pembangunan berperingkat dirancang kerajaan di kampung berkenaan bukan tujuan menghapuskan penduduk yang sudah menetap lama, sebaliknya memberi keselesaan dan kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.
"Kalau kami bangunkan tempat ini, kami akan bawa mereka sendiri, tidak perlu risau, malah mereka akan diberi keutamaan untuk berniaga di premis yang lebih elok dan moden tetapi dengan syarat mesti berkelayakkan* termasuk warganegara tempatan.
"Saya beri jaminan* penduduk tidak akan tertinggal kerana pembangunan yang kita bawakan ini adalah 'pembangunan campuran' dengan terdapat kawasan perniagaan, pusat pelancongan dan kebudayaan serta kediaman utama dalam bandar," katanya.

ulasan ****

1. Datuk Salleh Yusuf- adakah anda betul-betul mengenali keadaan sebenar pasar
minggu??????????
2. Dengan Syarat Mesti Berkelayakkan- Penduduk Pasar Minggu bukan jutawan. Jika
dibangunkan dengan keadaan termoden dan tercanggih seperti PNB Darby Park atau setaraf dengannya adakah penduduk Pasar Minggu Berkelayakkan untuk memiliki sebuah premis. Fikirlah sendiri.....
3. Saya Beri Jaminan - Jika Datuk Salleh Yusuf di tukar/pencen adakah jaminan bagi
kami lagi.

KOSMO ISNIN 26 MEI 2008 M/S 13
OLEH SHAWKATH AZDE



TANAH ITU MILIK DBKL - KETUA PENGARAH

KUALA LUMPUR- Pembangunan semula ditapak perniagaan Pasar Minggu Kg. Baru akan dilaksanakan dengan memberi keutamaan kepada peniaga di situ.
Pembangunan seperti kompleks perniagaan yang lebih selesa, premis bersifat kebudayaan dan projek pembangunan perumahan dijangka akan meningkatkan serta memajukan corak perniagaan berbanding sekarang.
Menurut Ketua pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup, papmpasan berupa kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR)* turut ditawarkan kepada peniaga kawasan yang terlibat.
"Pampasan berjumlah RM1000.00* juga akan diberikan kepada mereka yang layak setelah mereka memenuhi kateria-kateria yang ditetapkan,". Katanya selepas Majlis Perbarisan Pelantikan Penasihat Bulan Sabit Merah Malaysia cawangan Kuala Lumpur disini semalam.
Salleh juga memaklumkan bahawa DBKL membeli tanah itu tanah dikawasan Kg. Baru sejak lima tahun lalu dan pembayaran berkenaan tanah itu juga telah dijelaskan.
"Itu tanah DBKL punya. Dah bayar pun. Tanah yang didakwa bawah nama Perbadanan Kemajuan Negari Selangor ada di kawasan belakang*. kita tidak mengambil tanah itu," katanya.
Katanya, tanah berkenaan masih dalam proses penukaran nama dan itu adalah perkara kecil yang tidak perlu dipanjangkan berbanding dengan pembangunan yang akan memberi manfaat kepada kepada golongan peniaga terlibat.
"Kita telah mengadakan perbincangan beberapa kali dan Persatuan Peniaga Dan Kebajikan Pasar Minggu Kampung Baru sendiri sudah memahaminya. Kenapa perlu cakap lain sekarang?
"Apa yang perlu mereka buat ialah mengambil kunci dan berpindah supaya pembangunan dapat dijalankan untuk manfaat semua pihak,"katanya.

ulasan****

1. Pembangunan semula tapak pasar minggu - nama pun pembangunan semula, kalau bangunkan semula, kenapa kami dipinggirkan. Apa masalah DBKL dengan penduduk????????
2. Projek Perumahan Rakyat - Jika rakyat mahukan rumah DBKL mereka boleh
memohon kerana ini polisi DBKL dan pampasan perumahan juga harus diberi
jika ada pemindahan.
3. Pampasan berjumlah RM1000.00 - jika ini sahaja pampasan yang kami terima,
bagaimana kami nak meneruskan kehidupan dan dimana kami hendak
menjalankan perniagaan!!!!!!!!!!!.
4. lima tahun - Kenapa perlu lima tahun untuk proses tukar nama ( tak ada orang
buat kerja ke) ??????????
5. tanah DBKL depan, tanah PKNS belakang - Apa yang ketua pengarah ni
mengarut!!!!!!!! tanah pasar minggu bukanya besar pun. depan lain, belakang
lain, apa pembangunan nak buat????.
6. Kenapa perlu cakap lain sekarang? - siapa yang lain cakap sekarang. Apa keputusan perbincang itu? Penduduk pun nak tau keputusanya juga. Kenapa cuba berdolak dalih sekarang...... kenapa setiap kali perbincangan diadakan penduduk yang harus pergi ke DBKL, tak boleh ke pegawai DBKL datang ke pasar minggu dan berbincang, kan pasar minggu ada pentas budaya dah lupa ke????????
bukan jauhpun Pasar Minggu Hanya depan mata sahaja........