04 Februari 2009

Amal Cara Hidup Kampung (petikan akhbar Kosmo)

Meskipun Kampung Baru dihimpit dengan pembangunan yang pesat, namun para penduduknya hidup bermuafakat.





WARGA Kampung Baru masih mengamalkan

cara hidup bergotong-royong dan bermuafakat.


Di sebalik arus moden yang menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya kelas pertama, terdapat sebuah perkampungan tradisional Melayu yang masih wujud di sebalik deretan bangunan pencakar langit. Kawasan perkampungan seluas hampir 250 ekar itu merupakan salah satu kawasan tanah paling bernilai di ibu negara yang dianggarkan mencecah RM5.16 bilion jika mahu dibangunkan. Itulah keunikan Kampung Baru yang telah menjadi saksi terhadap pembangunan yang dilaksanakan di Kuala Lumpur sejak beberapa dekad lalu.

KAMPUNG BARU menjadi saksi 35 tahun berdirinya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Seorang penduduk, Aminah Martaji, 64, berkata, dia berbangga menjadi warga Kampung Baru yang mempunyai keistimewaan tersendiri meskipun kawasan tersebut semakin dihimpit pembangunan yang pesat.
"Walaupun terletak di kawasan bandar, tapi rata-rata penduduk di sini masih mengamalkan gaya hidup kampung seperti bergotong-royong dalam mengadakan majlis kenduri kahwin, sentiasa bertegur sapa sesama jiran dan mengambil berat antara satu sama lain.
"Tidak seperti sesetengah kawasan perumahan atau kejiranan di Kuala Lumpur yang penghuninya langsung tidak mengenali sesama mereka dan tidak pernah bertegur sapa walaupun duduk sebelah-menyebelah.





"Itulah antara kelebihan warga Kampung Baru yang kebanyakannya merupakan anak jati Kuala Lumpur," ujar Aminah, ibu kepada empat orang anak yang memang dilahirkan dan dibesarkan di kawasan tersebut.
Justeru, Aminah berharap agar keharmonian warga Kampung Baru akan terus kekal tanpa diganggu gugat oleh anasir-anasir negatif yang boleh memecah-belahkan masyarakat di sana.

Jika diimbas sejarahnya, Kampung Baru telah diwartakan sebagai Penempatan Pertanian Melayu pada tahun 1900 oleh pentadbir Kolonial British bagi membolehkan kaum Melayu mengekalkan cara hidup kampung di kawasan bandar.
Sejak itu, Kampung Baru telah menjadi lebih daripada sebuah kampung. Keberaniannya menentang pembangunan dan kehidupan moden bandar telah mengubah kampung itu sebagai simbol politik budaya Melayu.
Sementara itu, Bakri Kassim, 66, pula menjelaskan, penduduk di Kampung Baru tidak menolak projek pembangunan di kawasan mereka, tetapi sebaliknya ia perlu dilakukan dengan cara berhemah dan sistematik.
"Kemajuan memang penting untuk membangunkan sesebuah negara, namun setiap projek yang mahu dilaksanakan haruslah mengambil kira kebaikan dan keburukannya di kalangan penduduk.
"Jika sesuatu projek itu hanya mementingkan sebelah pihak sahaja, maka ia tidak adil buat kami. Yang penting, semua pihak harus sama-sama mengecapi nikmat kemajuan yang dilaksanakan seiring dengan matlamat membangunkan bandar raya Kuala Lumpur.
"Di samping itu, kami juga tidak mahu kehilangan hak ketuanan ke atas tanah yang telah diwarisi turun-temurun daripada orang tua kami," kata Bakri yang mula menetap di Kampung Baru sejak tahun 1949. Bagi Khalid Abd. Rashid pula, Kampung Baru sememangnya satu lokasi paling ideal untuk orang ramai menikmati pelbagai jenis makanan yang ditawarkan.
"Sebut sahaja apa jua jenis makanan yang hendak dicuba atau dirasa, semuanya boleh didapati di sini. Daripada makanan masyarakat pantai timur seperti nasi dagang atau tom yam sehinggalah makanan barat seperti stik, chicken chop mahu pun spageti. Semuanya ada," tutur Khalid yang mengakui seronok menjalani kehidupan di Kampung Baru. - KHADIJAH MOHAMAD NOR




http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0202&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Tiada ulasan: