LAPORAN OLEH Sharifah Salwa Syed Akil
bhnews@bharian.com.my
Berita Harian Selasa 8 Julai 2008
KUALA LUMPUR: Sebuah pusat penjaja sementara akan dibina di Kampung baru untuk menempatkan peniaga Kampung Pasar Minggu, Kampung Baru sebelum projek pembangunan yang dicadangkan di kawasan itu siap dibina. Ketua Pengarah BDKL, Datuk Salleh Yusuf berkata, pihaknya menyewa sebidang tanah untuk pembinaan pusat penjaja semetara yang dijangka siap dalam tempoh terdekat ini. "Selain itu, mereka pada dasarnya bersetuju berpindah ke penempatan baru di PPR Seri Semarak dan serahkan pada mereka bila masa berpindah kesana. Sehingga kini unit kediaman masih kosong kerana dikhaskan untuk mereka," katanya selepas merasmikan sambutan 25 tahun penubuhan Masjid Saidina Abu Bakar Al-Siddiq, Bangsar.
Salleh berkata, pihaknya sudah berterus terang dengan peniaga terbabit dan kebanyakkanya memahami apa yang mahu disampaikan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu. " Seperti yang kita tegaskan sebelum ini sebarang pembangunan kawasan mereka kita akan babitkan mereka semua. Apabila siap kelak, mereka akan diberi keutamaan samaada untuk membeli unit perniagaan atau kediaman ditapak asal.
"Jadi, sepatutnya mereka tidak bimbang mengenainya. Jika mereka tidak mempercayai kita (DBKL) siapa lagi yang boleh mereka percayai. Kita yang berjanji dan pastikan yang kita akan tunaikan," katanya. Semetara itu, pelbagai program diadakan sempena sambutan 25 tahun penubuhan masjid itu antaranya pembukaan gerai jualan termasuk pakaian, makanan dan barangan keperluan, pameran, pemeriksaan kesihatan percuma dan pemeriksaan rawatan Islam. Program sehari itu turut dimeriahkan pelbagai persembahan pentas seperti nasyid, berzanji, pertandingan azan selain gubahan bunga dan sepak takraw yang pastinya mendapat sambutan menggalakkan.
Pengerusi Masjid, Datuk Nik Farid Nik Mohammad Kamil berkata, selain acara berkenaan, pihaknya turut mengadakan aktiviti lain termasuk Majlis Makan Malam Kebajikan, Pertandingan golf dan forum perdana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan