05 Ogos 2008

Tiada unsur politik bantuan MB Selangor kepada Kampung Baru

Oleh Saidah Hairan dan Roy Rasul



KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Hrkh) - Kerajaan negeri Selangor bersedia membantu masyarakat Melayu di Kampung Baru menikmati pembangunan tanpa mengenepikan hak mereka.
Merujuk Draf Pelan Kuala Lumpur 2020, wujud cadangan pengambil alih tanah di kampung Baru yang mendapat pelbagai reaksi daripada penduduk, tidak kurang juga yang membantah.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meluangkan masa hampir dua jam dalam dialog bersama penduduk Kampung Baru mengenai ‘Masa Depan Kampung Baru Bersama Selangor atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur’ di Kelab Sultan Sulaiman, di sini.
Dalam ucapannya, beliau menjamin Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui Unit Perancangan akan membantu Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’Lo’ Mohamad Ghazali untuk membuat kajian dan cadangan melaksanakan pembangunan di Kampung Baru.
Katanya, kajian itu penting bagi membolehkan jawatankuasa yang ditubuhkan menjelaskan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur berhubung cadangan dan kehendak masyarakat Kampung Baru.
Beliau berharap Datuk Bandar mempunyai pandangan yang terbuka kerana kampung Baru merupakan satu kawasan yang unik daripada segi sejarah kerana tertakluk dalam undang-undang yang berkaitan dengan negeri Selangor.
“Bagi membantu memudahkan pelaksanaan ini, saya telah memberi kelulusan peruntukan tidak lebih RM50,000 untuk digunakan dalam kajian nanti,” katanya di hadapan anggota masyarakat Kampung Baru.
Penduduk yang hadir dalam majlis dialog itu bangga dengan keprihatinan Khalid kerana beliau merupakan Menteri Besar pertama yang datang ke kampung Baru mendengar masalah penduduk.
Menurut beliau, masyarakat Melayu berhak menikmati pembangunan dalam negara dan hak itu kekal dalam perlembagaan dan ordinan negeri Selangor.
Beliau mengingatkan semua penduduk perlu bekerjasama dengan Dr Lo’Lo’ bagi melicinkan tugas untuk menentukan penduduk Kampung Baru menikmati pembangunan.
Katanya, tindakan kerajaan negeri membantu menyelesaikan masalah Kampung Baru tiada kaitan dengan politik.
“Saya tidak mahu masalah penduduk Kampung Baru ini dipolitikkan, apa yang penting mereka perlu diberi sokongan kerana telah jauh ketinggalan dalam menikmati pembangunan,” katanya. - lanh

MB umum dana RM50,000 rangka pelan pembangunan Kampong Bharu


Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 sebagai dana bagi perancangan pelan pembangunan Kampong Bharu.
“Sekarang bukan lagi masa untuk kita bercakap, tapi kita perlu bekerja untuk menggerakkannya,” katanya dalam majlis dialog bersama penduduk Kampong Bharu di Kelab Sultan Sulaiman di sini.
Majlis dialog itu bertujuan bagi membantah pelan pembangunan Kampong Bharu yang dikemukakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Draf Pelan Kuala Lumpur 2020.
Khalid berkata khidmat pegawai perancangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan turut digunakan bagi membantu membuat perancangan kearah membangunkan Kampong Bharu yang akan diketuai oleh Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Ghazali.
“Saya mahu perkara ini disegerakan. Dalam tempoh dua minggu saya akan datang semula dan nak tengok perancangan yang dibuat.
“Kita mesti cari jalan (kaedah) dan buat perancangan rapi dengan mengambil kira pendapat golongan profesional,” katanya.
Tambah beliau soal berlainan fahaman politik tidak perlu menjadi halangan kerana apa yang penting buat masa ini ialah memfokuskan kepada pembangunan masyarakat Melayu di Kampong Bharu.
“Jangan politikkan isu pembangunan. Yang penting penduduk Kampong Bharu sendiri perlu bersatu bagi mencapainya,” katanya.
Dalam pada itu, rata-rata penduduk yang hadir menginginkan agar pelan pembangunan Kampong Bharu dibangunkan oleh kerajaan negeri Selangor dibawah anak syarikatnya seperti PKNS atau Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).
Namun katanya perkara itu bukanlah satu perkara yang terpenting buat masa ini.
“Perkara itu akan difikirkan, tapi itu bukanlah perkara yang terpenting. Yang penting sekarang ialah strategi untuk bangunkan kawasan ini,” katanya.
Beliau juga mahu Kampong Bharu yang berkeluasan keseluruhan 378.93 ekar dibangunkan seperti kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.
Menyedari Kampong Bharu sudah ketinggalan dari segi pembangunan, Khalid berharap agar Datuk Bandar DBKL, Datuk Abdul Hakim Borhan bersikap terbuka bagi mengadakan perbincangan dengan wakil penduduk untuk sama-sama menentukan mengenai masa depan kawasan itu.
Penduduk Kampung Bharu mempunyai tempoh kurang sebulan iaitu sehingga 31 Ogos ini bagi mengemukakan bantahan kepada DBKL mengenai draf tersebut.
Bagaimanapun Dr Lo’ Lo’ akan berjumpa dengan Datuk Bandar untuk mengemukakan permohonan agar tempoh bantahan itu dilanjutkan bagi memberi peluang penduduk kawasan itu mencapai kata sepakat.
Dr Lo’ Lo’ berkata beliau berharap Datuk Bandar bersedia untuk berbincang mengenai perkata tersebut untuk demi kepentingan masyarakat Melayu di Kampong Bharu.
“Kita akan hantar surat dan berjumpa sendiri dengan Datuk Bandar untuk berbincang mengenainya. Saya amat berharap agar kita akan diberi peluang,” katanya.
Beliau juga mencadangkan agar satu organisasi baru dibentuk bagi menggerakkan pelan pembangunan Kampong Bharu yang dianggotai oleh penduduk tempatan sendiri.
Ini juga selaras dengan permintaan penduduk kampung itu agar anak jati Kampong Bharu sendiri diberi peluang untuk membangunkan kawasan mereka tanpa penglibatan pihak luar.
“Saya cadangkan agar dibentuk satu organisasi yang dinamakan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB) bagi meneruskan usaha pembanguan kawasan ini,” katanya.
Beliau juga melahirkan rasa cemas apabila Menteri Besar Selangor memberi tempoh dua minggu kepadanya untuk menyelesaikan perancangan awal mengenai pembangunan Kampong Bharu.
“Saya cemas sekarang. Namun saya anggap ini sebagai satu amanah untuk kepentingan masyarakat,” katanya.


Pembangunan Kampung Baru Wajar Dilaksanakan Anak Jati - MB Selangor



KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) — Pembangunan Kampung Baru yang dirancang dalam Deraf Pelan Kuala Lumpur 2020 seharusnya dilaksanakan oleh anak jati penduduk kampung itu sendiri, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.
Khalid berkata pihaknya menerima pelbagai rungutan daripada penduduk kampung itu yang mahukan pembangunan diteruskan dengan hasil usaha mereka sendiri di samping membantah rancangan pengambilalihan tanah mereka seperti yang dicadang dalam pelan itu.
Katanya, penduduk Kampung Baru akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi merencana program pembangunan kampung itu.
“Kita akan membantu bagi menentukan Kampung Baru tidak terus terpinggir, dan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dana sebanyak RM50,000 akan disediakan bagi membuat kajian terhadap pembangunan di Kampung Baru,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Dialog Menteri Besar Selangor bersama penduduk Kampung Baru mengenai “Masa Depan Kampung Baru Bersama Selangor atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur” di Kelab Sultan Sulaiman di sini, Ahad.
Abd Khalid berkata tindakannya membantu pembangunan dan menyelesaikan permasalahan yang dialami penduduk kampung terbabit bukan bertujuan politik sebaliknya sebagai menjalankan tanggungjawab dalam memastikan kepentingan hak-hak orang Melayu dipelihara sekaligus menjadikan Kampung Baru sebagai satu kawasan membangun dalam bandar Kuala Lumpur.
“Saya tidak mahu dipolitikkan dalam usaha tersebut. Saya merasakan masyarakat Kampung Baru ini perlu diberi sokongan untuk usaha yang telah lama ketinggalan, penting bagi saya buat masa sekarang satu tugas kita untuk memberitahu DBKL bahawa pembangunan hartanah Kampung baru ini mesti difikirkan dan mengambil kira kehendak masyarakat kampung ini,” katanya.
Walaupun tanah-tanah Kampung Baru ditadbir urus Malay Agriculture Settlement (MAS), namun dari segi pelaksanaan dasarnya segala urusan diserahkan kepada DBKL, katanya.
Katanya mengikut perlembagaan MAS, Pengerusinya haruslah Menteri Besar Selangor sebagai wakil Kerajaan Selangor tetapi apa yang berlaku kini, pengerusinya adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur. Setakat ini pihaknya telah menerima sebanyak 50 draf bantahan terhadap cadangan pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan.
Sementara itu, Anggota Parlimen Titiwangsa Dr. Lo’lo Mohd Ghazali berkata beliau akan meminta pihak DBKL untuk melanjutkan tempoh masa pelaksanaan draf tersebut bagi membolehkan pasukan perunding mengkaji pelan pembangunan itu.
Dialog berkenaan dianjurkan oleh Dr Lolo bagi membuka ruang untuk semua pihak memahami status tanah, tanggungjawab dan hak mereka, khususnya dalam menimbangkan cadangan DBKL yang kini telah melancarkan Draf Pelan Kuala Lumpur 2020 untuk penilaian rakyat.
– BERNAMA

Tiada ulasan: