05 Ogos 2008

Pemilik jual tanah Kampung Baru dapat wang, saham

Oleh Hasnurul Mohamed, UTUSAN MALAYSIA 30-7-2008

KUALA LUMPUR 29 Julai - Penduduk Kampung Baru yang berhasrat untuk menjual tanah mereka akan menerima pampasan sebanyak 25 peratus secara tunai sementara 75 peratus lagi dalam bentuk saham.
Pengarah Eksekutif Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Datuk Mohamed Dahan Abdul Latif berkata, bayaran itu akan dilakukan oleh sebuah perbadanan khas yang ditubuhkan untuk menangani isu pembangunan Kampung Baru.
"Ini adalah bentuk pampasan yang difikirkan wajar oleh kerajaan untuk penduduk Kampung Baru yang berhasrat menjual hartanah milik mereka.
"Perkara ini ditimbulkan apabila kerajaan melihat tiada aktiviti pembangunan yang dijalankan di Kampung Baru selepas tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sidang akhbar mengenai Pameran dan Konvensyen Hartanah Bumiputera 2008 (KHB08) yang bakal diadakan bulan hadapan.
Sidang akhbar tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.
Konvensyen dan pameran selama dua hari bermula pada 10 Ogos dan berakhir pada 11 Ogos di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, bertemakan 'Ke Arah Peningkatan Dan Penyertaan Aktif Dalam Rantaian Nilai Industri Hartanah'.
Menurut Mohamed Dahan, kerajaan berpendapat, pembangunan perlu dilakukan di beberapa zon tertentu di Kampung Baru selepas mengambil kira faktor kedudukan kawasan tersebut yang terletak bersebelahan KLCC.
Katanya, masalah Kampung Baru dan penduduknya bukanlah satu isu baru.
Justeru, katanya, pembangunan mesti dilakukan mengikut satu pelan yang komprehensif dan diintegrasikan oleh kerajaan.
Beliau menambah, pembangunan mengikut pelan merangkumi kawasan komersial, kediaman dan perumahan, institusi, kawasan pelancongan, tanah lapang dan riadah dan infrastruktur seperti jalan raya dan sebagainya.
Katanya lagi, Gabem berminat untuk memajukan kawasan tersebut.


Syor tubuh jawatankuasa atasi masalah penduduk

KUALA LUMPUR 29 Julai - Kerajaan digesa menubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi menangani masalah pembangunan dan penduduk di Kampung Baru.
Presiden Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, pembangunan perlu dilaksanakan di kawasan tersebut kerana ia turut membawa imej orang-orang Melayu di dalam bandar.
"Kawasan Kampung Baru dianggarkan antara 80.93 hingga 101.17 hektar dan ia terletak bersebelahan dengan KLCC.
"Oleh itu, pembangunan perlu dilaksanakan di Kampung Baru yang mana ia kemungkinan boleh dikenali sebagai KLCC Fasa Kedua,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Pameran dan Konvensyen Hartanah Bumiputera 2008 (KHB08) di sini hari ini.
Katanya, cadangan pelan pembangunan Kampung Baru telah disediakan oleh Gabem dan dihantar kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) pertengahan tahun lalu.
Beliau berkata, bagaimanapun sehingga hari ini pihaknya masih belum menerima maklum balas ke atas cadangan yang dikemukakan.
Beliau menambah, adalah penting pucuk pimpinan membuat keputusan demi kebaikan semua pihak terutamanya pemilik tanah di Kampung Baru.
"Kita mahu mempertahankan hak orang Melayu dalam bandar.
"Justeru, susulan daripada Gabem menghantar pelan cadangan kepada JPM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan pun ada menghantar cadangan masing-masing untuk membangunkan Kampung Baru,'' katanya.
Sementara itu, Rahim memberitahu, KHB08 akan diadakan selama dua hari, bermula pada 10 Ogos dan berakhir 11 Ogos di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Beliau berkata, seramai 1,000 peserta dijangka menyertai KHB08 yang diadakan buat julung kalinya.

Tiada ulasan: