09 Mei 2008

PASAR MINGGU DIANGGAP SETINGGAN OLEH DBKL

PASAR MINGGU BUKAN SETINGGAN DAN KAMI PENDUDUK HARAPKAN DBKL AKAN MENARIK BALIK PERKATAAN SETINGGAN INI
DBKL TIDAK BERHAK MENGANGGAP PENDUDUK PASAR MINGGU SEBAGAI SETINGGAN.
Tajuk Artikel: Penduduk enggan pindah
Sumber / Tarikh: Berita Harian Online 14 Jun 2007 – Khamis
Oleh Sharifah Salwa Syed Akil


Penghuni kawasan Pasar Minggu Kampung Baru tidak mahu ke PPR Air Panas, gesa DBKL gugurkan taraf setinggan

KUALA LUMPUR: Penduduk kawasan Pasar Minggu Kampung Baru menolak tawaran pemindahan ke projek perumahan rakyat (PPR) Air Panas yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Persetujuan itu diputuskan hasil perbincangan bersama penduduk malam semalam berikutan notis arahan mengosongkan kediaman yang didiami mereka sejak berpuluh tahun lalu.

Menerusi perbincangan itu, penduduk sebulat suara meminta DBKL menggugurkan taraf setinggan yang diberikan kepada mereka kerana penduduk Pasar Minggu bukan setinggan seperti yang ditulis dalam surat tawaran pemindahan. Timbalan Yang Dipertua Persatuan Peniaga dan Kebajikan Pasar Minggu, Mohd Nadzri Abdul Hamid berkata, pihaknya akan menulis surat rasmi kepada DBKL berhubung penolakan tawaran menduduki PPR Air Panas. Beliau berkata, pihaknya akan meminta satu pertemuan diadakan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan, DBKL, wakil persatuan, wakil rakyat dan Umno untuk membincangkan notis arahan mengosongkan kediaman mereka. “Kita akan membuat surat rasmi secepat mungkin untuk memaklumkan penolakan tawaran berpindah ke lokasi baru.

Kita juga akan mengadakan dialog bersama mereka dan ia akan membabitkan semua pihak. “DBKL tidak pernah membincangkan isu ini dengan penduduk. Tiada angin, tiada ribut...alih-alih mereka menghantar notis arahan mengosongkan kediaman,” katanya. Mohd Nadzri berkata, pihaknya tidak mengetahui motif sebenar DBKL mengeluarkan notis arahan penduduk mengosongkan premis masing-masing kerana timbul percanggahan dan kekeliruan berhubung arahan berkenaan. Beliau berkata, mengikut notis itu penduduk diarahkan mengosongkan kediaman masing masing dalam tempoh dua minggu selepas notis dikeluarkan.

“Kami menerima notis ini Isnin lalu yang bermakna pengosongan perlu dilakukan sehingga 25 Jun. Apa yang menjadi masalahnya, notis itu bertarikh 25 Mei lalu tetapi kita hanya menerimanya Isnin lalu. “Justeru, timbul keraguan dan motif mereka. Kenapa notis ini baru diserahkan sedangkan tarikh surat ini sudah lebih sebulan berlalu. Itu yang kita mahu tahu,” katanya. Mohd Nadzri berkata, penduduk tidak pernah menolak sebarang projek pembangunan yang dirancang di kawasan berkenaan, malah mengalu-alukan langkah memajukan kawasan terbabit. “Apa yang kami mahu, DBKL mendengar cadangan dan permintaan kami. Kami minta diberi keutamaan apabila projek siap kelak.

“Kami bukan penduduk setinggan kerana mempunyai hak milik unit kedai yang diduduki. Memang dulu, ia adalah unit kedai tetapi diubah suai menjadi kediaman kerana kurang mendapat sambutan pelanggan,” katanya. Katanya, ada tiga kategori unit kedai di sini iaitu Lot 25 mempunyai 127 unit, Lot 100 tahun Kampung Baru (25 lot) dan Kedai Mara 32 unit yang diuruskan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). “Kami adalah pemilik sah kepada unit kedai berkenaan dan kami mempunyai segala dokumen mengenainya,” katanya.
Tajuk Artikel: Mahu dialog
Sumber / Tarikh: Harian Metro Online 18 Jun 2007 – Isnin
Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Beberapa pemilik premis perniagaan di kawasan Pasar Minggu, Kampung Baru di sini, yang tidak menerima tawaran pemindahan ke projek perumahan rakyat (PPR) Air Panas, Setapak, hairan dan keliru dengan langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang cuma memberi notis terbabit kepada penyewa termasuk pemegang kad pengenalan merah dan segelintir tuan punya tapak perniagaan di situ.

Lebih mengejutkan, sesetengah pemilik yang menerima notis berkenaan pula hanya ditawarkan rumah sedangkan apa yang diperlukan mereka tapak perniagaan baru di PPR terbabit selain lot perniagaan di tapak asal kawasan berkenaan yang ingin dibangunkan. Ketua Wanita Persatuan Peniaga dan Kebajikan Pasar Minggu, Hashimah Berahim*, berkata kawasan berkenaan sebenarnya dikhususkan untuk tujuan perniagaan dan bukan tempat kediaman.
“Kekeliruan mungkin timbul apabila ada segelintir pemilik mengubah suai unit kedai mereka untuk dijadikan kediaman dan kemudian menyewakannya kepada orang luar. “Mungkin sebab itu pihak DBKL menganggap kawasan ini sebagai penempatan setinggan dan mengeluarkan notis arahan mengosongkan kediaman yang didiami segelintir penyewa terbabit termasuk yang berstatus pendatang selain menawarkan pemindahan ke PPR di Setapak, kepada mereka. Saya sendiri yang sudah lama berniaga di sini tidak menerima sebarang notis tawaran,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, melalui perbincangan yang diadakan sebelum ini, peniaga di kawasan itu memutuskan untuk mengadakan dialog bersama DBKL seberapa segera untuk menyelesaikan perkara berkenaan. “Kami tidak pernah menolak sebarang projek pembangunan yang dirancang di kawasan ini, malah mengalu-alukan langkah memajukannya. Atas sebab itu, kami ingin berdialog dengan pihak DBKL secepat mungkin dan memohon mereka memberikan tawaran tapak perniagaan di kawasan baru,” katanya. Akhbar minggu lalu melaporkan mengenai penduduk kawasan Pasar Minggu Kampung Baru menolak tawaran pemindahan ke projek perumahan rakyat (PPR) Air Panas yang dikeluarkan DBKL. Persetujuan itu diputuskan hasil perbincangan bersama penduduk malam semalam berikutan notis arahan mengosongkan kediaman yang didiami mereka sejak berpuluh-puluh tahun lalu.
*sepengetahuan... Persatuan Peniaga dan Kebajikan Pasar Minggu tidak mempunyai Ketua Wanita.

Tiada ulasan: