26 Julai 2008

DBKL perlu berseminar dengan penduduk - Nadzri

23/07/2008 UTUSAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR 22 Julai - Penduduk Kampung Baru meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan satu lagi seminar khas bagi menerangkan pembangunan kampung tersebut untuk memberi gambaran lebih jelas kepada penduduk.
Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga dan Kebajikan Pasar Minggu Kampung Baru (PPKPM), Mohd. Nadzri Abd. Hamid, 35, berkata, seminar tersebut perlu diadakan memandangkan penduduk masih lagi kabur dengan rancangan pembangunan yang terdapat di dalam Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 Jilid 4: Kampung Baru.
Menurutnya, seminar tersebut hendaklah merangkumi penerangan tentang pembangunan keseluruhan Kampung Baru serta perbincangan mengenai masalah-masalah yang dihadapi penduduk.
"Taklimat yang diadakan pada hari ini dilihat tidak mencapai objektifnya apabila DBKL hanya menerangkan pembangunan tersebut secara keseluruhan serta menyebut beberapa akta yang membuatkan penduduk tidak senang duduk.
"Ini kerana, akta-akta berkenaan seolah-olah mahu mengambil tanah kami tanpa persetujuan.
"Justeru, saya amat berharap DBKL dapat mengadakan satu lagi seminar untuk penduduk Kampung Baru bagi memperjelaskan perancangan yang akan dilaksanakan oleh DBKL," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Taklimat Draf Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 Jilid 4: Kampung Baru, di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.
Taklimat tersebut dianjurkan oleh DBKL dan dihadiri lebih 250 penduduk Kampung Baru yang terlibat dengan pembangunan yang akan dilaksanakan.
Taklimat yang berlangsung selama hampir empat jam itu turut menjadi 'panas' apabila sebahagian penduduk berkenaan tidak berpuas hati dengan perancangan draf pelan berkenaan.
Penduduk mendakwa, taklimat berkenaan hanya membuang masa mereka kerana mendengar penerangan DBKL yang sukar difahami memandangkan tiada rujukan yang diberikan.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pembangunan Kampung Baru, Mohd. Yusuf Ismail berkata, sepatutnya penduduk perlu memahami dengan teliti tentang hasrat kerajaan untuk membangunkan Kampung Baru bagi meningkatkan ekonomi penduduk.
Menurutnya, dia mencadangkan supaya seminar tersebut diadakan sekali lagi dan kali ini perlu disertai pakar-pakar khas untuk membincangkan tentang kawasan- kawasan pembangunan di kampung berkenaan.

Tiada ulasan: