24 Julai 2008

Sentral: Warga Kampung Baru minta dialog sekali lagi

Oleh Khairunnisa Kamarudin, Berita Harian, khamis, 24 Julai 2008 m/s 42 (sentral)


khairunnisa@bharian.com.my




PENJELASAN: Razak (kiri) meluahkan pandangan beliau pada sesi soal jawab selepas pembentangan Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 oleh Nur Azizi di Dewan DBKL, semalam. - Bernama


Syor letak buku DPBKL 2020 di lokasi tumpuan ramai

KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Baru, di sini, meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan pertemuan semula dengan penduduk berhubung cadangan pembangunan di kawasan itu kerana pertemuan yang diadakan kelmarin masih belum menjawab banyak persoalan yang diajukan. Penduduk juga mendakwa mereka masih kabur dengan dengan penjelasan yang diberikan pada sesi taklimat Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 (DPBKL 2020).


KUSYUK: Warga emas Kampung Baru yang hadir pada majlis pembentangan Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020.


Timbalan Yang Dipertua Pasar Minggu Kampung Baru, Mohd Nazri Abdul Hamid, berkata penjelasan yang diberikan pada sesi taklimat itu tidak menyeluruh dan sukar difahami kebanyakan penduduk yang hadir. "Saya rasa DBKL harus mengadakan sesi seminar dan menyediakan penerangan terperinci mengenai pembangunan yang bakal dijalankan bagi mengelakkan kekeliruan seperti yang berlaku pada sesi ini.

"Apa yang penting, pegawai yang ada perlu menjawab soalan berkaitan isu pembangunan di kawasan kami dengan lebih mendalam. Sesi kali ini pada saya gagal mencapai objektifnya dalam menerangkan mengenai draf itu secara mendalam kepada mereka yang hadir," katanya.

Kira-kira 250 penduduk, penjaja dan peniaga di sekitar Kampung Baru menghadiri sesi itu yang dipengerusikan Timbalan Pengarah Jabatan Pelan Induk DBKL, Nur Azizi Mokhtar.

Sesi itu hangat dengan pelbagai soalan berkaitan isu pembangunan Kampung Baru kerana mereka yang hadir tidak berpuas hati dengan pengurusan DBKL yang disifatkan tidak mementingkan keperluan penduduk selain isu berkaitan harga tanah.

Selain itu mereka juga tidak berpuas hati dengan sesi soal jawab yang tidak memberikan penjelasan sepenuhnya kepada setiap soalan yang dikemukakan serta kegagalan DBKL menyediakan naskhah DPBKL 2020 secara percuma bagi tujuan rujukan. Penduduk, Razak Karim, 57 berkata, beliau berharap DBKL dapat menyediakan buku DPBKL 2020 untuk diletakkan di kawasan strategik seperti di balai raya bagi memudahkan penduduk memahami projek yang bakal dijalankan.

"Buku berkenaan sangat mahal dan DBKL sepatutnya memberikan naskhah percuma supaya penduduk dapat penjelasan terperinci mengenai sesuatu projek yang akan dijalankan. "Saya masih kabur dengan penjelasan yang diberikan DBKL dalam taklimat ini kerana kami tidak diberikan sebarang kertas kerja atau pelan seperti yang terkandung di dalam buku DPBKL 2020 itu," katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah Eksekutif BIG Property Consultant Sdn Bhd, jururunding yang dilantik bagi merangka pelan pembangunan Kampung Baru, Prof Datuk Nik Mohd Zain Nik Yusof, berkata masalah utama yang dihadapi dalam pembangunan Kampung Baru adalah mendapatkan persetujuan pemilik sekiranya tanah diambil menerusi kaedah biasa untuk dibangunkan. Katanya, sebagai contoh ada lot tanah yang mempunyai 90 penama dengan sembilan orang sudah meninggal dunia. "Kalau ikut cara biasa kita kena jumpa satu demi satu pemilik ini untuk dapatkan persetujuan termasuk waris kepada pemilik yang telah meninggal dunia," katanya.

Nik Mohd Zain berkata, sebagai langkah terakhir, pihak berkuasa mungkin terpaksa menggunakan Seksyen 3 (1) (d) Akta Pengambilan Tanah 1960 di mana mengikut akta itu, pihak berkuasa boleh mengambil-alih tanah tanpa persetujuan pemilik. "Mengikut akta itu, tanah yang diambil akan dibayar mengikut harga pasaran dan sekiranya pemilik tidak bersetuju kes boleh dirujuk ke Mahkamah Tinggi," katanya.

Nur Azizi bagaimanapun berkata, perkara itu sekadar cadangan daripada syarikat juru runding itu. Katanya, cadangan pembangunan yang terdapat pada draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 masih di peringkat bantahan awam dan orang ramai yang mempunyai pandangan atau bantahan masih boleh mengemukakannya secara bertulis kepada DBKL.

Tiada ulasan: